Ketua Bahagian Risik Operasi Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 2, Deputi Supritendan Rosman Ismail berkata, kebakaran berlaku kira-kira pukul 11 pagi di lokasi 3.3 batu nautika selatan Tanjung Setapa.
Katanya, seramai 15 anak kapal Vertex itu yang terdiri daripada 13 warga Indonesia dan dua warga China berjaya diselamatkan setelah mereka terjun ke laut untuk menyelamatkan diri.
Tambahnya, berdasarkan maklumat anak kapal yang berjaya diselamatkan, dua mangsa hilang itu dikenali sebagai Mustakim, 41, dan Salehuddin, 31, dan adalah warga Indonesia.
“Kebakaran itu juga telah menyebabkan berlaku sedikit tumpahan minyak namun keadaannya tidak serius,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam operasi itu, seramai 10 daripada mangsa kebakaran yang terdiri daripada lapan warga Indonesia dan dua warga China telah diselamatkan oleh PGM kira-kira pukul 11.10 pagi.
“Lima lagi anak kapal iaitu kesemuanya warga Indonesia berjaya diselamatkan oleh polis pengawal pantai Singapura beberapa minit kemudian,” katanya.
Rosman berkata, anak kapal yang diselamatkan PGM termasuk kaptennya, Simon Parera Kristian, 66, tidak mengalami kecederaan dan dihantar ke Balai Polis Pengerang untuk siasatan lanjut.
“Lima anak kapal yang diselamatkan polis pengawal pantai Singapura mengalami cedera parah akibat kebakaran itu dan dibawa ke Singapura,” katanya.
Beliau memberitahu, kapal tersebut membawa minyak kotor iaitu bahan api yang telah digunakan oleh kapal dan akan dikitar untuk digunakan semula.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Osman Muhammad Sebot berkata, kebakaran kapal tersebut masih belum terpadam meskipun selepas kejadian hujan lebat dan kini masih di lokasi sama.
Menurutnya, kapal itu yang berdaftar di San Lorenzo, Argentina membawa minyak kotor dari Indonesia ke Singapura dan telah berlabuh di perairan ini selama empat hari.
Pegawai Merinyu Jabatan Laut Pengerang, Mohd. Fadzly Adam berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kejadian itu daripada penduduk kampung Pengerang yang mendengar letupan dan dapat melihat kebakaran itu dari kawasan darat kira-kira pukul 11 pagi.
Katanya, beliau kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada Balai Polis Pengerang dan PGM Wilayah 2.