Lelaki ramai masuk neraka?

Ustaz Zainudin Hashim
Kalau dilihat secara renungan makrifat, terdapat satu hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang menceritakan pengalaman baginda bertemu Allah SWT di Sidratul Muntaha malam Israk Mikraj, di mana Allah SWT telah memperlihatkan kepadanya keadaan wanita yang kebanyakan mereka dihumban dalam api neraka lantaran beberapa kesalahan semasa berada di dunia.

Namun ia bukan bermakna bahawa orang lelaki terselamat daripada panas api neraka dan dimasukkan dalam syurga Allah yang penuh dengan pelbagai nikmat yang luar biasa, yang terkadang tidak tergambar oleh akal fikiran manusia semasa hidup di dunia.

Justeru, apabila kita lihat beberapa istilah dalam al-Quran, menggambarkan kepada kita bahawa orang lelaki juga tidak kurang menjadi penghuni neraka. Ini berdasarkan keterangan al-Quran seperti istilah 'Ashabun Nar' (ahli neraka), al-Kafirun, al-Fasiqun, al-Munafiqun, az-Zolimun dan juga istilah yang disebut oleh baginda Rasulullah s.a.w. seperti golongan 'dayus', peminum arak dan anak-anak derhaka.

Apa yang menarik perhatian dalam isu yang ingin dibangkitkan di sini ialah golongan dayus seperti yang ditegaskan dalam sebuah hadis baginda. Ramai daripada kalangan umat Islam hari ini tidak menyedari bahawa mereka boleh termasuk golongan yang dayus dan tempat golongan ini di akhirat tidak lain adalah neraka.

Mengapa neraka bagi golongan dayus? Golongan dayus ini sama ada seorang ayah yang membiarkan anak-anak gadis mereka keluar rumah tanpa mengenakan pakaian yang menutup aurat dengan sempurna begitu juga seorang suami yang membiarkan isterinya mendedahkan aurat seperti tidak memakai tudung kepala hingga di bawah perhiasan mereka.

Termasuklah membiarkan pembantu rumah di kalangan wanita asing yang dibiarkan tidak menutup aurat, maka suami tadi tidak berhak masuk syurga kerana membiarkan isteri dan pembantu rumahnya tidak menutup aurat seperti yang ditegaskan oleh al-Quran.

Peristiwa wanita ke neraka pada malam Mikraj

Sayidina Ali k.w. berkata: "Saya dengan Fatimah pergi menghadap Rasulullah s.a.w. Kami dapati beliau sedang menangis, lalu kami bertanya kepadanya, apakah yang menyebabkan ayahanda menangis, ya Rasulullah?"

Baginda s.a.w. menjawab: "Pada malam aku diisrak hingga ke langit, di sana aku melihat perempuan dalam keadaan amat dahsyat. Dengan sebab itu aku menangis mengenangkan azab yang diterima mereka."

Ali bertanya: "Apakah yang ayahanda lihat di sana?" Rasulullah s.a.w. menjawab: "Aku lihat ada perempuan digantung rambutnya, otak kepalanya menggelegak. Aku lihat perempuan digantung lidahnya, tangannya diikat ke belakang dan timah cair dicurah ke dalam halkumnya (tekak).

"Aku lihat perempuan yang digantung kedua-dua kakinya terikat, tangannya diikat ke ubun-ubunnya, didatangkan ular dan kala. Aku lihat perempuan yang memakan dagingnya sendiri, di bawahnya dinyalakan api neraka. Aku lihat perempuan mukanya hitam dan memakan tali perutnya sendiri. "Aku lihat perempuan yang telinga pekak dan matanya buta, diisikan ke dalam peti yang diperbuat daripada api neraka, otaknya keluar daripada lubang hidung, badan bau busuk kerana penyakit kusta dan sopak.

"Aku lihat perempuan yang kepalanya seperti babi, badannya seperti himar dengan pelbagai kesengsaraan dihadapinya. Aku lihat perempuan yang rupanya seperti anjing, kala dan ular masuk ke kemaluannya, mulut dan pelepasnya (punggung). Malaikat memukulnya dengan corong api neraka."

Fatimah pun bertanya kepada ayahandanya: "Ayahanda yang dikasihi, beritakanlah kepada anakanda, apakah kesalahan yang dilakukan oleh perempuan itu?"

Rasulullah s.a.w. menjawab: "Fatimah, adapun perempuan tergantung rambutnya itu adalah perempuan yang tidak menutup rambut daripada bukan muhrimnya. Perempuan tergantung lidahnya ialah perempuan yang menggunakan lidahnya untuk memaki dan menyakiti hati suaminya.

"Perempuan yang digantung susunya adalah perempuan yang menyusukan anak orang lain tanpa izin suaminya. Perempuan kedua-dua kakinya tergantung itu ialah perempuan yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya.

"Perempuan tidak mahu mandi daripada suci haid dan nifas ialah perempuan yang memakan badannya sendiri, juga kerana ia berhias untuk lelaki bukan suaminya dan suka mengumpat orang.

"Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka kerana ia memperkenalkan dirinya kepada orang asing, bersolek dan berhias supaya kecantikannya dilihat lelaki lain.

"Perempuan diikat kedua kakinya dan tangannya ke atas ubun-ubunnya, disuakan ular dan kala kepadanya kerana ia boleh sembahyang tetapi tidak mengerjakannya dan tidak mandi janabah.

"Perempuan kepalanya seperti babi dan badannya seperti himar ialah ahli pengumpat dan pendusta. Perempuan rupanya seperti anjing ialah perempuan yang suka membuat fitnah dan membenci suaminya.

Seterusnya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Perempuan menyakit hati suami dengan lidahnya pada hari kiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang 70 hasta kemudian diikat di belakang tengkoknya."

Abu Bakar as-Sidik mengatakan, aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Perempuan menggunakan lidah untuk menyakiti hati suaminya ia akan dilaknat dan kemurkaan Allah."

Usamah bin Zaid menceritakan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Aku berdiri di atas syurga, kebanyakan yang masuk ke dalamnya adalah golongan miskin dan orang kaya tertahan di luar pintu syurga kerana dihisab. Selain daripada itu ahli neraka diperintahkan masuk ke dalam neraka, dan aku berdiri di atas pintu neraka, aku lihat kebanyakan yang masuk ke dalam neraka adalah perempuan."

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya aku saksikan kebanyakan ahli neraka adalah perempuan."

Rasulullah s.a.w. ditanya, mengapa ya Rasulullah? Baginda s.a.w. menjawab: "Perempuan mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ihsannya, Jika engkau membuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia belum berpuas hati dan cukup." (Hadis riwayat Bukhari)

Menderma untuk diri sendiri

DARI Abu Dzar katanya:”Aku berkata kepada rasulullah s.a.w :”Pekerjaan manakah yang paling utama?”

Jawab Rasulullah s.a.w:”Beriman kepada Allah dan berjihad di jalan Allah.” Aku bertanya lagi:”Membebaskan sahaya manakah yang paling utama?” Jawab baginda:”yang paling dikasihi oleh tuannya dan yang termahal harganya.”

Aku bertanya pula:” Jika saya tidak melakukan itu semua?” Jawab baginda:”Membimbing pembuat sesuatu sedangkan orang itu tidak berkeahlian.”

Berkata Abu Dzar:”Ya Rasulullah s.a.w, terangkanlah kepada saya bagaimana jika saya tidak kuasa melakukan sesuatu pekerjaan? Jawab baginda:”Jangan membuat bencana terhadap orang lain, kerana hal itu sebagai dermamu kepada dirimu sendiri.” (Muslim)

Huraian

Semua orang mempunyai hak untuk mendapat ketenangan dan kebahagiaan. Jika semua hak-hak ini dihormati, maka dunia akan selamat dan seluruh penghuninya akan berbahagia, sekalipun tingkat kebahagiaan itu berbeza-beza.

Bagi insan yang beriman dan beramal soleh mereka akan sentiasa mencari-cari jalan yang boleh mendekatkan diri mereka kepada Allah S.W.T kerana dengan cara itu mereka akan merasa tenang dan bahagia.

Bahkan pembalasan syurga adalah idaman setiap manusia yang benar-benar menyedari akan hakikat kehidupan di dunia ini. Namun begitu tidak semua manusia berupaya melakukan pengorbanan apatah lagi jika ia memerlukan keikhlasan dari hati yang benar-benar suci dan murni tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Tetapi itulah yang paling bernilai di sisi Allah S.W.T. Oleh itu demi mengatasi kesulitan dalam menyempurnakan tanggungjawab selaku seorang muslim agar kehidupan terus menjadi aman dan bahagia, kita janganlah melakukan pekerjaan yang boleh mengganggu kesejahteraan orang lain dan perbanyakkanlah melakukan kebajikan kerana inilah yang sebenar-benarnya ajaran agama kita yang menyuruh supaya menghormati semua orang, tidak mengganggu setiap hak orang lain sama ada hak peribadi, hak bermasyarakat hinggalah sampai kepada hak bernegara.

Apabila semua ini dilaksanakan dengan sebaiknya bukan sahaja seseorang individu itu disenangi malah imej agama juga akan bersih daripada sebarang fitnah yang mencacatkan.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia


Ego seorang suami ada kala sering disalahgunakan sehingga menyebabkan keruntuhan rumah tangga. Lebih menyedihkan lagi jika ia hanya berpunca daripada masalah kecil yang tidak sepatutnya menjadi punca perbalahan. Tambah menakutkan jika ada suami yang sanggup memukul isteri apabila berasa egonya tercabar.

Lelaki pemarah biasanya tinggi egonya. Mereka jarang rasa bersalah biarpun tidnakan mereka melukakan hati si isteri. Keadaan seperti ini sudah pasti menyukarkan bagi sesebuah perkahwinan apatah lagi, jika pasangan berdepan dengan masalah seperti kesuburan dan sukar menimang cahaya mata. Sekiranya anda berada dalam situasi sebegini, anda perlu lebih berstrategi untuk berdepan dengan suami yang ego dan lekas marah apabila diajak berbincang.

Perlu diingat, antara topik yang sukar dibincang oleh pihak suami ialah berkenaan seks dengan isteri, kesuburan ataupun masalah kelelakian. Ada sesetengah suami boleh mengugut menceraikan isteri kerana masalah sebegini. Jadi, bagi membantu anda berdepan dengan situasi sebegini, pihak isteri perlu bijak memilih pendekatan bagaimana caranya berdepan dengan mereka.

Tindakan anda mendiamkan diri kerana takut dimarahi suami hanya membebankan lagi masalah tersedia ada. Jika anda ingin berbincang mengenai topik sensitif berkaitan dirinya, pastikan ia dilakukan mengikut masa dan mood yang sesuai.

Terdapat beberapa panduan boleh dipraktiskan:

1. Elak berdebat atau kemukakan pandangan anda di saat suami sedang beremosi. Tindakan anda mungkin sia-sia sahaja malah boleh mengundang padah apabila si suami semakin marah kerana rasa ditentang atau dicabar oleh isteri sendiri. Akibatnya, si isteri boleh terikut-ikut menjadi ‘panas’ sehingga berlakunya pertelingkahan. Jika berlarutan, psikologi si isteri boleh terganggu dan pernikahan juga akan terancam. Sebaiknya dalam situasi ini, anda perlu sedikit mengalah atau mengambil sikap tidak mempedulikannya dulu.

2. Langkah yang baik adalah mengajaknya berbicara untuk menyelesaikan masalah yang menjadi punca kemarahannya. Lakukan saat kemarahannya sudah reda. Gunakan gaya bicara yang halus agar emosinya tidak ‘naik’ lagi. Mungkin anda boleh berbincang sambil mengurut-urut badan suami selepas pulang kerja ataupun ketika menonton bersama. Yang pasti pilih masa dan mood yang baik!

3. Suami pemarah lebih suka berterus-terang. Salah satu aspek positif yang terdapat pada suami panas baran ataupun pemarah ialah sikap suka berterus-terang dan jujur mengenai apa yang mereka suka ataupun tidak. Hanya sayangnya, cara mereka mengungkapkan lebih cenderung kasar dan bernada marah. Jadi elakkan diri daripada menyindir, berkias-kias ataupun menunjukkan muka seperti berahsia sesuatu daripadanya.

4. Apabila suami memberi pandangan yang agak keras, anda perlu menganggapnya sebagai satu kritikan untuk anda. Dan ambil sebagai satu cabaran untuk memperbaiki kelemah diri anda. Tidak guna terlalu emosi dengan kata-kata suami terhadap anda. Walau mengalir air mata sekalipun si suami pemarah biasanya sukar mengubah pendapatnya dan lebih buruk lagi, mereka tidak akan berasa bersalah sedikitpun!

5. Cuba fahami latar belakang suami anda. Individu yang memiliki sifat ‘temperamental’ biasanya mudah terpancing kemarahannya oleh situasi atau keadaan di luar keinginananya. Hanya kerana tersilap kata ataupun nada suara yang salah sahaja sudah boleh mengundang pertengkaran. Menurut penulis buku ‘The Complete Idiot’s Guide to Body Language’, Dr Peter Andersen, sifat pemarah ataupun panas baran juga sebenarnya boleh disebabkan oleh pola asuhan dalam keluarga juga mempunyai kaitan kepada sifat pemarah individu berkenaan.

