MAIWP bantu 4,000 murid miskin


KUALA TERENGGANU 24 Ogos - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Yayasan Taqwa memperuntukkan RM1.78 juta bagi mengagihkan bantuan persekolahan kepada 4,000 murid kurang berkemampuan di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa, Anan C Mohd. berkata, melalui sumbangan zakat itu, setiap murid akan menerima RM445.80 yang merangkumi RM100 wang saku, RM100 caruman ke akaun Tabung Haji serta set persekolahan bernilai RM245.80.

Katanya, sumbangan tersebut bertujuan membantu dan mendorong anak-anak kurang berkemampuan agar dapat memperoleh pendidikan agama yang sempurna dan lebih baik dari semasa ke semasa.

"Ini merupakan sebahagian daripada usaha Yayasan Taqwa dan MAIWP untuk mengagihkan seluas mungkin kutipan wang zakat masyarakat Wilayah Persekutuan kepada seluruh umat Islam di negara ini.

"Pada tahun ini sebanyak tiga buah daerah di negeri Terengganu iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Dungun dipilih untuk menerima sumbangan tersebut yang bernilai RM153,235.80," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Persekolahan serta bantuan Hari Raya Aidilfitri kepada golongan kurang berkemampuan di Kompleks Seri Iman di sini semalam.

Turut hadir Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail dan Pengarah Tabung Haji Kuala Terengganu, Mohammad Alias Mukhzani Mokhtar.

Pada majlis tersebut seramai 301 murid yang kurang berkemampuan dari sekolah-sekolah rendah terpilih di sekitar tiga buah daerah terbabit menerima sumbangan yang keseluruhannya bernilai RM134,185.80.

Turut menerima sumbangan pada majlis itu ialah 127 warga emas dan orang kurang upaya dari tiga buah daerah.

Sumbangan itu diberikan dalam bentuk wang tunai dan hamper melibatkan jumlah RM19,050.

Menurut Anan, keseluruhan sumbangan tersebut dikeluarkan oleh Yayasan Taqwa milik MAIWP menerusi sumber wang zakat Baitulmal yang dipungut Pusat Pungutan Zakat-MAIWP (PPZ-MAIWP).