Perkhidmatan kereta kabel akan dibina menghubungkan Pengkalan Gawi ke Pulau Poh, salah sebuah antara 10 pulau di Tasik Kenyir yang sedang dibangunkan sebagai tarikan baru pelancongan di tasik berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, kereta kabel sepanjang kira-kira setengah kilometer itu dijangka dimulakan pembinaannya tahun depan.
Menurutnya, kerajaan negeri akan mendapatkan anggaran perbelanjaan pembinaan kemudahan itu dari beberapa konsultan termasuk syarikat pengendali kereta kabel di Pulau Langkawi, Kedah.
''Saya percaya penyediaan perkhidmatan kereta kabel ini akan menjadi daya tarikan tinggi kepada pengunjung ke taman tema air di Pulau Poh nanti," ujarnya selepas melakukan lawatan dua hari ke Tasik Kenyir di sini hari ini.
Beliau berada di Tasik Kenyir bagi meninjau kemajuan projek pembangunan pulau-pulau berkenaan yang mengikut tema tertentu selain melepaskan anak ikan kelah di Santuari Kelah yang ketiga di tasik itu yang terletak di Sungai Leban.
Kata Menteri Besar, cadangan pembinaan kereta kabel itu muncul ketika beliau melakukan lawatan berkenaan apabila mendapati kedudukan serta jarak dari Pengkalan Gawi ke Pulau Poh yang memungkinkan kemudahan itu dibina.
Menurutnya, kos pembinaan kemudahan itu termasuk dalam peruntukan RM500 juta untuk pembangunan industri pelancongan negeri untuk tahun ini yang merupakan perbelanjaan dari kerajaan negeri sendiri.
Beliau memberitahu, selain taman tema air di Pulau Poh, beberapa lagi pulau dengan tema tertentu iaitu orkid, bunga, rama-rama dan burung akan mula beroperasi tahun depan.
''Pembangunan pulau-pulau ini dengan tema masing-masing hanya mengambil masa antara empat hingga enam bulan lagi untuk disiapkan," ujarnya yang berpuas hati dengan pencapaian itu.
Dalam pada itu katanya, syarikat penerbangan Tiger dari Singapura sudah bersetuju untuk mengadakan penerbangan terus ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) yang akan memudahkan kemasukan pengunjung ke negeri ini.
Battery Reconditioning
6 years ago