6. Justeru itu, pastikan keadaan rumah tangga anda berdua berada dalam keadaan menyenangkan agar suami anda berasa nyaman dan tidak mudah marah-marah seperti berada dalam keluarganya dulu. Cuba dapatkan lebih banyak maklumat mengenai apa yang menyebabkannya gembira dan sebaliknya yang membuatnya kesal dan marah.

http://www.tentangcinta.com/

Kahwin Lelaki Muda Bukan Luar Biasa

Kebahagiaan hidup berumah tangga bukan terletak pada perbezaan usia antara sepasang suami isteri. Namun apa yang penting ialah saling menghormati, memahami, bertolak ansur, bertanggungjawab dan kasih mengasihi.

Jika kesemua perkara ini diikuti pasti bahtera yang dilayari akan bahagia dan aman hingga ke akhir hayat.

Perkahwinan yang dibina antara pasangan suami isteri yang jauh berbeza umur bukanlah trend baru masa kini. Suami yang lebih tua daripada isteri sudah menjadi lumrah.

Pun demikian kini seakan-akan sudah menjadi perkara biasa suami berusia lebih muda daripada isteri. Ada yang berbeza usia melebihi 10 tahun namun mereka tetap bahagia walaupun ada yang mencemburui kebahagiaan mereka.

''Jika telah jodoh, terima sahaja. Buat apa menolak qadak dan qadar yang telah ditetapkan oleh Allah,'' ringkas kata Kapten (B) Ikhwan Azillah, 34 tahun apabila ditanya mengenai perkahwinannya yang masuk tahun ketujuh dengan Orkid Jamilah Awang, 44 tahun.

Walaupun perbezaan umur antara mereka adalah 10 tahun, namun secara realitinya kedua-duanya nampak seperti sebaya. Kelebihan yang ada pada mereka ialah baik Ikhwan atau Orkid, kedua-duanya bertubuh kecil. Mungkin ini yang membuatkan mereka nampak muda.

Kata Ikhwan, ramai yang mengenali mereka tidak mengetahui bahawa sebenarnya umur Orkid lebih 10 tahun daripadanya.

Bercerita mengenai perkenalan mereka, kata Ikhwan, mereka bertemu pertama kali di pameran LIMA di Langkawi pada tahun 1999. Ketika itu, beliau bertugas sebagai juruiring kepada orang kenamaan (VIP), sementara Orkid bekerja di LIMA.

''Waktu itu saya memang tidak ada apa-apa perasaan pada Orkid dan saya tak tahu pun dia lebih tua daripada saya kerana gayanya pun seperti 'tomboi.'

''Kebetulan kami sama-sama orang Muar. Saya minta nombor telefonnya. Malam itu saya menelefonnya mengajaknya makan tapi Orkid tak mahu. Beberapa kali juga saya mengajaknya keluar bersama tapi dia tetap menolak. Selepas balik ke Kuala Lumpur baru Orkid beritahu bahawa dia seorang ibu tunggal. Masa itu saya masih belum tahu tentang umurnya.

''Selepas tiga tahun berkawan, Orkid berterus terang mengenai umurnya tapi saya tak kisah,'' kata Ikhwan yang telah bersara tentera selama empat tahun.

Sambung Orkid pula, pengalaman pahit masa lalu dalam kehidupan berumah tangga menjadikannya seorang yang kental dan tidak pandai dalam bab cinta.

''Kami berkawan macam orang lain, gaduh-gaduh, maki-maki. Tidak ada cinta-cinta. Tapi dalam sehari tu Ikhwan akan telefon lebih 10 kali. Itu yang membuat saya resah.

''Setahun lepas tu, saya pergi ke United Kingdom selama beberapa bulan. Di sana saya mula teringatkan Ikhwan. Saya terfikir dan tertanya-tanya adakah saya memerlukan seseorang dalam hidup saya.

''Saya pulang ke kampung dan perkenalkan Ikhwan kepada mak. Mak terus bertanya kepada Ikhwan bila dia nak kahwin dengan saya. Kata Ikhwan, dia nakkan saya tapi saya yang tak nak dengan dia.

''Saya terangkan padanya mengenai perbezaan umur kami, kematangan dan sebagainya yang banyak perlu difikirkan.

"Dia balik dan fikir. Selepas empat bulan, mak mendapat strok. Dia ingin melihat kami berkahwin. Masa kami nikah, mak terlantar di atas katil dan kami dinikahkan di hadapannya,'' cerita Orkid yang juga jurugambar sambilan.

Celah Ikhwan, dia sukakan Orkid kerana kematangannya dan mereka mempunyai banyak persamaan. Kedua-duanya meminati sukan lasak dan aktif dalam Persatuan Luncur Udara Malaysia yang mana Ikhwan memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden merangkap pengajar.

Tambah Orkid, banyak cabaran yang dilalui pada tahun pertama hidup sebagai suami isteri, hendak memahami dan menyeimbangkan ritma hidup. Orkid pernah mengalami kegagalan rumah tangga, manakala Ikhwan dari kecil bersekolah tentera dan hidupnya penuh teratur.

''Jadi saya kena jadi muda dan dia pun tak rasa sangat saya lebih tua daripadanya. Bagi kami, tua muda tidak penting. Yang penting ialah macam mana nak jalani hidup dengan gembira. Ingat jodoh Allah Taala yang tentukan.

Cerita Orkid, masa mula-mula berkahwin, bapa Ikhwan memberitahunya supaya mengajar saya memanggilnya 'abang' dan bukan nama. Mungkin dia mahu saya menghormati Ikhwan sebagai suami walaupun Ikhwan muda daripada saya.

''Bagi saya, walaupun dia muda namun dia adalah suami yang perlu saya hormati. Saya tidak akan memanggilnya nama-nama yang tidak elok lebih-lebih lagi di khalayak atau di hadapan saudara-mara.

''Saya sudah menghadapi bermacam-macam dugaan dalam hidup. Saya hargai pengorbanannya kerana sudi berkahwin dengan saya walaupun dia berjawatan tinggi dan ada perempuan muda yang ingin berkahwin dengannya, namun dia tetap memilih saya.

"Rumah tangga kami bahagia dan saya harap kami akan bersama hingga ke akhir hayat,'' kata Orkid sambil menggenggam tangan suaminya.


SITI al-Malik adalah wanita bijaksana dan cantik pada zamannya. Kefasihan bertutur dan kepintaran memberikan pendapat merupakan anugerah Allah kepadanya yang menjadikan Siti al-Malik dikagumi oleh orang ramai.

Beliau tegas dan bijak mengatur setiap tindakan bagi menjayakan rancangan yang telah dirangkanya. Oleh sebab beliau memiliki sifat-sifat seorang pemerintah yang bijaksana, maka saudara lelakinya, Al-Hakim bin Amrillah selalu meminta bantuan daripadanya dalam mengemudi tampuk pemerintahan Kerajaan Fatimiyah di negara Mesir.

Al-Hakim yang dilantik sebagai pemerintah hanya tahu untuk berseronok dengan kuasa yang dimilikinya. Beliau tidak peduli dengan urusan kerajaan dan menyerahkan bulat-bulat kepada Siti al-Malik untuk membuat keputusan terbaik.

Al-Hakim hanya memberi arahan kepada pembesar-pembesarnya tentang apa yang patut mereka laksanakan berdasarkan polisi yang dicadangkan oleh Siti al-Malik.

Al-Hakim mula mabuk kuasa dan bertindak mengikut nalurinya. Beliau tenggelam dalam kejahatan dan maksiat yang ditegah oleh agama Islam. Tidak ada siapa yang berani menegur perbuatan Al-Hakim walaupun sudah melampau batas nilai-nilai murni manusia.

Beliau mula berlaku zalim dan kejam kepada mereka yang menentang perintahnya. Rakyat Mesir mula hidup menderita dengan pemerintahan kuku besi Al-Hakim.

Penduduk Mesir yang tidak tahan dengan kekejaman pasukan tentera al-Hakim meminta bantuan daripada orang Turki. Namun bantuan orang Turki lambat tiba. Akibatnya, ramai penduduk Mesir mati dan rumah serta pasar dirosakkan dan dibakar.

Al-Hakim bukan sahaja takut dengan rakyat Mesir yang mula bangkit menentangnya tetapi mula syak dengan Siti al-Malik, saudara perempuannya yang banyak membantunya dalam pemerintahan negara.

Dia tahu Siti al-Malik banyak bergaul dan mempunyai pengaruh terhadap golongan bangsawan dan ulama dalam kerajaannya. Di samping itu, beliau adalah seorang yang bijaksana, fasih pertuturannya dan pintar menangani pelbagai persoalan negara dengan bijak.

Kehebatan Siti al-Malik menjadi ancaman kepada Al-Hakim yang mahu terus memerintah dengan zalim.

"Siti al-Malik mesti dihapuskan supaya tidak menjadi halangan kepada beta meneruskan pemerintahan di negara ini," Al-Malik duduk sendirian di atas kerusi takhtanya sambil memikirkan rancangan untuk membunuh saudara perempuannya.

Rancangan jahat al-Hakim akhirnya sampai ke pengetahuan Siti al-Malik melalui beberapa orang yang menjadi mata dan telinganya dalam istana al-Hakim.

Justeru, Siti al-Malik mula mengatur strategi menggunakan tipu muslihat untuk menyelamatkan dirinya dari dibunuh oleh al-Hakim.

Hampir seharian beliau duduk sendirian dalam biliknya memikirkan strategi terbaik untuk menghapuskan al-Hakim yang semakin berani berbuat apa sahaja untuk kepentingan dirinya. Akhirnya beliau mendapat buah fikiran lalu menulis sepucuk surat kepada Komander tentera al-Hakim.

"Kamu merupakan komander tentera yang paling dipercayai oleh saudara saya. Namun sekarang, kegilaan kuasanya membuatkan beliau mula tidak percaya pada awak lagi. Kini beliau sudah berada di puncak kekejaman dan kezaliman.

"Rakyat sudah tidak tahan dengan penderitaan yang mereka tanggung. Saya bimbang jika mereka akan memberontak dan melantik seseorang yang akan membunuh awak, malahan membunuh kita semua sehingga negara ini hancur".

Komander tentera itu terkejut dan terfikir sejenak tentang apa yang dituliskan oleh Siti al-Malik. Hatinya mula terpedaya dengan muslihat Siti al-Malik. Dia memanggil seorang panglima tentera yang paling dipercayainya lalu membincangkan perkara itu bersamanya.

"Al-Hakim akan mendaki gunung esok dengan anak lelakinya. Perintahkan dua orang tentera yang dipercayai untuk membunuh Al-Hakim. Kemudian kita lantik anaknya sebagai penggantinya. Saya akan berikan hadiah sebanyak 100,000 dinar untuk menjalankan tugas ini," arah Komander tentera itu.

Pada keesokan hari, dua orang tentera dan pengawal istana mengiringi al-Hakim ke gunung menunggu peluang yang terbaik untuk membunuh al-Hakim. Apabila melihat al-Hakim berada keseorangan, kedua-duanya menyerang dan membunuh al-Hakim. Kemudian anak lelakinya yang masih kecil diserahkan kepada pengawal istana untuk dibawa pulang.

"Wahai Siti al-Malik, Siapakah yang patut mengganti takhta pemerintahan negara ini?," tanya pembesar-pembesar dan komander tentera yang datang menghadapnya.

"Apa yang pasti adalah anaknya, Ali bin Al-Hakim harus menggantikan tempat ayahnya. Namun saya akan membantu Ali kerana dia masih kecil untuk menguruskan pemerintahan negara ini," jawab Siti al-Malik dengan jujur dan ikhlas.

Berita lantikan Ali sebagai pengganti ayahnya diterima baik oleh semua rakyat Mesir. Mereka semua menyatakan sokongan kepada Siti al-Malik yang membantu anak saudaranya untuk mengemudi pemerintahan negara Mesir. Mereka semua berkumpul dan berarak ke istana untuk menyatakan sokongan mereka.

"Kita akan memberi sokongan kepada Siti al-Malik dalam menjalankan pemerintahan negara ini," jerit salah pemimpin rakyat yang berhimpun di hadapan istana itu.

Siti al-Malik menjalankan urusan pemerintahan negara dengan begitu teliti dan penuh perancangan agar memberikan manfaat kepada semua golongan rakyat.

Beliau membela nasib rakyat yang tertindas dan memerangi golongan yang mengambil kesempatan terhadap golongan rakyat yang lemah dan miskin.

Pemerintahan yang adil dan saksama membuatkan rakyatnya menggelar sebagai Al-Zahir. Pemerintahan Siti al-Malik membuatkan negara Mesir semakin makmur dan kaya sehingga rakyatnya semakin mencintai Siti al-Malik.

Namun umur Siti al-Malik tidak panjang dan meninggal dunia ketika berusia 40 tahun pada tahun 415 Hijrah.

Petikan daripada buku Srikandi Perisai Nabi terbitan PTS Publications & Distributions Sdn. Bhd.

Keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan bukti Islam serius cegah kemungkaran

MASIH ramai yang tidak faham mesej yang disampaikan hakim syarie, menjatuhkan hukuman maksimum denda RM5,000 dan enam kali sebatan rotan terhadap model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, baru-baru ini.

Kesalahan itu disabitkan mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dihukum mengikut Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987.

Tindakan Hakim Syarie, Datuk Abdul Rahman Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas wanita terbabit mengaku bersalah meminum arak di Hotel Legend Cherating, tahun lalu, adalah wajar hingga disifatkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sebagai tindakan berani dan tepat berdasarkan hukum syariah.

Hakikatnya, keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan itu mampu membuka mata banyak pihak bahawa Islam serius dalam kerja mencegah kemungkaran. Kalau dulu pesalah yang disabitkan kesalahan sekadar menerima hukuman ringan bagaikan melepaskan batok di tangga.

