Ahmadinejad dilempar bom



AHMADINEJAD melambai ke arah penyokongnya ketika melawat Hamadan sebelum bom tangan buatan sendiri dilempar berhampiran kenderaannya.
AHMADINEJAD melambai ke arah penyokongnya ketika melawat Hamadan sebelum bom tangan buatan sendiri dilempar berhampiran kenderaannya.
Serangan terhadap konvoi kenderaan Presiden ketika melawat Hamadan

TEHERAN: Presiden Mahmoud Ahmadinejad semalam terselamat daripada ancaman bunuh apabila sebutir bom tangan buatan sendiri dilempar ke arah konvoi kenderaannya ketika beliau melakukan lawatan ke bandar raya Hamadan di barat Iran, kata sumber daripada pejabatnya.
Sumber itu menyatakan konvoi Ahmadinejad disasarkan ketika beliau dalam perjalanan dari lapangan terbang Hamadan untuk ke arena sukan bagi menyampaikan ucapan. Presiden berkenaan tidak cedera tetapi terdapat beberapa orang lain cedera dalam letupan itu.
Tiada pihak bertanggungjawab melakukan serangan itu setakat ini, tetapi penyerang terbabit ditahan.

Ahmadinejad dikatakan mempunyai musuh di kalangan golongan konservatif dan reformis di republik Islam itu serta di luar negara.

Stesen televisyen Al Arabiya berkata, penyerang terbabit melemparkan sebutir bom pada konvoi Ahmadinejad sebelum ditahan.

Stesen televisyen yang berpangkalan di Dubai itu memetik sumbernya sendiri sebagai berkata, bom berkenaan terkena kenderaan yang membawa wartawan dan kakitangan pejabat Presiden.
Ahmadinejad kemudian muncul di kaca televisyen di stadium sukan di Hamadan. Beliau kelihatan sihat dan tidak membuat sebarang ulasan mengenai serangan itu.

Dalam ucapannya pada sidang ekspatriat Iran di Teheran Isnin lalu, Ahmadinejad berkata, beliau percaya menjadi sasaran komplot pembunuhan oleh Israel.

“Zionis yang bodoh itu mengupah orang untuk membunuh saya,” katanya.

Ahmadinejad baru-baru ini cuba memencilkan puak politik lawannya dengan mengisytiharkan bahawa rejim berkenaan hanya mempunyai sebuah parti, iaitu Velayat – dan merujuknya kepada Imam Syiah, kini diwakili pemimpin agung, Ayatollah Ali Khamenei.

Laporan agensi menyatakan Ahmadinejad suka melakukan lawatan ke seluruh negara bagi menyampaikan ucapan provokatif dan gemar mendengar laungan ‘matilah musuh Iran’ di kalangan penyokongnya. – Reuters