KUALA LUMPUR: Polis semalam mengesahkan Naib Ketua Wanita UMNO Tanjung Karang, Siti Rohana Ismat mati kerana terkena dua das tembakan, masing-masing satu di kepala dan rusuk, bukannya kedua-dua tembakan di kepala seperti dilaporkan.


Difahamkan, siasatan awal polis juga mendapati tiada sebarang pergelutan antara mangsa dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Datuk Abdul Aziz Mohd Noor yang juga ditemui mati dengan kesan tembakan di kanan kepala dalam kereta dinaiki mereka.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata siasatan menjurus kepada tiga elemen penting iaitu laporan penuh bedah siasat, ujian balistik dan laporan forensik bagi mengenal pasti apa sebenarnya berlaku dan motif kejadian.

Dalam kejadian jam 11 pagi di Kilometer 455.7 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Sungai Buloh, Abdul Aziz, 64, ditemui terkulai di tempat duduk pemandu kereta yang terbabas, manakala Siti Rohana, 43, dalam keadaan terduduk di sebelahnya.

Berdasarkan siasatan awal, polis tidak menolak kemungkinan seorang daripada mereka menembak pasangannya sebelum menembak diri sendiri.

Polis turut menemui sepucuk revolver .38 yang masih berisi dua peluru, kepunyaan Abdul Aziz, di celah tempat duduk bahagian depan Toyota Caldina milik Siti Rohana yang dipandu bekas ADUN itu.
Khalid berkata, polis akan menyiapkan laporan penuh kes kematian kedua-dua mangsa secepat mungkin bagi mengelak terlalu banyak spekulasi berhubung kes itu sedangkan siasatan berhubung punca dan motif kejadian masih dalam siasatan.

Beliau berkata, ketika kejadian tiada sebarang rakaman kereta dinaiki kedua-dua mangsa di Lebuh Raya Utara-Selatan yang boleh membantu siasatan polis dan pihaknya bergantung sepenuhnya kepada keterangan saksi kejadian.

“Sementara siasatan dijalankan, saya berharap semua pihak tidak membuat spekulasi serta andaian sendiri dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis merungkai apa yang berlaku sebalik kejadian itu.

“Polis belum dapat mengenal pasti motif kejadian dan kita juga sedang menunggu laporan penuh bedah siasat. Semalam (kelmarin) saya sudah beritahu laporan awal bedah siasat, tetapi keputusan penuhnya akan mengambil masa.

“Siasatan dijalankan bagi mencari maklumat dan bukti lain yang mungkin ada, selain ujian balistik bagi mengesan elemen dalam penggunaan senjata api ketika kejadian iaitu pistol dan jarak tembakan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Khalid berkata, polis sudah merakamkan percakapan beberapa individu terutama yang berada di tempat kejadian bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Kita juga perlu memberi masa kepada ahli keluarga (kedua-dua mangsa) kerana mereka masih bersedih atas apa yang berlaku. Apabila keadaan sesuai nanti, kita akan dapatkan kerjasama ahli keluarga dalam menyiasat motif itu,” katanya.

Beliau juga enggan mengulas kemungkinan motif kejadian akibat cemburu, sebaliknya meminta semua pihak bertenang dan menghormati perasaan keluarga kedua-duanya yang masih bersedih.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah, berkata polis sudah mengambil keterangan lima orang iaitu tiga anggota polis, seorang saksi kejadian dan anak lelaki Abdul Aziz bagi membantu siasatan.