Kini mereka yang terbabit menimbang dengan mata akhirat dan akur pentingnya walaupun kita tidak syarie sepenuhnya, sekurang-kurangnya segala ruang yang ada diguna semaksimum mungkin agar umat Islam berkejar-kejar mengerjakan amalan baik dan benci serta meninggalkan segala bentuk maksiat dan kemungkaran.

Menurut rekod pada Januari lalu, mahkamah sama menjatuhkan hukuman sama ke atas satu pasangan yang melakukan kesalahan sama tetapi kes model sambilan ini adalah kes bagi kali ketiga. Setiap kali hakim itu menjatuhkan hukuman penjara kepada pesalah yang sama, terdengar suara sumbang membantah akan keputusannya atas alasan yang pelbagai termasuk mencabuli jaminan perlembagaan.

Hakikatnya sebarang bentuk hukuman sama ada denda, sebatan atau penjara, semuanya hendaklah dalam bentuk untuk memberi pengajaran kepada pesalah, bukannya untuk mendera atau menyebabkan kecederaan kepada pesalah.

Prinsip hukuman di dalam Islam adalah untuk memberi pengajaran kepada pesalah dan khalayak supaya menginsafi perbuatan itu. Tanpa kita sedari hari ini masyarakat umum diberikan kefahaman yang salah berkaitan pelaksanaan sebatan ke atas pesalah itu dilakukan dengan menyamakan dengan pesalah jenayah lain di dalam undang-undang jenayah sivil.


Masyarakat umum mengetahui bagaimana hukuman sebat dilakukan ke atas pesalah jenayah sivil seperti kes pengedaran dadah, rogol, liwat dan sebagainya. Bagi pesalah sivil hukuman sebat adalah satu hukuman yang amat menyakitkan.

Ini kerana sebatan itu akan mengakibatkan luka luar dan dalam. Ia mengambil masa lebih sebulan untuk sembuh keseluruhan. Parutnya akan kekal selama-lamanya. Kesakitannya dikatakan amat sakit, berdenyut-denyut ke seluruh tubuh. Pada malam hari pesalah terpaksa tidur dalam keadaan meniarap untuk mengelak kesakitan.

Persoalannya adakah hukuman sebat di mahkamah syariah dilakukan dengan kaedah sama dengan mahkamah sivil? Inilah persoalan yang timbul berkaitan hukuman sebat ini yang dianggap sebagai hukuman mahkamah sivil sehingga memberi tanggapan buruk kepada mahkamah syariah apatah lagi pesalahnya adalah wanita.

Oleh itu, mahkamah syariah dikatakan menindas serta menzalimi wanita dengan membezakan kesalahan pesalah sivil yang mengecualikan hukuman sebatan terhadap orang tua dan wanita. Hakikatnya di mahkamah syariah, sebatan dilakukan dengan kekuatan sederhana dan selepas melakukan satu sebatan, pelaksana hendaklah mengangkat alat sebatan ke atas dan tidak menariknya (melibas).

Kebiasaannya sebatan hanya meninggalkan kesan merah dan tidak memudaratkan sehingga mampu memecahkan kulit.

Sewajarnya kita sebagai umat Islam harus sensitif terhadap perkara berkaitan aktiviti yang membabitkan arak ini, bukannya terhadap isu remeh temeh dengan mencampuri sebarang keputusan dikeluarkan mahkamah syariah.

Sebarang keputusan mahkamah syariah bersandarkan kepada peruntukan yang dibenarkan oleh Perlembagaan Malaysia di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 1984 memberikan bidang kuasa kepada mahkamah syariah untuk menjatuhkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 atau enam kali sebatan.

Biarpun hukuman ditingkatkan, belum ada kajian atau penulisan yang mengkaji keberkesanan hukuman ini dalam membendung pembabitan masyarakat dalam jenayah syariah. Mengenai hukuman sebat pula, biarpun diperuntukkan terhadap pelbagai kesalahan jenayah syariah, malah kaedah pelaksanaannya juga dinyatakan di dalam Enakmen Prosedur Jenayah Syariah.

Sebagai umat Islam sewajarnya kita membendung sebarang bentuk aktiviti membabitkan arak ini yang semakin berleluasa dari semasa ke semasa dengan membiarkan orang Islam terbabit secara langsung dengan aktiviti arak ini sama ada di hotel, di kilang pembuatan arak, kedai serbaneka atau di pasar raya.

Harus diingat bahawa bagi kesalahan meminum arak ini, hukuman yang selaras dengan undang-undang harus dijatuhkan bagi menginsafkan pelakunya supaya orang ramai turut sama menjauhi arak.

Selain itu juga hukuman yang diberikan untuk menghindar orang lain daripada meminum arak yang jelas menjadi ibu kepada kesalahan. Apabila minum arak, ia akan menyebabkan seseorang itu hilang akal dan melakukan pelbagai kesalahan.

Apa pun kembalilah kita kepada al-Quran dan Hadis. Biarlah Allah dan Rasul yang menjadi ikutan dan penentu kehidupan kita. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Rasulullah SAW melaknat mengenai arak, 10 golongan: yang memerahnya, minta diperahkannya, meminumnya, membawanya, minta dihantarnya, menuangkannya, menjualnya, makan harganya, membelinya, minta dibelikannya." (Hadis riwayat Tarmidzi dan Ibn Majah)

Disediakan oleh Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohamad Isa Abd Ralip

Bos rumah tangga

Bos rumah tangga

Oleh Nurul Adlina Kamaludin, Rohaniza Idris dan Siti Nur Almizan Aripin
bminggu@bharian.com.my




Pekerjaan amah diberi nafas baru, cuti tahunan, caruman KWSP dan pakaian seragam

TERLALU sukar untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah rakyat tempatan kerana mereka tidak mahu dikongkong, selain tidak menganggapnya sebagai kerjaya yang menarik.

Akibatnya, rakyat Malaysia terpaksa terus bergantung kepada amah asing yang tidak terlatih dengan kualiti kerja yang rendah kerana penawaran khidmat pembantu rumah tempatan begitu sukar untuk diperoleh.

Kesan paling ketara ialah anak yang diasuh oleh pembantu rumah asing ‘tidak menjadi’, suka memberontak dan melawan ibu bapa. Ini kerana kajian mendapati kebanyakan pembantu rumah asing, terutama dari Indonesia yang bekerja di Malaysia mempunyai latar belakang sosial yang rendah dan rosak. Misalnya, mereka bercerai, suami kahwin lain atau konflik keluarga serta menguasai ilmu hitam untuk menundukkan majikan.

Bagi memastikan masalah ini diatasi, kerajaan sedang menimbang untuk memperkenalkan pakej lebih menarik, termasuk menetapkan gaji minimum, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Elaun Sara Hidup (Cola) bagi menarik minat rakyat tempatan menjadikan pembantu rumah sebagai kerjaya.

Malah, pakej menarik itu dijangka dimasukkan dalam pindaan Akta Pekerjaan 1955 dalam usaha mengurangkan pergantungan terhadap pembantu rumah warga asing.

Bagaimanapun, timbul persoalan mengenai kesediaan rakyat Malaysia untuk menjadi pembantu rumah dan bekerja seperti mana khidmat yang diberikan pekerja asing.

Ada yang berpendapat, pembantu rumah tempatan hanya lebih mengutamakan gaji berbanding khidmat yang bakal diberikan, selain mempunyai banyak tuntutan yang mungkin sukar dipenuhi majikan.

Bagaimanapun, ada juga pendapat menyatakan pembantu rumah tempatan lebih memahami kehendak majikan dan mereka berasa lebih selamat kerana risiko untuk mereka lari dan berhenti kerja rendah.

Hakikat ini diakui Profesor Jabatan Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Fatimah Daud, berkata sudah sampai masa kebergantungan kepada tenaga kerja pembantu rumah warga asing ditamatkan kerana ia lebih banyak mendatangkan masalah kepada majikan dan kerajaan.

“Banyak risiko terpaksa difikirkan oleh seseorang itu sebelum mereka mengambil pekerja asing sebagai pembantu rumah, selain bayaran yang tinggi membawa mereka masuk ke negara ini berbanding kos pengambilan pekerja tempatan,” katanya.

Beliau berkata, pembantu rumah asing juga dikhuatiri mengenai asal usul dan kemahiran mereka walaupun mereka masuk ke negara ini secara sah melalui agensi pembantu rumah yang diluluskan kerajaan.

“Sering kali dilaporkan kebanyakan pembantu rumah asing yang dihantar ke negara ini tidak terlatih dan mempunyai kualiti kerja rendah berbanding yang dihantar ke negara lain seperti Hong Kong, Arab Saudi dan Singapura,” katanya.

Prof Fatimah berkata, jumlah rakyat negara ini yang menggunakan khidmat pembantu rumah tidak ramai iaitu sekitar 13 peratus berbanding keseluruhan rakyat di negara ini.

Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia (KPKM) yang dilaksanakan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) 2004, mendapati hanya enam hingga 13.9 peratus keluarga menggunakan perkhidmatan pembantu rumah, manakala 42 hingga 58 peratus masih menggunakan khidmat ahli keluarga.

“Kebanyakan yang menggajikan amah ialah mereka daripada kalangan golongan berpendapatan sederhana mewah dan mewah. Golongan yang berpendapatan rendah memang tidak layak pun menggajikan pembantu rumah kerana syarat memiliki pembantu rumah mesti mempunyai pendapatan tetap,” katanya yang turut mencadangkan supaya pembantu rumah tempatan yang bakal menggantikan tugas amah asing dibayar gaji antara RM700 hingga RM850 sebulan.

Beliau mencadangkan kerajaan menubuhkan institusi latihan kemahiran kepada belia Malaysia yang tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan mereka yang tidak dapat mencari pekerjaan atau menganggur.

Pelatih berkenaan diberikan kemahiran sebagai pembantu rumah seperti latihan memasak, melayan tetamu, mengemas rumah, menjaga anak majikan yang bersesuaian dengan adat dan budaya orang Malaysia.

Ini bermakna lulusan institut berkenaan diberikan sijil dan apabila diserapkan dalam pekerjaan mereka akan diberikan gaji setimpal dengan kemahiran dan tidak lagi dipanggil pembantu rumah, sebaliknya pengurus rumah tangga.

Tugas mereka diiktiraf mengikut Akta Pekerjaan 1955 yang melayakkan mereka diberi cuti tahunan, cuti sakit dan cuti umum, potongan kumpulan wang simpanan pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Jika boleh pengurus rumah ini diberikan pakaian seragam khas.

Ini bererti, majikan akan mendapat pekerja yang mempunyai kualiti yang bagus dan kemungkinan pembantu rumah lari juga rendah kerana jika mereka lari pun mudah dikesan berikutan mereka akan kembali ke pangkuan keluarga dan mudah dihubungi berbanding dengan pembantu rumah Indonesia yang kerap melarikan diri, mencuri, berkenalan dengan pekerja buruh dan paling serius merompak rumah majikan.

Prof Fatimah berkata, di negara maju, pekerja domestik banyak membantu suri rumah atau wanita yang bekerja dari jam 8 pagi hingga 5 petang, tidak tinggal bersama majikan dan bekerja 24 jam sehari. Mereka bekerja seperti pekerjaan harian lain dan diberi cuti pada hujung minggu.

“Kita perlu bersedia untuk menjadi rakyat maju jika mengaplikasikan sistem ini di Malaysia,” katanya.

Beliau juga mencadangkan supaya diwujudkan sistem yang memberi ruang untuk gadis menganggur dan berminat bekerja menjadi pengasuh bekerja sebagai pengasuh komuniti iaitu mengasuh tiga hingga lima bayi dan kanak-kanak di pusat komuniti seperti dewan untuk mengasuh dan mendidik anak-anak ketika ibu bapa keluarga bekerja.

Bayaran yang dikenakan tidak terlalu mahal dan mampu dibayar mereka yang mempunyai pendapatan rendah dan sederhana.

Selain itu, khidmat mengasuh anak-anak diberikan kepada jiran tetangga yang tidak bekerja supaya anak-anak dibesarkan dalam suasana kekeluargaan berbanding ditinggalkan dengan pembantu rumah asing yang tidak tahu adat dan budaya tempatan.

Beliau turut mencadangkan kerajaan menubuhkan nurseri atau tadika atau taman didikan kanak-kanak pada semua pejabat kerajaan serta kilang untuk ibu bekerja.

Justeru, sistem pengurusan rumah tangga yang moden seperti mencuci rumah, pakaian, memasak perlu dipertingkatkan di negara ini. Teknologi seperti alat memasak hendaklah diperkenalkan oleh Mardi, untuk meringankan beban suri rumah.

Sudah sampai masa rakyat Malaysia berusaha untuk tidak bergantung kepada pembantu rumah warga asing semata-mata untuk mengurus rumah tangga dan anak.

Khidmat amah melalui internet
PERMINTAAN untuk amah tempatan terlalu tinggi, sedangkan penawarannya terlalu kurang, kata Pengarah Urusan Homeneed Service Sdn Bhd, Nazari Zain, yang membangunkan laman sesawang bagi membantu majikan mendapatkan khidmat pembantu rumah warga tempatan.

Katanya, hanya ada 14 calon pembantu rumah berdaftar dengannya sejak April lalu.

Pada masa sama, melalui laman sesawang www.oranggaji.com yang turut dimilikinya sudah mencatatkan lebih 200 majikan yang mahu mendapatkan bantuannya mencarikan pembantu rumah tempatan, sedangkan ia tidak mendapat maklum balas daripada mereka yang berpotensi untuk menjadi pembantu rumah.

