KUALA TERENGGANU – Suspek kes bunuh warga emas dalam kejadian di Kampung Darat Penunjuk, Kijal, Kemaman tiga hari lalu ditahan kelmarin bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Superintendan K Manoharan berkata, dengan tertangkapnya lelaki terbabit kira-kira jam 5.45 petang kelmarin di hadapan Kampung Gong Limau, Chukai, Kemaman, pihaknya percaya kes bunuh Muda Mat, 78, selesai.

Menurut Manoharan, polis turut merampas motosikal dan topi keledar suspek serta sebatang kayu dipercayai digunakan untuk memukul mangsa sehingga meninggal dunia.

“Motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada warga emas itu yang mengatakan sesuatu sehingga menyinggung dan mendorong suspek memukulnya. Bagaimanapun, warga emas itu difahamkan mengalami penyakit nyanyuk,” katanya kepada pemberita, semalam.

Selasa lalu, mangsa dipukul lelaki yang tidak dikenali yang menaiki motosikal di hadapan rumah separuh siap berhampiran rumahnya menggunakan kayu.

Berikutan kejadian, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di sebelah kanan bahagian kepala di Hospital Besar Kemaman jam 8.55 malam hari kejadian.

Manoharan berkata, suspek, 41, mempunyai rekod sakit mental dan pernah dihantar ke Hospital Besar Kemaman selepas ditangkap polis kerana berkelakuan agresif.

Mangsa dituduh dan direman bermula semalam bagi membantu siasatan Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.