OSMAN (kanan) bersama pegawainya menunjukkan foto lelaki disyaki penyamun di Kota Tinggi.
“Anak bongsu dan kedua berusia tiga dan lima tahun pula menangis ketakutan apabila penjenayah mengacu parang ke leher saya,” kata isteri pengusaha restoran yang disamun ketika pulang berniaga jam 3.30 pagi di Taman Ahmad
Biarpun kejadian itu berlaku di depan rumahnya pada 18 Julai lalu, mangsa mahu dikenali sebagai Rokiah hanya bersedia berkongsi traumanya dengan Berita Minggu bagi memastikan penjenayah ganas itu ditangkap dan dihukum.
“Kami masih trauma sehingga sukar tidur. Saya percaya penjenayah itu memerhati saya mengemas restoran awal pagi itu dan mengekori pulang.
“Tiba di depan rumah, muncul lelaki yang membuka pintu kereta dari luar, merampas kunci dan menarik saya. Dia mengacu parang di leher dan mengarah saya serahkan rantai emas dan gelang perak,” katanya.
Rokiah berkata, dua daripada penjenayah bertubuh kurus dan berambut sedikit perang manakala seorang lagi berbau busuk. Mereka menghumban anaknya keluar ketika cuba melarikan Honda Civic yang turut membawa televisyen plasma 42 inci dan komputer riba.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Osman Muhammad Sebot, berkata kejadian samun awal pagi itu menyebabkan mangsa kerugian RM130,000.
“Ada satu lagi kes seumpamanya dipercayai dilakukan tiga suspek sama dengan menyasarkan wanita. Awal bulan ini, seorang peniaga warung di simpang Tai Hong disamun barang kemas dan wang tunai ketika memulakan perniagaan,” katanya.
Osman berkata, tiga lelaki bersenjatakan parang itu berpura-pura memesan minuman jam 4.20 pagi.
“Hasil siasatan, polis dapati keterangan mangsa dan saksi menjurus kepada pembabitan pemuda tempatan. Malah, usaha menjejaki suspek sukar kerana meninggalkan daerah ini,” katanya.
Polis mengedarkan foto dua lelaki yang boleh membantu siasatan kedua-dua kes. Mereka dikenali sebagai Tee Heng Eng, 21, kad pengenalan 891024-01-5795 beralamat di 12-B, Jalan Lukut Cina, Kota Tinggi dan Lim Wai Keong, 24, (860707-23-6325) beralamat di No. 60, Jalan Workshop, Kota Tinggi.
Orang ramai yang mempunyai hubungi IPD Kota Tinggi di talian 07-8837222 atau 07-8837222 atau balai polis berhampiran.