“Ia sangat memeningkan kepala saya,” katanya sambil menambah masyarakat tempatan perlu dididik untuk menghargai setiap peluang pekerjaan kerana khidmat pekerja asing termasuk pembantu rumah menyebabkan pengaliran wang keluar negara mencecah jutaan ringgit saban tahun.

“Masyarakat di Barat sudah lama melakukan kerja sebagai pengurus rumah sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa bersesuaian dengan kemahiran dan masa luang mereka semata-mata untuk mencari wang tambahan.

“Itu juga yang saya harapkan melalui laman web www.oranggaji.com yang dibangunkan sejak tiga bulan lalu,” katanya sambil menyeru masyarakat tempatan terutama orang muda supaya menghargai setiap peluang pekerjaan yang diberikan selain tidak terlalu memilih kerja.

Sehingga kini, pelbagai kaedah dilakukan Homeneed Service bagi menggalakkan orang tempatan supaya berminat dengan kerjaya pembantu rumah, termasuk membuat rundingan dengan agensi kerajaan berkaitan, namun ia masih tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Homeneed Service turut melakukan sesi pencarian pembantu rumah melalui kaedah luar talian iaitu berdasarkan cerita rakan-rakan dan masyarakat setempat dan maklumat pemberi khidmat yang dikumpul itu kemudiannya dimuatkan ke laman sesawang secara percuma.

Sementara itu, pengasas PembantuAnda, perkhidmatan yang dikendalikan melalui internet, Ayu Catherina Ali, berkata sambutan diterima daripada majikan yang mahukan khidmat pembantu rumah warga tempatan memang menggalakkan.

“Ramai yang mengatakan mahu bertukar angin dengan mendapatkan khidmat orang tempatan kerana tidak mahu terikat dengan hal remeh seperti masalah bahasa dan budaya yang berbeza.

“Tetapi masalah yang timbul ialah untuk mendapatkan pembantu rumah kerana kadang-kadang, dalam sebulan, calon pembantu rumah yang datang hanya seorang dan paling ramai pun lima orang saja,” katanya sambil memberitahu kesemua calon pembantu rumah yang datang untuk ditemuduga ialah wanita berusia lingkungan 23 hingga 50 tahun.

Berbeza dengan Homeneed Service, PembantuAnda cenderung untuk memberikan peluang pekerjaan kepada ibu tunggal dengan bayaran gaji sudah ditetapkan sebanyak RM700 sebulan.

“Tiada levi atau bayaran untuk ejen dikenakan kerana setiap majikan hanya perlu membuat bayaran sebanyak RM700 merangkumi caj perkhidmatan, manakala pembantu rumah akan diserahkan dalam tempoh dua minggu hingga sebulan bergantung kepada bekalan tenaga kerja yang ada,” katanya.

Malangnya, ada segelintir calon pembantu rumah terlalu memilih majikan, termasuk tidak mahu bakal majikan yang mempunyai terlalu ramai anak serta mereka yang tinggal di rumah besar.

“Bilangan anak biasanya bersangkut paut dengan banyak hal terutama kerja rumah atau baju banyak. Oleh kerana itu, majikan yang selalunya mudah laku adalah mereka yang punyai anak antara dua atau tiga orang saja,” katanya.

Bagi memastikan tiada masalah berkaitan tugasan, kesihatan atau salah laku timbul nanti, Ayu Catherina akan memastikan setiap bakal pembantu rumah ditemubual selain diberikan tugasan ringkas sebagai ujian.

“Setiap orang mempunyai cara ketika menguruskan kediaman, justeru kebiasaannya kami akan menasihatkan majikan supaya memberi tempoh seminggu kepada pembantu untuk menyesuaikan diri sebelum membuat sebarang aduan,” katanya.

'Bekerja di rumah lebih selamat, jimat'
“SAYA tidak menyesal bekerja sebagai pembantu rumah kerana ia rezeki halal. Lagi pun saya tidak nampak hinanya bekerja di rumah orang kerana yang penting kita bekerja untuk menyara diri dan keluarga.”

“Malah bagi saya, bekerja di rumah orang lebih selamat. Wang gaji juga dapat disimpan kerana barangan keperluan disediakan majikan.”

Inilah luahan wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Khadijah, 48, yang bertugas sebagai pembantu rumah sejak 30 tahun lalu.

Beliau yang berasal dari Kedah, bekerja sebagai pembantu rumah sejak berusia 18 tahun akibat kesempitan hidup. Malah, sebagai anak sulung, beliau terpaksa berhenti sekolah ketika darjah empat demi membantu ayah dan ibu dan memastikan empat adiknya bersekolah.

Peluang menambah pendapatan keluarga terbentang selepas menerima pelawaan seorang saudaranya untuk bekerja di Kuala Lumpur.

Ketika itu pada 1979, gaji RM150 sebagai pembantu rumah dianggap besar. Malah, ramai rakan-rakan sekampungnya turut bekerja di rumah orang.

“Ia bukan satu masalah besar. Pekerjaan sebagai orang gaji bukan suatu yang asing. Pada masa itu mana ada kilang. Anak gadis pula tidak berani bekerja di restoran kecuali ada ahli keluarga lain turut bekerja di kedai itu.

“Jadi ramai memilih untuk keluar merantau bekerja di rumah saudara mara sendiri. Jarang ada ibu bapa yang melepaskan anak mereka ke tangan orang asing,” katanya.

Selepas enam tahun, beliau kembali ke kampung apabila saudaranya itu bertukar kerja ke luar negara. Sekembalinya ke kampung, beliau bekerja di rumah orang secara balik hari iaitu dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang dengan pendapatan kira-kira RM200.

Setahun kemudian, beliau bekerja di gerai selama setahun.

“Kerja di gerai penat sebab banyak berdiri. Gaji pun kecil iaitu RM100 dan tak menang tangan ketika pelanggan ramai. Berbeza kerja sebagai pembantu rumah, tugas kita lebih teratur.”

Khadijah menyambung semula kerja di rumah orang untuk menyara hidup selepas perkahwinan selama setahun, berakhir. Beliau bekerja selama lapan tahun dan berhenti apabila kesihatan bapanya terjejas.

Selepas bapanya meninggal dunia pada 1999, Khadijah kembali mencari kerja dan hasil pertanyaan di kalangan saudara, beliau dipertemukan dengan majikan sekarang. Malah sudah hampir sedekad beliau bekerja dengan majikan itu dengan pendapatan awal kira-kira RM380 sebulan, kini mencecah RM600.

Itu tidak termasuk bayaran tambahan apabila beliau bekerja pada hari Ahad yang juga hari cutinya serta apabila kehadiran ramai saudara mara majikannya yang memerlukannya bekerja lebih daripada sepatutnya.

“Saya tidak tahu orang lain. Tetapi bagi saya, tiada cacat celanya bekerja di rumah orang. Mungkin juga sebab saya sudah biasa kerana inilah satu-satunya pekerjaan yang saya tahu.

“Lagi pun, persekitaran bekerja di rumah orang ini selamat dan teratur. Saya tidak perlu fikir soal naik bas turun bas dan perbelanjaan pengangkutan.”

Khadijah tidak menafikan tugas sebagai pembantu rumah memang penat kerana kerja rumah tidak pernah selesai. Tetapi beliau melakukannya mengikut waktu tertentu.

“Saya lazimnya mencuci dan mengemas pada sebelah pagi selain menyediakan sarapan. Soal memasak lazimnya saya dan majikan melakukannya bersama-sama.

“Pada sebelah petang, saya melipat baju yang dicuci pada waktu pagi selain membersihkan kawasan luar rumah. Saya menggosok baju pada malam Jumaat dan Sabtu. Pendek kata, semua kerja ada waktunya dan bukan dilakukan serentak. Saya juga ada masa berehat seperti menonton televisyen,” katanya.

Namun Khalijah akui, beliau tidak berhasrat menjadi pembantu rumah sehingga usia lanjut.

“Saya sudah berusia 48 tahun. Ketika ini, ibu saya juga tidak sihat dan jika sesuatu berlaku kepadanya, saya akan pulang ke kampung dan meneruskan kehidupan di sana,” katanya.


Membantu pasangan mencapai potensi diri


Setiap orang sebenarnya memberi pengaruh sama ada secara positif atau negatif terhadap orang lain. - Gambar hiasan

SALAH satu tanggungjawab besar kita sebagai insan di dunia ialah mencapai potensi diri dan membantu orang lain mencapai perkara yang sama agar kehidupan kita akan terus berada pada tahap terbaik.

Tidak kira sama ada kita bergelar ibu bapa, kekasih, rakan atau pemimpin, menjadi tanggungjawab kita untuk membantu insan lain mencapai potensi terbaik hidupnya.

Dengan segala-gala yang kita kata dan lakukan, kita sebenarnya memberi pengaruh sama ada secara positif atau negatif terhadap orang yang kita sayangi.

Berikut ialah 10 cara bagi membantu orang yang kita sayangi melihat dan menyedari apa yang terbaik dalam diri mereka.

Percaya kepada mereka

Sebagai manusia kita memang sentiasa mempunyai sifat keraguan dari masa ke semasa.

Keyakinan kita mudah goyah. Sering kali kita kurang keyakinan dan kepercayaan pada bakat dan kebolehan kita sendiri untuk melakukan sesuatu yang besar.

Mempunyai seseorang yang percaya pada kita pada saat tersebut merupakan sesuatu yang cukup berharga. Sebenarnya di sebalik kejayaan besar seseorang tidak kira wanita atau lelaki adalah insan lain yang percaya pada dirinya.

Memberi galakan

"Anda boleh buat..." " Saya tahu anda boleh..." Ini merupakan kata-kata yang terlalu kerap diucapkan. Galakan yang ikhlas boleh membantu seseorang untuk terus maju dalam apa juga yang dilakukan. Jika lebih spesifik galakan itu akan lebih baiklah hasilnya. Sebagai contoh: "Saya ingat lagi hasil kerja keras tahun lepas, anda berjaya mengalahkan jualan orang lain. Saya yakin kali ini anda boleh melakukan lebih baik."

Memberi pengharapan tinggi

Kita selalu memberitahu orang lain agar jangan cepat mengalah. Kita galakkan mereka mempunyai harapan yang realistik. Tetapi apabila tentang membantu orang lain mencapai potensi terbaik mereka, kita kadang kala perlu meningkatkan lagi tahap harapan kita.

Ada ketikanya kita seolah tidak boleh melakukan perkara tertentu, tetapi apabila guru, ibu bapa atau kekasih terus memberi harapan tinggi kita akan lebih berusaha memenuhi cabaran tersebut.

Beritahu yang sebenar

Dan beritahu dengan penuh tulus ikhlas. Kita kerap mengelak daripada memberitahu yang sebenar kerana kita tidak mahu mengecewakan atau membuat orang mara. Kita mahu dilihat baik. Tetapi memberitahu yang sebenar merupakan satu tindakan yang menunjukkan sebenarnya kita sayang padanya. Anda boleh berterus-terang dengannya tanpa perlu mengasaknya.

Jadi role model

Salah satu cara paling baik untuk mempengaruhi orang lain ialah melalui tindak-tanduk kita.

Jangan fikir orang lain tidak memerhatikan anda. Mereka memerhati segala-galanya secara sedar atau tidak sedar. Kita secara automatik dan tanpa disedari menjadikan diri kita sebagai role model. Oleh itu jadilah role model yang baik.

Berkongsi dengan orang lain

Selalu terlalu kerap kita hilang nilai-nilai berkongsi perasaan dengan orang lain.

Kita tidak mahu kelihatan lemah jadi simpan semuanya. Dengan berbuat demikian sebenarnya kita menyekat orang lain untuk berkongsi pengalaman, pengetahuan dan sifat-sifat kemanusiaan yang kita miliki.

Apabila kita berkongsi pengalaman kita - terutama kegagalan - anda meningkatkan nilai-nilai impati, lebih mudah didekati dan meningkatkan perkaitan dengan orang lain.

Cabar mereka

Perkataan 'cabar' mempunyai konotasi negatif. Maksud yang ingin kita sampaikan di sini ialah, menguji keupayaan dalam situasi yang mendesak.

Dari semasa ke semasa kita perlu mencabar diri sendiri.

Bertanya soalan yang baik

Terapi atau jurulatih yang baik tidak memberitahu pelanggan mereka yang perlu dibuat. Sebaliknya mereka bertanya soalan-soalan yang baik bagi membolehkan mereka memahami diri mereka dengan lebih baik sekali gus dapat melihat sesuatu itu dengan lebih jelas atau membuat pilihan yang baik.

Anda juga boleh buat perkara sama. Dengan memberi soalan yang baik, anda akan mendorong orang itu berfikir dan menghasilkan penyelesaian yang baik. Mereka akan menghargai anda.

Menghargai mereka

Anda akan temui perkara yang anda cari. Jika anda mencari perkara yang terbaik dalam diri seseorang itu, maka anda akan melihatnya. Begitu juga sebaliknya jika anda mencari kelemahan pada orang itu maka anda akan temui kelemahan.

Jika seseorang itu melakukan perkara yang betul, akui dan hargai tindakan mereka. Apabila kita mengakui kebaikan orang, mereka akan cenderung untuk melakukan lebih banyak kebaikan.

Caranya tulislah nota atau hantar kad, atau hubungi dia dan puji dia di depan orang lain.

Habiskan masa dengannya

Dengan memberikan masa anda yang cukup berharga kepada individu lain, anda sebenarnya menunjukkan kepada dia bahawa anda benar-benar menghargai hubungan dengannya.


