Apa Ertinya Saya Menganut Islam

Apa Ertinya Saya Menganut Islam

oleh:Fathi Yakan

Penggabungan diri dengan agama Islam bukanlah secara warisan, bukan secara hobi malah ia juga bukan penggabungan secara zahir sahaja. Sebenarnya penggabungan yang dimaksudkan ialah penggabungan dengan ajaran Islam itu sendiri dengan cara berpegang teguh dengan seluruh ajaran Islam serta menyesuaikan diri dengan Islam di segenap bidang kehidupan dengan penuh kerelaan.

Islam dari segi bahasa bermaksud selamat, sejahtera.Islam dari segi istilah bermaksud "penyerahan" , atau penyerahan diri sepenuhnya kepada ALLAH swt.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala:

Dia menamakan kamu: Orang-orang Islam semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah).

(Surah Al-Hajj 22: Ayat 78).

1. Saya Mestilah Muslim Di Sudut Akidah.

2. Saya Mestilah Muslim Di Sudut Ibadat.

3. Saya Mestilah Muslim Di Sudut Akhlak.

4. Saya Mestilah Muslim Di Sudut Berkeluarga.

5. Saya Mestilah Mampu Mengawal Diri.

6. Saya Mestilah Yakin Bahawa Masa Depan Di Tangan Islam.


Saya Mestilah Muslim Di Sudut Akidah

Berpegang dengan akidah yang benar lagi murni adalah syarat pertama bagi seseorang mengaku dirinya beragama Islam dan menjadikan Islam sebagai cara hidupnya. Pegangan tersebut mestilah selari dengan apa yang terkandung di dalam Kitabullah (Al-Quran) dan sunnah Rasulullah s.a.w.

1. Saya mestilah beriman bahawa pencipta alam ini adalah Allah, Tuhan yang Maha Bijaksana lagi Berkuasa, Maha Mengetahui serta tidak memerlukan pertolongan sesiapapun. Buktinya jelas pada kejadian alam ini yang penuh dengan keindahan, kerapian dan keseimbangan, saling perlu memerlukan di antara juzuk dengan juzuk yang lain. Adalah mustahil semua kejadian ini akan kekal dan berterusan sekiranya tidak berada di bawah penjagaan Tuhan yang Maha Tinggi lagi Maha Kuasa.

Firman Allah s.w.t:

Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan.

(Surah Al-Anbiya' 21: Ayat 22)

2. Saya mestilah beriman bahawa Tuhan yang Maha Mulia tidaklah mencipta segala kejadian alam secara sia-sia tanpa apa-apa tujuan. Kerana mustahil bagi Allah yang bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan itu mencipta sesuatu secara sia-sia. Adalah mustahil seseorang itu dapat memahami maksud tujuan Allah menjadikan sesuatu secara terperinci melainkan melalui penjelasan Rasulullah s.a.w dan wahyu dari Allah s.w.t sendiri.

Firman Allah s.w.t:

Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia.

(Surah Al-Mu'minun 23: Ayat 115-116)

3. Saya mestilah beriman bahawasanya Allah s.w.t telah mengutuskan Rasul-rasul dan diturunkan untuk mereka kitab-kitab dengan tujuan mengajar manusia supaya mengenali Allah dan memahami matlamat kejadian mereka, mengetahui asal-usul mereka dan ke mana mereka akan kembali. Saya juga beriman bahawa Rasul terakhir dari kalangan Rasulrasul yang mulia itu ialah Nabi Muhammad s.a.w yang Allah kurniakan kepadanya Al-Quran Al-Karim sebagai satu mukjizat yang berkekalan.

Firman Allah s.w.t:

Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayat petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasulrasulnya.

(Surah Al-Nahl 16: Ayat 36)

4. Saya mestilah beriman bahawa matlamat kewujudan insan ialah mengenali Allah 'Azzawajalla seperti mana yang Allah s.w.t sendiri menjelaskannya, memberi penuh ketaatan kepadaNya dan mengabdikan diri kepadaNya. Firman Allah s.w.t:

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.

(Surah Al-Zariyat 51: Ayat 56-58)

5. Saya mestilah beriman bahawa ganjaran bagi orang mukmin yang taat

kepada Allah ialah syurga. Manakala balasan ke atas orang kafir lagi

derhaka ialah api neraka. Allah menjelaskan:

"....sepuak masuk Syurga dan sepuak lagi masuk Neraka."

(Surah Al-Syura 42:Ayat 7)

6. Saya mestilah beriman bahawa sekalian manusia melakukan kebaikan

dan kejahatan dengan pilihan dan kehendak mereka sendiri. Namun

demikian kebaikan yang dilakukan itu tidaklah berlaku, melainkan

dengan taufik dan 'inayah dari Allah. Manakala amalan jahat pula

tidaklah merupakan paksaan dari Allah tetapi ianya termasuk dalam

batasan keizinan dan kehendakNya.

Firman Allah s.w.t:

Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanyakepada bertakwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).

(Surah al-Syams 91: Ayat 7-10)

Dan firman Allah s.w.t;

Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya. (Surah Al-Muddathir 74: Ayat 38).

bersambung.. .

wallahu'Alam. ..
Dipetik dari Taman2syurga