Masyarakat Cina Kurang Beri Kerjasama Banci

KUALA LUMPUR: Masyarakat Cina kurang memberi sambutan terhadap kempen banci kebangsaan yang sedang berlangsung sekarang adalah akibat persepsi kononnya kempen itu bertujuan untuk mengetahui pendapatan mereka yang boleh dikenakan cukai.

Presiden Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Hua Zong) Tan Sri Pheng Yin Huah berkata, persepsi ini perlu diperbetulkan menerusi kempen publisiti yang lebih berkesan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

"Kebanyakan orang tidak tahu apa itu banci. Jadi bila pegawai banci muncul mendapatkan maklumat berhubung (antara lain) pendapatan mereka, mereka risau dan mempersoal sama ada yang datang itu pegawai banci atau pegawai cukai pendapatan," katanya kepada Bernama.

Pheng berkata maklum balas ini telah disampaikan kepada jabatan berkenaan semasa pertemuan mereka Isnin lepas bila jabatan itu menemui Hua Zong memintanya membantu mendapatkan respons yang lebih baik daripada masyarakat Cina terhadap kempen tersebut.

Selain itu, Pheng berkata Hua Zong juga mencadangkan kepada jabatan itu beberapa strategi bagi mendapatkan respons lebih baik termasuk mengambil lebih ramai petugas yang boleh bertutur bahasa Cina dan interbiu dijalankan selepas waktu pejabat bila kebanyakan tuan rumah sudah pulang.

Beliau menggesa masyarakat Cina memberi kerjasama penuh terhadap banci itu.

Kempen tersebut yang dilancarkan pada 7 Julai lepas, akan berakhir pada 22 Ogos