Islam sedia panduan hubungan antara bukan mahram demi menjaga kebaikan masyarakat

Saya sudah berkahwin dan tugas memerlukan saya bergaul dengan orang ramai, termasuk bukan muhrim. Saya tahu batasan antara wanita dengan lelaki seperti tidak boleh duduk berdua-duaan. Apakah adab lain yang perlu diamalkan oleh wanita dan lelaki Muslim .

Hamba Allah,
Putrajaya.


Hukum bekerja bagi perempuan adalah harus. Namun, kita perlu merujuk penjelasan syarak dalam kebenaran itu. Sayyid Qut membuat ulasan berkaitan pertemuan Nabi Musa AS dengan dua anak perempuan hamba yang salih di Madyan. Sesetengah pandangan mengatakan ia adalah Nabi Syuib AS. Lihat firman Allah dalam ayat 23 surah al-Qasas bermaksud: "Dan ketika dia sampai di telaga negeri Madyan, didapati di situ sekumpulan lelaki memberi minum (ternakan) dan di sebelah mereka dua perempuan yang menahan kambingnya. Dia bertanya: "Apa hal kamu berdua?" Mereka menjawab: "Kami tidak memberi minum (kambing) sehingga pengembala itu membawa ternakan masing-masing dan bapa kami seorang yang terlalu tua.

Musa memberi minum kepada binatang ternakan mereka, kemudian dia ke tempat teduh lalu berdoa: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki yang Engkau berikan." Kemudian seorang daripada dua beradik itu mendapatkannya dengan berjalan tersipu-sipu sambil berkata: "Bapaku menjemputmu untuk membalas budi memberi minum ternakan kami."

Kata Sayyid Qutb, syarat pertama membenarkan wanita bekerja apabila keadaan ekonomi menuntutnya. Dia terpaksa keluar mencari rezeki seperti dinyataka 'ayah kami sudah terlalu tua.'

Perkara kedua ialah jangan ada percampuran bebas antara lelaki dan perempuan. Ia dapat dilihat menerusi ayat: "Kami tidak memberi minum (kambing) sehingga pengembala itu membawa balik binatang ternakan masing-masing" dan syarat ketiga walaupun keluar. ia masih menjaga adab seorang Muslimah. Ini jelas dalam ayat: "Kemudian seorang daripada dua beradik itu mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu." Wanita bekerja wajib menjaga maruah agar tidak menjadi wanita murahan, mudah bergelak ketawa dengan rakan sekerja lelaki. Jangan mudah menawarkan diri berdua-duaan makan tengah hari.

Wanita beriman perlu memelihara diri daripada menjadi alat hiburan lelaki liar. Firman Allah SWT dalam ayat 31 surah an-Nur bermaksud: "Dan katakan kepada perempuan beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala; dan jangan memperlihatkan perhiasan tubuh melainkan kepada suami atau bapa atau bapa mentua atau anak mereka, atau anak tiri, atau saudara mereka, atau anak bagi saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara mereka yang perempuan, atau perempuan Islam, atau hamba mereka, atau orang gaji daripada orang lelaki yang sudah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi mengenai aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentak kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah SWT, wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya."

Merujuk soalan kedua, lazimnya masyarakat Melayu menggunakan perkataan muhrim untuk merujuk golongan haram dikahwini. Sebenarnya perkataan yang tepat ialah mahram. Muhrim dalam bahasa Arab bermaksud orang berihram. Ajnabiula ialah lelaki asing bukan mahram, contohnya jiran atau rakan sepejabat. Ajnabiyyah pula ialah perempuan bukan mahram. Inti pati larangan kepada lelaki dan perempuan ialah jangan berdua-duaan dalam suasana mencurigakan. Hadis Nabi SAW menjelaskan, tidak akan berdua-duaan seorang lelaki dengan perempuan melainkan syaitan jadi yang ketiga.

Lelaki juga diharamkan bermusafir bersama wanita bukan mahram dan menceritakan masalah peribadi kepada wanita ajnabiyyah. Imam Nawawi menjelaskan dalam kitab al-Majmuk, maslahat memelihara hubungan ini demi kepentingan nasab. Amat benar kata ulama seperti Ibnul Qayyim iaitu pensyariatan undang-undang Islam demi keadilan dan kebaikan mutlak. Justeru, menegakkannya menyebabkan kehidupan teratur dan selamat daripada persengketaan.

Penderaan: Titik hitam dalam kehidupan


Penderaan: Titik hitam dalam kehidupan

KES satu: Tiga adik beradik perempuan berusia 13, 15 dan 17. Dua dicabul sementara kakak mereka menjadi mangsa dera seksual daripada usia 10 tahun. Pelakunya ialah bapa mereka sendiri.

Kes 2: Kanak-kanak lelaki dan perempuan (adik beradik), ditinggalkan ibu mereka di padang permainan. Keluarga ini diusir dari rumah sewa kerana gagal membayar sewa. Ayah mereka sudah lama menghilangkan diri.

Kes 3: Pekerja seks kanak-kanak. Seorang kanak-kanak perempuan di'langgani' lelaki semasa ibu bapanya keluar bekerja.

Kes 4: Remaja belasan tahun, anak pelarian, dipaksa bapanya untuk menjual tubuhnya bagi mendapatkan wang untuk si bapa.

Kes 5: Kanak-kanak lelaki yang didera teruk secara seksual semasa merempat di jalanan.

Kes 6: Kanak-kanak lelaki yang didera secara fizikal dan mental oleh ibunya yang sentiasa mahukannya mendapat keputusan A dalam peperiksaan.

Senarai penderaan kanak-kanak di atas mungkin tiada penghujungnya tetapi yang dipaparkan ialah antara kes kanak-kanak yang terdapat di Shelter, sebuah pertubuhan kebajikan berdaftar berpejabat di Petaling Jaya.

BENTUK PENDERAAN

Kes-kes yang disebutkan di atas memberi sedikit gambaran bentuk penderaan yang lazimnya dikaitkan kepada penderaan kanak-kanak, istilah yang digunakan untuk perbuatan menganiayai kanak-kanak.

Ia juga jelas menunjukkan kanak-kanak terdedah kepada pelbagai bentuk penderaan, bukan sahaja fizikal tetapi juga seksual, emosi dan diabai.

Menurut Anderson Selvasegaram yang menyelia rumah-rumah kebajikan Shelter, 51 peratus kanak-kanak yang didera di negara ini dilakukan oleh ibu bapa mereka sendiri.

Perangkaan keseluruhan menunjukkan 70 peratus insiden penderaan kanak-kanak dilakukan oleh orang yang dikenali kanak-kanak itu termasuklah ibu bapa mereka.

"Kanak-kanak yang didera akan juga diabai dan bagi sesetengah kanak-kanak yang ditinggalkan, berkemungkinan juga dalam tempoh dia ditinggalkan, seseorang mungkin telah mendera anak itu.

"Sesetengah ibu bapa mungkin berkata mereka tidak pernah mendera anak mereka tetapi bila anak itu diabai di tepi jalan atau tinggal di rumah bersendirian, pakcik atau jiran mungkin mengambil kesempatan ke atas kanak-kanak itu. Ini juga kes pengabaian kerana ibu bapa gagal memberi perlindungan kepada anak," kata beliau dalam satu wawancara di pejabat Shelter di sini baru-baru ini.

REAKSI BERBEZA

Menurut pakar sakit jiwa Shelter, Alex Lui, kanak-kanak yang didera menunjukkan reaksi yang berbeza selepas didera.

Sesetengahnya, kata beliau, mungkin akan menjadi lebih agresif, yang lainnya menjadi pendiam atau menunjukkan tingkah laku yang anti-sosial.

Tambahnya, ada juga kanak-kanak mangsa penderaan yang mengalami keadaan trauma itu tetapi tidak langsung menunjukkan sebarang kesan.

"Terdapat beberapa faktor yang mungkin mempengaruhi cara bertindak kanak-kanak yang didera seperti usia ketika dia didera dan berapa lama dia didera. Jika untuk tempoh yang singkat, kesannya tidak berapa teruk berbanding kanak-kanak yang didera bertahun-tahun secara konsisten.

"Faktor lain termasuk siapa yang mendera kanak-kanak itu. Sekiranya penderaan berlaku sekali dan dibuat oleh orang yang tidak dikenali, kesan ke atas kanak-kanak itu mungkin tidak seberapa berbanding jika penderanya ialah bapanya sendiri," jelas Lui.

Beliau berkata personaliti seseorang kanak-kanak itu turut memainkan peranan penting dalam menentukan sejauh mana kesan penderaan ke atas diri kanak-kanak berkenaan.

Sesetengah kanak-kanak, katanya, dapat bertahan walaupun didera dan mereka melalui pengalaman pahit seperti tidak ada apa yang berlaku.

"Kami ada kes melibatkan tiga adik beradik. Ibu bapa mereka sering bertengkar dan kadang kala kanak-kanak ini diusir keluar dari rumah dan terpaksa tidur di dalam kereta. Yang menghairankan ialah kanak-kanak ini berjaya dalam kehidupan mereka kemudiannya," kata Lui.

Katanya, sokongan sosial juga ialah faktor penting untuk kanak-kanak yang didera.

"Campur tangan awal serta kaunseling boleh membantu kanak-kanak yang didera. Seperti kes tiga beradik yang dicabul ayah mereka sendiri. Mereka ini bernasib baik kerana ada makcik mereka yang mengambil berat akan kebajikan mereka. Keadaan mereka mungkin lebih teruk jika tidak ada campur tangan awam serta orang yang mengambil berat," katanya, dengan menambah satu lagi faktor ialah agama.

PARUT YANG DALAM

Terdapat pepatah yang bermaksud 'masa yang berlalu menyembuh luka' tetapi menurut Lui, keadaan ini tidak berlaku dalam dalam kes penderaan terutamanya penderaan seksual yang melibatkan orang yang dipercayai kanak-kanak berkenaan.

"Meskipun luka mungkin sudah sembuh tetapi parutnya tetap ada. Kita akan tahu sama ada kanak-kanak yang didera telah dapat menangani keadaannya apabila dia dapat bercakap mengenai penderaan itu tanpa berasa terlalu tertekan.

"Sekiranya kanak-kanak itu tidak dapat bercakap dengan selesa akan pengalamannya didera, ini bermakna lukanya masih belum sembuh sepenuhnya," kata Lui.

Beliau merujuk sekali lagi kepada kes tiga beradik di mana kakak mereka didera secara seksual sejak berusia 10 tahun.

Menurut Lui, dua adik mangsa, sudah boleh menyesuaikan diri dengan penghuni lain sejak tinggal di rumah kebajikan Shelter dan telah mula bersekolah.

Bagaimanapun, kakak mereka belum lagi dihantar ke sekolah. Jelas Lui, remaja itu tidak ke sekolah dari tingkatan satu hingga tingkatan lima.

"Tambahan, si kakak masih lagi trauma dengan apa yang dilaluinya. Dia telah menjadi mangsa dera seksual dari usianya 10 tahun hingga 16 tahun. Tiada siapa yang tahu penderitaannya sepanjang tempoh itu.

"Dalam kes remaja ini, impaknya lebih teruk kerana pelaku adalah bapanya sendiri. Kami mengambil kaunselor wanita untuk mengendalikan kes remaja ini," katanya.

Menurut Lui, dalam sesetengah kes penderaan seksual, mangsa boleh bersikap negatif di sebalik bantuan kaunseling.

Beliau memberi contoh satu kes sumbang mahram yang dirujukkan kepada Shelter beberapa tahun lalu. Mangsa kes itu tinggal di rumah kebajikan Shelter buat sementara sebelum dia dipindahkan ke rumah kebajikan lain.

Remaja perempuan dalam kes sumbang mahram itu merasakan dirinya 'kotor' sehinggakan dia tidak kisah lagi apa yang berlaku ke atas dirinya.

"Dia menganggap dirinya tidak berguna lalu dia menjual tubuhnya," jelas Lui. Katanya, sesetengah mangsa penderaan seksual mampu membina kehidupan baru sementara ada juga yang sukar walau pun hanya untuk menjalin hubungan.

MENCARI PENYELESAIAN

Tekanan serta masalah kewangan sering dikaitkan dengan kes penderaan kanak-kanak dan menurut Lui, majoriti kes berkenaan berlaku dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah.

Sesetengah ibu bapa juga mendera anak-anak mereka dengan hukuman yang keras kemungkinan kerana mereka sendiri diperlaku begitu oleh ibu bapa mereka.

"Kami sedang mengajak ibu bapa untuk datang menyertai program Shelter di mana mereka akan dilatih untuk menguruskan anak-anak mereka kerana banyak kes melibatkan anak-anak yang sukar dikawal. Program ini diambil dari UK dan ia lebih fokus kepada komunikasi.

"Apa yang kami tekankan ialah bagaimana untuk menjadi ibu bapa yang bertanggungjawab. Hubungan insani bukan satu hala di mana cara anak anda bertindak balas dengan anda bergantung kepada cara anda berkomunikasi dengan anak anda. Kami beritahu ibu bapa apabila mereka mengubah tingkah laku mereka, anak-anak juga akan turut menukar perangai mereka," kata Lui.

Beliau percaya ibu bapa akan menjadi kurang tertekan sekiranya mereka belajar cara untuk menguruskan anak-anak mereka dan cara demikian mungkin boleh menangani keadaan penderaan kanak-kanak pada masa sekarang.

