Ayah mangsa letupan mercun direman 3 hari


2010/08/25

KUALA TERENGGANU: Bapa kepada Khairul Arief Ayub, 6, yang terbunuh dalam kejadian letupan di sebuah rumah tinggal dipercayai menjadi gudang simpanan bunga api dan mercun di Kampung Makam Lama, Chabang Tiga, di sini, Ahad lalu ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Mohd Erman Che Mat, terhadap lelaki berusia 28 tahun itu sehingga Khamis ini bermula semalam mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi melengkapkan siasatan kejadian itu yang turut mencederakan dua lelaki lain.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Suspek yang dipercayai pengedar utama bunga api dan mercun di bandar raya ini, sebelum ini dikatakan pernah ditahan mengikut seksyen sama tahun lalu, atas kesalahan menjual mercun.