PUTRAJAYA 3 Ogos - Seorang bekas pekerja kilang berusia 45 tahun terpaksa menghabiskan usia tuanya dalam penjara setelah Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 37 tahun kerana meliwat rakan sekerjanya, tujuh tahun lalu.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan agar hukuman sebatan terhadap duda beranak dua, Abdullah Mohd. Isa dikurangkan daripada 30 kali kepada 15 kali.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Hasan Lah yang bersidang bersama Hakim Datuk Ahmad Maarop dan Hakim Datuk Sulaiman Daud memutuskan demikian sebulat suara setelah menolak rayuan akhirnya.
Abdullah pernah dihukum penjara 28 tahun dan dikenakan sebatan 12 kali atas tiga kesalahan rogol pada 1988. Dia selesai menjalani hukuman itu pada 2000.
Pada 30 Jun 2006, Mahkamah Sesyen Shah Alam memerintah Abdullah menjalani hukuman penjara 37 tahun setelah mendapatinya bersalah atas tiga tuduhan meliwat pemuda tersebut yang ketika itu berusia 18 tahun.
Hakim Azimah Omar memerintah lelaki itu menjalani hukuman penjara 15 tahun dan sebatan 10 kali bagi tuduhan pertama serta penjara 17 tahun dan sebatan 10 kali bagi tuduhan kedua. Kedua-duanya berjalan serentak.
Sementara bagi tuduhan ketiga, dia dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan sebatan 10 kali tetapi hukuman tersebut berjalan secara berasingan dengan dua yang lain.
Hari ini, Abdullah yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengetepikan sabitan dan mengurangkan hukuman yang dihadapinya.
Bagaimanapun, ia dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Munahyza Mustafa yang memohon hukuman asal dikekalkan.
Abdullah didapati bersalah melakukan ketiga-tiga perbuatan tersebut antara pukul 10.30 dan 12 tengah malam pada 8, 10 dan 12 Julai 2003 di sebuah rumah di Jalan Pelangi 12, Taman Pelangi, Rawang dekat sini.
Rekod kesalahan lampau mendapati Abdullah melakukan jenayah seksual iaitu mencabul kehormatan seorang wanita di Sekinchan, ketika usianya 18 tahun diikuti penjara 28 tahun kerana tiga kesalahan rogol pada 1988.
Selesai menjalani hukuman pada 2000, seleranya bertukar songsang dengan meliwat pula rakan sekerja yang juga teman sebiliknya.
Dia disabitkan bersalah mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.