Kanak-kanak pada masa ini juga, katanya, lebih tertekan berbanding sebelumnya kerana ibu bapa semakin kurang menghabiskan masa dengan anak-anak mereka ditambah dengan tekanan rakan sebaya dan juga kes buli.

EMPATI ORANG RAMAI

Sementara itu, Selvasegaram memberitahu perlu juga ada lebih kesedaran dalam kalangan orang ramai dalam menangani kes-kes penderaan kanak-kanak.

"Kadang kala apabila kita berjalan di Kuala Lumpur dan terpandang seorang ibu meminta sedekah dengan dua anaknya, kita perlu bertanya sama ada selamatkah untuk anak-anak itu berada di situ.

"Sering kali kita hanya mencampakkan wang 20 sen dan berlalu pergi. Dengan si ibu meminta sedekah dan anak-anak berkeliaran, mereka mungkin menjadi mangsa penderaan," katanya.

Selvasegaram berkata orang ramai seharusnya lebih mengambil berat nasib kanak-kanak itu meskipun kebanyakan mereka ialah pendatang asing.

"Kanak-kanak tetap kanak-kanak. Kita bukan bercakap untuk memberi mereka kad pengenalan atau pasport, hanya memberikan sedikit perhatian kemanusiaan atas dasar mereka adalah kanak-kanak dan kita mesti mengambil berat tentang mereka tanpa mengira siapa mereka? dari mana asal mereka? siapa ibu bapa mereka? tambahnya.

PERLU PERUBAHAN

Menurut James Nayagam, pengarah eksekutif Shelter, terdapat keperluan mendesak untuk menukar 'seluruh sistem' berhubung kanak-kanak didera, ditinggal dan diabai di Malaysia.

Jelas beliau, komitmen untuk perubahan membabitkan semua pihak, bukan sahaja kerajaan.

Kebajikan kanak-kanak ialah yang paling utama. Di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, kanak-kanak mesti dilindungi dan kes penderaan kanak-kanak mesti disiasat.

"Akta ini memang baik tetapi ia tidak dilaksanakan dengan sepenuhnya. Dari segi tindakan, kita perlu bertindak pantas terutama dalam kes kehilangan kanak-kanak. Kita tidak boleh bertangguh apabila kanak-kanak hilang.

"Kita perlu memaparkan gambar kanak-kanak yang hilang itu umpamanya di kotak tisu atau susu. Media juga perlu memainkan peranan utama," kata Nayagam yang terlibat dengan Shelter sejak 28 tahun lalu.

"Kanak-kanak mesti ada suara dan kita ialah suara mereka. Memang kita boleh berdiam dan meneruskan kehidupan tetapi akhirnya apa yang akan berlaku kepada generasi masa depan? Kita mesti menyediakan persekitaran dan sistem yang sesuai untuk mereka membesar," kata Nayagam.

http://www.mstar.com.my/


KESILAPAN KITA MANUSIA.

Semua manusia pernah berbuat silap. Adakah anda takut melakukan kesilapan? Adakah anda tahu bagaimana untuk menangani dan belajar daripada kesilapan? Sering mengulangi kesilapan yang sama? Benci kesilapan dan tidak dapat apa-apa daripada kesilapan?

Usah “bazirkan” hidup anda dengan melakukan kesilapan, tanpa mendapat sesuatu. Pelajarilah bagaimana untuk menangani dan mengurus kesilapan. Lebih daripada itu, anda boleh belajar daripada kesilapan anda! Tip di bawah ini mungkin boleh membantu anda :

Terima Kesilapan Yang Anda Lakukan
Memanglah kalau kita buat silap, kita berasa kecewa dan sedih. Tapi jangan biarkan kesedihan itu ‘memerangkap’ hidup anda. Terima ia sebagai satu pengalaman hidup yang akan terus mendidik dan membimbing anda.

Akui Hakikat BahawaKesilapan Adalah Sebahagian daripada Fitrah Kehidupan
Semakin banyak usaha untuk mencapai kejayaan, semakin besar risiko untuk anda melakukan kesilapan. Orang yang tidak buat silap ialah orang yang tidak buat apa-apa. tetapi tidak berbuat apa-apa adalah kesilapan yang paling besar. Kejayaan bukannya tidak melakukan kesilapan, tetapi tidak melakukan kesilapan yang sama untuk kali ke dua.

Hanya Lembah Yang Rendah Mampu Menadah
Air hanya pergi dan berkumpul di tanah yang rendah. Jika anda asyik meninggikan diri sendiri, maka alamat susah untuk menadah ilmu. Oleh itu, dalam banyak hal, anda perlu merendahkan diri dengan orang lain supaya boleh ‘menadah’ ilmu yang ‘mencurah-curah’ dari orang di sekeliling anda. Barulah anda boleh betul-betul belajar daripada kesilapan yang berlaku.

Sedia Untuk Meminta Maaf
Jangan rasa hina dan malu untuk meminta maaf. Meminta maaf adalah manifestasi kematangan dan rasa tanggungjawab seseorang itu. Jika anda berdiam diri, bukan sahaja dia marah kerana anda buat silap, bahkan menjadi semakin marah kerana ‘ kebiadaban dan berlagak’ yang anda tunjukkan kerana enggan meminta maaf.

Jika Ia Kesilapan Peribadi Anda; Rahsiakannya
Ada kesilapan yang tidak melibatkan orang lain. Jika ini berlaku, simpanlah ianya sebagai satu rahsia hidup anda. Tiada guna anda membuka pekung di dada. Analisalah segera kesilapan itu dan lakukan usaha pembaikan demi perubahan.

Jika Ia Melibatkan Orang Lain?
Berterus terang dengannya, janjikan bahawa anda akan berusaha untuk memperbaiki kesulitan yang wujud kerana kecuaian anda. Setelah berusaha, terangkanlah apa yang anda telah lakukan dan sejauh manakah kerberkesanannya.

Belajarlah Daripada Kesilapan, Elak Daripada Berulang.
Renungkan apa sebenarnya apa yang telah berlaku. Apakah faktor-faktor sehingga berlakunya kegagalan itu. Kemudian, cari jalan untuk mengelakkan daripada perkara yang sama berulang kembali. Jika masih berlaku; mintalah bantuan mereka yang lebih berpengalaman dan berpengetahuan daripada anda. Terangkan kepadanya tentang masalah yang dihadapi secara terperinci. Bahkan kadangkala anda akan dapat mencari penyelesaian ketika anda sedang menerangkan kepadanya!

Jika Ada Kesilapan Yang Memalukan Majikan, Tangani Dengan Segera
Pergilah berjumpa majikan anda secepat mungkin, jelaskan kepadanya apa yang berlaku. Jika tidak, jangan terkejut jika majikan sendiri yang akan mencari anda, atau menyiasat kejadaian hingga ke akar umbi. Lebih teruk lagi, kalau majikan mendengar dan terpengaruh dengan gossip daripada orang lain. Bukankah ini semua akan ‘mengucar-ngacirkan’ hidup anda?

Jika Anda Tidak Dapat Memperbaiki Kesilapan Itu, Minta Bantuan
Tanyalah rakan-rakan anda yang lebih arif dalam bidang tersebut. Bincangkan dengan dia, apakah tindakan yang anda telah lakukan, dan kenapa masih tidak berjaya. Kemahiran memujuk dan mendorong sangat penting dalam proses ini.

Dipetik dr:http://koleksicinta.com/

6 KESILAPAN BERCINTA

6 KESILAPAN BERCINTA

Mungkin keadaan ini pernah menimpa diri anda. Keluar temu janji dengan seorang lelaki dan kembali ke rumah dengan perasaan gembira kerana merasakan diri telah bertemu jejaka idaman yang sempurna untuk dijadikan kekasih hati.

Malangnya, selepas malam itu, tiada langsung panggilan daripada si dia. Lelaki yang dikatakan sempurna dan sesuai buat anda itu seolah-olah cuba menyepikan diri. Kenapa?

Sebabnya, anda mungkin berpandangan temu janji itu sempurna tetapi hakikatnya ia tidak seperti yang diharapkan. Ada kalanya, wanita kurang menyedari bahawa mereka telah melakukan beberapa kesalahan besar sehingga merosakkan temu janji tersebut.

1. Terlalu kerap bertemu janji tidak produktif.

Anda perlu tahu memilih temu janji. Jika bertemu dengan lelaki-lelaki yang tidak berguna, elakkan diri untuk terus bersama dengan mereka. Carilah alasan supaya mereka tidak lagi mengajak anda keluar.

Masalahnya, wanita selalunya tidak sabar. Mereka mahu apa yang diingini diperoleh pada saat itu juga. Inginkan ganjaran serta-merta. Tetapi, perlu juga diingat kadang-kala berbaloi untuk kita menunggu hadirnya seorang lelaki yang baik dalam hidup.

Mungkin, anda hanya berpeluang keluar temu janji sekali dalam setahun. Tetapi, ia berkemungkinan adalah yang terbaik berbanding terlalu kerap bertemu janji tetapi semuanya mengecewakan.

2. Keluar bersama teman-teman dengan harapan bertemu lelaki pujaan.

Apabila bersama teman-teman khususnya wanita, anda sebenarnya tidak akan didekati oleh lelaki. Sebabnya, lelaki bujang sebenarnya amat penakut. Ada teori menyatakan bahawa wanita yang keluar secara berkumpulan tidak akan menarik perhatian kaum lelaki.

Lelaki yang mempunyai kualiti tidak akan menghampiri kumpulan wanita tersebut dan kemudian mengajak anda keluar dengannya di hadapan teman-teman anda. Lelaki seperti itu tidak akan berani melakukannya. Jadi idea paling baik, keluarlah bersendirian.

Pilihlah meja terbaik untuk menikmati makanan atau minuman sambil membaca buku kegemaran anda. Berpura-pura anda sedang sibuk. Keadaan itu sebenarnya membuatkan anda lebih mudah didekati apatah lagi anda sedang bersendirian.

3. Wanita selalu beranggapan seorang lelaki akan menyukai mereka setelah si dia mula mengenali diri mereka.

Sebenarnya, pada saat bertemu, seseorang lelaki itu sudah tahu sama ada dirinya berminat dengan anda ataupun tidak. Dalam hidup seorang lelaki, tiada istilah ‘memanaskan badan’.

Lelaki umpama mikrowave dan wanita pula seperti belanga. Wanita lambat merasai ‘kehangatan’, mereka selalunya akan mengumpul semua maklumat mengenai si dia kemudian mentafsirkan ia sebelum mengambil kata putus. Sedangkan lelaki mengetahui jawapannya dalam satu saat, ya atau tidak.

4. Terlalu bercerita dan berkongsi mengenai temu janji.

Wanita bujang terlalu menaruh kepercayaan kepada pasangan temu janjinya sehingga membuatkan dia menceritakan terlalu banyak kisah tentang dirinya.

Mereka sebenarnya sedang memberi dan melonggokkan maklumat kepada lelaki terbabit – terlalu banyak. Apa yang selalunya diluah wanita: “Saya kini berasa tenang sebab dia adalah rakan baik saya. Saya boleh bercerita dengannya tentang apa sahaja.”

Hakikatnya, wanita sedang berada dalam keadaan gelisah dan bimbang sehinggakan mereka menceritakan segala kisah hidup mereka. Cuma, kadang kala kisah hidup mereka itu bukanlah satu kisah yang menarik untuk dikongsi bersama.

5. Tidak membenarkan lelaki bercakap.

Cara anda bercakap atau berbual kala keluar berpacaran sepatutnya seperti perlawanan tenis iaitu ada komunikasi dua hala. Tetapi, sepatutnya lelaki diberikan kuasa untuk bercakap lebih banyak daripada wanita. Tiga kali lebih banyak daripada wanita seperti nisbah 3:1.

Lelaki bercakap, bercakap dan bercakap kemudian barulah tiba giliran anda pula untuk meluahkan kata-kata. Namun, anda boleh menjawab pertanyaannya setiap kali si dia selesai berkata-kata.

Dan, kemudian anda juga boleh memulakan perbualan dengan bertanyakan soalan tetapi pastikan ia tidak lari daripada topik yang sedang diperbualkan.

Jangan pula terus bertanya: “Adakah awak ingin berkahwin? Apa perkara yang disukai oleh bekas teman wanita awak?” Ingat, jangan sesekali lakukan perkara itu. Sebaiknya, mulakan perbualan daripada topik atau cerita yang sedang dibualkan.

6. Lupa menjaga tingkah laku dan adab sopan.

Kunci utama pada satu temu janji yang berjaya adalah senyuman. Tawan hatinya dengan pandangan mata. Biarkan dia ‘memimpin’ pentas pertemuan itu dan anda hanya menyuntik perkara-perkara kecil yang dapat membantu menghangatkan suasana.

Contohnya, andai si dia memesan pencuci kulit dan anda berkongsi menikmatinya, katanya: “Inilah kek coklat paling enak dan saya gembira awak memilihnya.”

Tingkah laku dan adab sopan, itulah kuncinya. Kebanyakan orang tidak menitikberatkan tentang perkara itu atau sengaja buat-buat lupa setiap kali keluar temu janji dengan si dia.

Dipetik dr:http://koleksicinta.com/

Berkahwin selepas jumpa surat cinta

Berkahwin selepas jumpa surat cinta


Steve Smith dan Carmen Ruiz-Perez akhirnya bertemu jodoh.


KALAU sudah jodoh tak ke mana. Begitulah yang berlaku pada sepasang kekasih di London, England, yang terpisah lama akhirnya berkahwin gara-gara surat cinta yang dihantar 10 tahun lalu ditemui semula.

