Keadaan bas Transnasional remuk selepas bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 31, Jalan Kuantan-Maran, Pahang, kelmarin.Dua maut dalam kemalangan yang berlaku pada pukul 8.45 malam itu. Mangsa ialah pemandu treler, Khairil Nizam Mohamed, 31, dari Kampung Padang Midin, Kuala Terengganu dan penumpang bas, Sabariah Arif, 32, dari Felda Purun, Triang.Bas ekspres yang membawa 21 penumpang itu dalam perjalanan dari Kuantan ke Temerloh manakala treler yang membawa muatan baja terbabit dari arah bertentangan.


KUANTAN 19 Mei – Dua maut manakala tujuh lagi parah apabila sebuah bas ekspres bertembung dengan sebuah treler yang sarat membawa muatan baja di Kilometer 31, Jalan Kuantan-Maran, malam tadi.

Mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian pukul 8.15 malam itu ialah pemandu lori berkenaan, Khairul Nizam Mohammed, 31, dari Kampung Padang Maidin, Kuala Terengganu dan seorang penumpang bas ekspres, Sabariah Arif, 32, dari Felda Purun Teriang, Bera.

Tujuh yang parah ialah pemandu bas, Mohammed Saladi Ripin, 42; kelindan lori, Yusoff Hassan, 42, dan lima penumpang bas berkenaan iaitu Tuan Suziyzty Tun Noor, 24; Aulia Hasan Basri, 30; Mohd. Johar Yadin, 56; Abdul Rahman Abdullah, 19, dan Raja Ahmad Suari Raja Abu Bakar, 40.

Pegawai Penguat Kuasa/Tadbir Trafik Pahang, Asisten Supritendan Zainalabidin Othman berkata, kemalangan berlaku ketika bas ekspres Transnasional berkenaan yang membawa 21 penumpang dalam perjalanan dari Kuantan ke Temerloh manakala treler milik Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) itu pula dari arah bertentangan.

Beliau berkata, setibanya di sebuah jambatan sempit, bas ekspres berkenaan dipercayai memasuki laluan lori berkenaan sehingga menyebabkan berlaku pertembungan.

“Akibat pertembungan itu, bahagian hadapan treler berkenaan remuk, manakala bas ekspres berkenaan pula terkopak daripada bahagian hadapan hingga ke tengah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Zainalabidin, kesemua mangsa yang mengalami kecederaan parah diberikan rawatan kecemasan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Katanya, polis yang menjalankan siasatan kes itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, akan menahan pemandu bas ekspres berkenaan sejurus dia mendapatkan rawatan bagi membantu siasatan.