Steve Smith dan Carmen Ruiz-Perez, masing-masing berusia 42 tahun, berkahwin selepas 16 tahun berpisah.

Pasangan itu jatuh cinta dan bertunang ketika usia mereka 20-an apabila Carmen berhijrah ke England untuk berlajar.

Bagaimanapun, selepas setahun pasangan itu terpaksa berpisah disebabkan Carmen berpindah balik ke Perancis.

Beberapa tahun kemudian Steve menulis surat kepadanya dalam usaha untuk menyambung percintaan yang terkandas.

Malangnya surat tersebut tidak sampai ke tangan Carmen apabila ia terjatuh dan terselit di tepi tempat pendiangan di rumah Carmen.

Carmen hanya dapat membuka surat cinta itu 10 tahun kemudian selepas ia ditemui apabila tempat pendiangan tersebut, baru-baru ini dirobohkan untuk pengubahsuaian.

Carmen yang masih bujang dan tidak pernah melupakan percintaan pertamanya itu - menerima surat Steve yang antara hanya menyebut: "Saya harap anda sihat. Saya menulis untuk bertanya sama ada anda telah berkahwin atau masih mengingati saya."

Menurut Steve, dia tidak menulis panjang kerana mengagak Carmen sudah berkahwin.

"Tidak pernah terfikir selepas 10 tahun kami dapat bertemu semula," katanya.

Pasangan itu kemudian bertemu di Paris beberapa hari kemudian dan mengambil keputusan berkahwin - 17 tahun selepas jatuh cinta kali pertama.

Perihal wanita tawar diri untuk diperisterikan
Dato' Dr Haron Din

SOALAN: Dato' bolehkah atau tidak seorang perempuan menyerah diri kepada seorang lelaki untuk diperisterikan atas alasan mengikut sunnah, sepertimana berlaku pada seorang perempuan pada zaman Nabi Muhammad s.a.w, menyerah diri kepada baginda untuk diperisterikan dan baginda menerimanya sebagai isteri. Mohon penjelasan. - MAWAR UNGGU, menerusi e-mel

Memang benar apa yang anda nyatakan bahawa pernah berlaku pada zaman Nabi Muhammad s.a.w., seorang perempuan datang menghadap baginda dan menyerah diri kepada baginda untuk dinikahi.
Malah ada beberapa orang (bukan seorang sahaja) yang menghebahkan diri mereka kepada Rasulullah s.a.w, untuk diterima sebagai isteri dan baginda telah memperisterikan mereka.
Al-Imam al-Bukhari, meriwayatkan sebuah hadis daripada A'ishah r.ha, katanya (mafhumnya): "Salah seorang yang berbuat demikian ialah Khaulah binti Hakim."
Menurut al-Imam al-Zamakshari, ada empat orang yang menyerah diri kepada Rasulullah s.a.w. sebagai hibah atau hadiah kepada Nabi iaitu, Maimunah binti Haris, Zainab binti Khuzaimah yang dikenali dengan Ummul Masakiin, Ummus Shariq binti Jabir dan Khaulah binti Hakim.
Pernikahan Rasulullah s.a.w. dengan mereka ini adalah pernikahan yang memenuhi cukup syarat dan rukun untuk dinikahi. Malah diri baginda sendiri dalam konteks ini, baginda pernah bersabda (mafhumnya): "Saya dijadikan Allah daripada pernikahan yang sah, turun temurun daripada Nabi Adam a.s. sehingga ibu ayah saya melahirkan saya ke dunia ini."
Namun demikian, perlulah diketahui lebih lanjut dan jelas bahawa, perempuan-perempuan yang datang menyerah diri kepada Rasulullah s.a.w., Allah telah sebutkan dalam al-Quran sebagaimana firman-Nya (mafhumnya): "Wahai Nabi, sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isteri-isterimu yang engkau berikan mas kahwinnya, dan hamba-hamba perempuan yang engkau miliki daripada apa yang telah dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang; dan (Kami telah halalkan bagimu berkahwin dengan sepupu-sepupumu, iaitu): anak-anak perempuan bapa saudaramu (daripada sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (daripada sebelah bapa), dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (daripada sebelah ibu) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (daripada sebelah ibu) yang telah berhijrah bersama-sama denganmu; dan (Kami telah halalkan bagimu) mana-mana perempuan yang beriman yang memberikan dirinya kepada Nabi (untuk dikahwininya dengan tidak membayar mas kahwin) kalaulah Nabi suka berkahwin dengannya; perkahwinan yang demikian adalah khas bagimu semata-mata, bukan bagi orang-orang yang beriman umumnya; sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada orang-orang mukmin mengenai isteri-isteri mereka dan hamba-hamba perempuan yang mereka miliki; - supaya tidak menjadi keberatan bagimu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Ahzab, ayat 50)
Ayat tersebut, dengan jelas dan nyata bahawa Allah menyebut perihal perempuan yang datang, menghibah atau menghadiahkan dirinya kepada Nabi s.a.w. ialah khusus untuk Rasulullah s.a.w. sahaja, bukan untuk umatnya.
Apabila ianya khusus untuk Nabi, maka ia sama sekali tidak boleh dijadikan alasan untuk ia menjadi sunnah. Oleh kerana itu, maka ia tidak boleh diamalkan.
Diriwayatkan oleh perawi hadis yang mahsyur dari jalan (tariq) sahal, dalam kitab-kitab yang sahih, disebut perihal seorang perempuan datang menghadiahkan dirinya kepada Rasulullah s.a.w., untuk dijadikan isteri, akan tetapi baginda terdiam tidak menjawab apa-apa.
Bagaimanapun ada seorang sahabat memecah kesunyian itu dengan berkata, "Ya Rasulullah, sekiranya Rasulullah tidak berhajat kepadanya, maka nikahkan saya dengannya."
Lalu baginda memerintahkan sahabat itu menyediakan mahar, akhirnya kedua-dua mereka dinikahkan baginda.
Semua keterangan ini jelas membuktikan bahawa dalam kes hibah (hadiah) atau serah diri memang berlaku. Rasulullah s.a.w berkahwin dengan cara hibah, tanpa mahar sebagai suatu keistimewaan untuk diri baginda.
Adapun untuk diri kita, umatnya pada waktu ini, perkahwinan hibah ini tidak berlaku.
Yang boleh berlaku ialah perkahwinan biasa yang memenuhi syarat nikah, barulah sah perkahwinan. Wallahua'lam. - lanh _

Kaya tidak mesti bahagia


Walaupun sudah berkahwin bertahun-tahun lamanya, kita perlu menanyakan kepada diri, adakah cinta dan sayang kepada pasangan kita itu selaut? - Gambar hiasan


KAU mesti ingat, perkahwinan itu bukan untuk sehari dua. Sebaliknya, ia untuk selama-lamanya. Sebab itu, susah senang kena hadapi bersama. Mungkin pesanan ini sering kali disampaikan atau diperturunkan kepada pasangan pengantin oleh orang tua-tua sebagai pendedahan melangkah ke alam hidup berumah tangga.

Malah semakin usia perkahwinan melangkah ke hadapan melepasi fasa pertama dan pada masa yang sama, bahtera perkahwinan terus menerus mengharungi cabaran semasa. Kesabaran menangani asam garam dalam kehidupan berkeluarga, akhirnya diraikan dengan pelbagai cara.

Pun begitu, tempoh sedekad atau sehingga mencapai sambutan sempena jubli perak atau jubli emas sekalipun, tidak akan membawa apa-apa pengertian andai ia dinilai dari sudut usia semata-mata. Aspek seperti matlamat, tujuan dan perlaksanaan syariat hidup berumah tangga Islam itulah yang seharusnya turut diambil kira.

Sayangnya, penentuan kebahagiaan berkait rapat dengan sikap, kedudukan dan fahaman seseorang terhadap kebahagiaan. Ada orang beranggapan bahawa kebahagiaan itu boleh dicapai dengan adanya harta dan wang ringgit yang banyak. Ada pula beranggapan kebahagiaan itu ialah mengenepikan hal-hal keduniaan, kemajuan dan kemewahan.

Namun, pernahkah kita bertanya kepada diri kita, adakah perkahwinan kita itu sarat dengan unsur-unsur seperti kedamaian, kesejahteraan dan kebahagiaan? atau adakah ia sekadar angka yang hendak dibanggakan?

Hakikatnya, menurut Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail, kebahagiaan adalah sesuatu yang abstrak, pun begitu sesuatu yang amat penting kepada setiap insan. Malah setiap manusia tidak kira bangsa, agama, status dan usia mendambakan kehidupan berkeluarga yang harmoni dan bahagia.

Mengulas tajuk forum dalam Seminar Rumahku Syurgaku - Kau Dekat di Hati iaitu 'Selaut Kasih, Segunung Sayang' anjuran anjuran Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial & Pengurusan Masjid (Kesuma), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Masjid Negara kata Sharifah Hayaati, seperkara yang tidak dapat dinafikan apabila menyentuh dan menyebut tentang kasih sayang Allah, ia memang melaut. Apatah lagi, laut itu tidak bertepi.

Malah, beliau turut menyarankan agar setiap insan, sama ada isteri mahupun suami mesti selalu menadah tangan kepada Yang Maha Kuasa, Allah SWT meminta agar dikurniakan rumah tangga yang diibaratkan syurga di dunia.

"Rumah tangga itu adalah satu ibadat dan nikmat Allah SWT, jadi kita patut baca balik atau semak semula serta membuat muhasabah diri. Walaupun sudah berkahwin bertahun-tahun lamanya, kita perlu menanyakan kepada diri, adakah cinta dan sayang kepada pasangan kita itu selaut?

"Jangan sesekali kita mengambil kesempatan atas panjangnya tempoh perkahwinan kita itu. Ini bermaksud, dari dahulu hingga sekarang, perkahwinan kita itu janganlah begitu sahaja. Yang penting bunga-bunga cinta itu perlulah sentiasa dimekarkan dan disemarakkan selalu agar elemen bahagia itu berkekalan sehingga ke hujung hayat.

"Malah kita kena selalu tanamkan dalam diri, bahawa setiap kali kita menghadiri majlis ilmu, khususnya berkaitan hubungan suami isteri, kita kena pasang niat bahawa tujuannya adalah semata-mata untuk mendapatkan kebahagiaan dalam perkahwinan dan kehidupan berkeluarga.

"Begitu juga kalau ada masalah, itulah lumrah rumah tangga seperti lidah yang ada ketikanya tergigit. Maka, minta Allah perbetulkan. Kalau ada kasih sayang yang tidak ditunjukkan, maka disegar dan dibugarkan," terang beliau.

Menurut Sharifah Hayaati, ini kerana setiap pasangan itu sendiri akan boleh mengetahui dan merasai sekiranya hubungan itu tidak ada kekuatan kasih sayang.

Kata beliau lagi, ramai di antara kita yang tidak nampak atau perasan dengan nikmat yang dikurniakan-Nya dan apabila disedari ia sudah terlambat iaitu apabila ia sudah tiada.

Contohnya nikmat tidur atau makan, ia disedari setelah kita mengalami kesakitan, begitu jugalah dengan kebaikan suami atau isteri, ia disedari setelah mereka tiada lagi.

Menurut Sharifah Hayaati, Islam telah meletakkan asas yang sempurna supaya rumah menjadi suatu tempat yang selesa kerana kebahagiaan itu bermula dari rumah.

Oleh itu, untuk menjadikan rumah itu sebagai syurga sesuai dengan sabda Rasulullah SAW: Rumahku adalah syurgaku, ia memerlukan kepada kekayaan hati. Ini dijelaskan menerusi hadis Rasulullah yang bermaksud: Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan sebenar ialah kaya hati. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

"Apabila hati menjadi tenteram, tenang dan merasa cukup serta bersyukur terhadap nikmat yang dimiliki, maka apa juga yang melanda dalam rumah tangga, ia mampu ditangani secara bijaksana.

sifat-sifat mulia

"Justeru, dalam hal ini, hati perlu dijaga dan beri haknya, supaya lahir sifat-sifat mulia dan terpuji seperti amanah, bersyukur dan sebagainya," katanya.

Di samping itu, dalam konteks membina 'syurga' dalam rumah tangga, kesedaran terhadap peri pentingnya ilmu pengetahuan sangat mustahak demi melahirkan rasa tanggungjawab melaksanakan peranan masing-masing.

"Suami sebagai ketua keluarga adalah berkewajipan memimpin isteri dan anak-anaknya melalui kehidupan yang diredai Allah dengan memberi didikan agama dan menyemaikan nilai-nilai murni kepada mereka," ujar beliau.

Sementara itu, Kaunselor Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Norazman Amat pula menjelaskan, dalam konteks kasih sayang atau membina kasih sayang khususnya hasrat membina rumah umpama syurga, antara kriteria yang perlu ada ialah penghuninya hidup dengan berkasih sayang.

Ulas beliau, syurga itu terbina daripada asas perkataan; Shim, Ra, Ga dan Alif. Shim itu bermaksud seronok. Dalam konteks rumah tangga misalnya, suami dan isteri itu perlu saling seronok.

Ia lebih terletak pada wajah, layanan dan sebagainya yang akan melahirkan bibit-bibit kasih sayang. Lagu Nash, Ada Syurga Di Wajahmu amat sesuai dihayati.

Ra pula bermakna riang yang menjurus kepada layanan secara jujur dan ikhlas daripada suami atau isteri. Manakala Ga pula ialah gaya kehidupan.

"Sayangnya, ramai yang terleka dalam aspek ini, terlepas pandang atau mengambil mudah. Oleh itu, selagi kita mengamalkan gaya hidup berkeluarga sebagaimana yang digariskan oleh Allah SWT, insya-Allah akan terbinanya rumahku syurgaku itu. Yang akhir iaitu Alif, yang bermaksud isteri dan anak-anak," jelas beliau.

Norazman dalam ceramahnya turut menekankan soal kepentingan setiap pasangan suami isteri itu menunjukkan kasih sayang secara pengucapan dengan kata-kata pujian dan ungkapan romantis. Malah hubungan ini akan bertambah kuat dan kukuh, sekiranya disertakan dengan bahasa badan.

"Adakah sayang itu berterusan sampai sekarang? Itulah yang perlu ditanyakan kepada diri individu setiap pasangan yang berkahwin. Perkataan sayang itu ada tidak disebutkan kepada pasangan masing-masing dari dahulu hingga sekarang?

"Malangnya, dalam budaya orang Melayu, kalau si suami atau si isteri itu menyebut benda-benda yang elok seperti pujian sayang, dianggap sudah buang tabiat. Itulah yang salah dan persepsi inilah kena diubah oleh pasangan berkahwin," tegasnya bahawa sayang itu tidak bertepi, tidak berhenti dan tidak hanya untuk kepentingan peribadi semata-mata.

Menjelaskan tentang mencari keseimbangan dalam suasana rumah tangga dwi kerjaya pula, kata Norazman, senario sebegini memang bukanlah sesuatu yang janggal.

"Tidak dapat dinafikan bahawa kedua-dua suami isteri zaman sekarang kena keluar bekerja demi memenuhi kehendak di dalam rumah tangga dan perkembangan semasa kehidupan. Pun begitu, janganlah benda atau material itu menjadi tekanan kepada rumah tangga. Contohnya, meniru atau membandingkan gaya hidup dengan orang lain seperti jiran atau teman.

"Keperluan kehidupan itu walaupun perlu ada tetapi biarlah ia berpadanan, berpatutan atau berwajaran dengan kemampuan yang ada. Malah walaupun mampu, adakah ia satu keperluan? Jika tidak perlu tetapi kita tetap mengingininya, lantas dalam konteks agama Islam, di situ sudah berlaku pembaziran.

"Hari ini fenomenanya, ramai suami isteri yang dwi kerjaya maka wujud di situ tanggungjawab bersama. Namun tidak lari daripada konsep, isteri berkerja membantu ekonomi keluarga manakala suami tunggak dalam rumah tangga. Oleh itu, resipi yang perlu ada dalam rumah tangga dwi kerjaya iaitu kenalah dilakukan perancangan kewangan bersama," terang Norazman. Bekerja bukan sahaja untuk memenuhi keperluan asas tetapi kena bijak merancang kewangan seperti peruntukan untuk pendidikan anak-anak, pinjaman, tabungan yang semuanya demi keharmonian, kebahagiaan dan kerukunan rumah tangga.

Oleh itu, pesanan beliau, lelaki atau perempuan masing-masing mempunyai peranan dalam kehidupan di dunia untuk menjayakan wawasan hidup berkeluarga. Di samping itu, kita juga kena beringat bahawa setiap yang Allah beri itu, akan ditanyakan oleh-Nya terutamanya berkaitan harta yang dimiliki, masa, usia dan sebagainya.

Kefahaman mengenai tanggungjawab rumah tangga dan kerjaya ini apabila difahami, disokong dan didokong maka masalah akan mengecil.

Pada majlis yang sama Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Kesuma, Jakim, Zawiah Hassan mengatakan bahawa 99.5 peratus anak-anak yang bermasalah datangnya dari rumah tangga yang bermasalah. Rumah yang porak peranda adalah disebabkan oleh ibu dan bapa itu.

Lantaran itu, ibu bapa kini perlulah berusaha menyediakan suasana dan persekitaran rumah yang kondusif atau selesa bagi anak-anak mereka. Ini secara langsung, dapat mengelak anak-anak ini mencari kebahagiaan dan ketenangan di luar rumah.

"Perkara pokok yang perlu ada bagi setiap seorang daripada kita ialah belajar untuk menjadi orang yang bersyukur kepada Allah SWT. Malah kita kena percaya dan mengakui bahawa tidak ada sesuatu yang sempurna di dunia ini kecuali-Nya.

"Oleh itu, sebarang masalah, cabaran dan musibah itu adalah lumrah kehidupan. Yang mana perkara-perkara itulah menjadikan suami, isteri dan anak-anak lebih matang dalam melihat sesuatu situasi.

"Selain itu, kita persoalkan diri adakah kita ini benar-benar mengenali pasangan kita? Perkahwinan yang berkekalan lama, jangan dijadikan alasan untuk tidak menilai perkara ini semula. Hakikatnya, sifat kenal mengenali inilah kena sentiasa dinilai secara berterusan," kata beliau kerana kursus perkahwinan tidak mampu membendung perceraian.

Cadang Zawiah lagi, terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk menyemarakkan rasa cinta dan kasih dalam sesebuah keluarga iaitu; melaksanakan solat berjemaah, makan bersama, membaca al-Quran, berzikir, beriadah, berpuasa, bergurau senda serta tidak kurang penting iaitu menghadiri majlis-majlis ilmu. Ini kerana katanya majlis ilmu itu adalah Raudhatul Jannah.

Seminar yang berlangsung di Dewan Solat, Majid Negara itu telah dirasmikan oleh Pengarah Kesuma, Ghafani Awang Teh. Manakala moderator pada forum itu ialah Imam Masjid Negara, Azhar Tuarno.

Kesabaran suami melembutkan Sumayyah

Kesabaran suami melembutkan Sumayyah


Pada setiap tahun bulan Ramadan menyaksikan 180,000 lelaki, perempuan dan kanak-kanak datang dari seluruh Kuwait menunaikan solat tarawih di Masjid Agung yang merupakan masjid terbesar di Kuwait.


MENGAPAKAH dakwah Rasulullah SAW mudah diterima? Jawapannya sudah tentu disebabkan oleh keperibadian, sahsiah serta penampilan Islamik yang menjadi qudwah atau role model kepada umat manusia.

Hakikatnya, ramai yang terlepas pandang bahawa salah satu kaedah atau uslub dakwah yang paling berkesan ialah dengan contoh teladan atau dalam istilah dakwahnya, bil-hal.

Yang pasti, inilah yang akan memberi nilai tambah kepada khalayak lain, sama ada bukan Islam mahupun segelintir kumpulan atau individu Islam yang sudah jauh dari Islam untuk melihat dan sedar kembali tentang kecantikan Islam itu.

Seorang penulis bebas yang sebelum ini beragama Kristian, Sumayyah Meehan mengakui bahawa keperibadian mulia suami sepanjang tempoh perkahwinan mereka telah menjadi titik tolak kepada penghijrahan akidahnya.

Sedangkan katanya lagi, ketika mendirikan rumah tangga kira-kira 12 tahun lalu, beliau langsung tidak berhasrat bertukar kepada agama anutan suaminya iaitu Islam. Apatah lagi, Islam pada saat itu, sering dilabel secara negatif dan jahat, terutamanya terhadap golongan hawa mereka.

"Siapa sangka, suami saya sendiri adalah sebab yang membawa saya kepada agama Islam. Apa tidaknya, kalau sebelum ini saya melihat Islam dari sisi gelapnya sahaja.

"Tetapi kebaikan, kasih sayang yang ditunjuk dan dilakukan suami mengubah segalanya. Saya bersyukur dianugerahkan jodoh dengan seorang lelaki yang baik dan banyak membimbing.

"Suami saya adalah seorang manusia yang amat memahami dan bersikap begitu toleransi. Jangankan untuk memaksa saya agar mengikut agamanya, jauh sekali mendera mental mahupun fizikal, waima mengetahui keengganan keras saya bergelar muslimah.

"Malah hanya satu sahaja permintaannya sebaik kami bergelar suami isteri iaitu agar saya cuba untuk membaca kitab terjemahan al-Quran.

"Itupun katanya, kalau tidak selalu, dia minta agar saya membukanya sekali-sekala dari semasa ke semasa. Ohh... itu mudah sahaja. Spontan saya bersetuju dengan permintaannya itu," cerita Sumayyah yang dipetik dari laman web islamonline.net.

Kata ibu beranak tiga ini lagi, sebaik bernikah mereka berpindah ke kampung halaman suami di Kuwait, tambahan pula ekonomi di Amerika Syarikat (AS) sedang tidak menentu.

Senario ini sudah pastinya tidak menjanjikan peluang kepada mereka untuk menikmati kehidupan yang selesa dan baik di negara berkuasa besar itu lagi.

"Pada saat kaki menuruni tangga kapal terbang, mahu tidak mahu saya bagai dipaksa untuk berada dalam satu dunia baru yang penuh dengan Islam.

"Daripada orangnya yang majoriti Muslim, adat kebudayaan malah merangkumi cara pemikiran dan tingkah laku mereka semuanya berpaksikan agama Islam.

"Kalau hendak diikutkan hati, mahu sahaja saya lompat balik ke dalam perut kapal terbang dan balik semula ke AS. Saya benar-benar rasa keseorangan, seluruh perasaan dihantui dengan rasa ketakutan yang amat sangat.

"Namun semua itu lenyap apabila suami sentiasa berada di sisi, tidak kira dalam apa juga situasi. Malah dalam soal pemakanan sekali pun, dia berusaha mencarikan makanan yang sesuai dengan selera saya kerana tahu masakan ibunya yang berempah itu agak pedas bagi orang baru seperti saya," terang Sumayyah.

Kongsinya lagi, apabila beliau rindukan ahli keluarga dan kampung halaman, suaminya lah yang berjaga malam menemaninya serta menawarkan diri untuk membawanya pulang AS.

Malah boleh dikatakan dalam apa juga situasi; sakit pening, gembira dan duka dialah insan yang akan memegang tangan Sumayyah untuk mengharungi semua keadaan itu.

"Dialah sahabat baik, tempat mengadu dan bapa kepada anak-anak kami. Bahkan dia turut berjaga malam membancuh susu anak, menggantikan lampin pakai buang, bersabar dengan kerenah nakal anak-anak.

"Bahkan sehingga kepada membantu membasuh pinggan mangkuk, bila melihat saya sudah tidak larat melakukannya.

"Sayangnya, suami Islam yang bertanggungjawab sebegini mendapat gambaran buruk dari media-media Barat. Kebanyakan lelaki dan suami Muslim dilabel atau digambarkan sebagai seorang yang gila kuasa sehingga sanggup memaksa isteri-isteri mereka 'berpakaian Islamik," kata Sumayyah yang juga siswazah dari Kolej Waynesburg dalam bidang keadilan jenayah.

Realitinya, ujar Sumayyah pemakaian sebegitu adalah menurut ajaran sebenar agama Islam seperti mana yang disuruh dalam al-Quran dan sunnah. Hakikatnya, ia bukannya soal isu paksaan ataupun perang amanat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kehormatannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.

Katakanlah kepada orang wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kehormatannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka atau ayah suami mereka..... (al-Nur: 30-31)

"Secara peribadinya, saya datang ke Kuwait bebas dengan pakaian yang saya selesa memakainya iaitu, kemeja T dan seluar jean. Tidak ada siapa dalam keluarga suami malah suami saya juga tidak menegur apa-apa.

"Pun begitu, suami saya tidak pernah berhenti menyuruh saya membaca terjemahan al-Quran. Caranya yang penuh hikmah tetapi kadang-kala terasa seperti membebel berbaloi juga.

"Ini kerana saya akhirnya mula membaca al-Quran dan sejak itu saya semakin tidak puas dan sentiasa mencari ilmu agama.

"Saya mula mencari dan menggali seberapa banyak sumber yang boleh didapati sehinggalah saya temui kebenaran yang selama ini dicari di dalam helaian al-Quran," jelas Sumayyah yang akhirnya mengambil keputusan memeluk Islam.

Sumayyah mahu keputusan besar itu bukan sahaja menjadi transformasi dalaman tetapi turut membawa perubahan secara luaran. Lantas itu, beliau sanggup membeli hijab atau tudung kepala bersendirian.

Malah, suaminya juga adalah guru yang banyak mengajarnya tentang ajaran Islam terutamanya tentang solat dan berpuasa.

Apabila beliau melakukan kesalahan dia menegur dengan lembut dan tidak pernah memarahi Sumayyah, sebaliknya berusaha mencari alternatif lain agar dapat menyampaikan ilmunya supaya lebih mudah difahami isteri tercinta.

"Kesabaran suami memang menakjubkan, manakala saya pula dalam keadaan bertentangan. Apa tidaknya, saya ghairah untuk mengetahui banyak lagi tentang Islam, padahal saya tahu bahawa ia tidak berlaku dalam masa singkat atau satu malam sahaja. Namun apa yang saya inginkan dipenuhi juga.

"Akhirnya, berjaya juga saya menjadi seorang yang penyabar dan tidak cepat menggelabah apabila saya menggunakan pendekatan kehidupan seharian dalam usaha lebih memahami sesuatu perkara itu," kata Sumayyah.

Malah menerusi al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, beliau banyak mempelajari matlamat sebenar kehidupan seorang Muslim.

Hakikatnya, setiap hari Sumayyah sentiasa berusaha melakukan perkara-perkara baik agar menjadi bekalan di hari kemudian yang dijanjikan kekal abadi.

Kini, Sumayyah yang bekerja di bahagian buku-buku Islamik kanak-kanak menetap bahagia di Kuwait bersama suami tercinta dan tiga orang anak mereka.