Menjadi seorang penceramah popular bukan sahaja menuntut kesabaran tinggi bahkan pengorbanan luar biasa apabila mereka juga hilang privasi sama seperti penyanyi dan pelakon. LAZIMNYA, masyarakat memandang tinggi golongan cerdik pandai agama yang membawa gelaran ulama, ustaz, ustazah, imam atau paling tidak pun penceramah yang latar belakangnya didukung oleh ilmu Islam. Apatah lagi jika ustaz atau penceramah itu antara barisan penceramah terkenal tanah air yang sering muncul di kaca televisyen, radio dan saluran media yang lain. Ini kerana jalur kerjaya mereka cukup murni dalam mengembang syiar Islam serta mendidik masyarakat supaya menjadi seorang manusia yang lebih baik. Namun, tahukah anda kerjaya mereka sebenarnya bukan mudah meskipun hanya meluahkan kata-kata positif sebagai bimbingan kepada masyarakat. Oleh kerana gelaran yang dipikul mereka dipandang 'suci' dan ada sesetengah orang menganggap mereka seperti 'malaikat' seharusnya mereka tidak boleh melakukan sebarang kesilapan yang mengundang pandangan negatif. Mereka juga dianggap individu contoh yang harus mengekalkan imej baik bukan sahaja di depan kaca TV atau tempat ceramah bahkan sewaktu berada di luar. Terlalu banyak yang harus diharungi penceramah kerana bukan mudah untuk menarik minat penonton atau pendengar seterusnya mengamalkan apa yang disarankan. Banyak perkara yang dikorbankan mereka demi kerjaya dan menyebarkan syiar Islam. Saya bukan jual air liur! Siapa di Malaysia yang tidak kenal dengan Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah yang boleh dianggap antara penceramah bebas paling senior di Malaysia. Memulakan kerjaya sebagai penceramah pada usia 27 tahun atau lebih tepat pada tahun 1977, ini bermakna sudah 32 tahun Fadzilah berkecimpung dalam bidang motivasi. Malah, beliau juga sudah menerbitkan beberapa buah buku motivasi sebagai panduan kepada masyarakat. Namun, sepanjang tempoh itu ramai yang tidak tahu suka duka beliau sebagai penceramah. Apa yang orang tahu hanyalah senyuman dan gurauannya ketika melontarkan kata-kata. Menyelak cerita di sebalik nama besarnya, Fadzilah memberitahu pekerjaan sebagai penceramah bukanlah semudah yang disangka ramai kerana ia disertakan dengan pengorbanan besar. "Kerja sebagai penceramah memang berat, paling saya sedih kawan saya dan orang awam mengatakan pekerjaan saya senang hanya guna modal air liur untuk mewah. Tahu sepatah dua ayat al-Quran sudah boleh buat duit. "Kalau boleh jual air liur, saya kata pada mereka kita sama-samalah jual air liur tetapi mereka tidak berani dan mengatakan tidak pandai bercakap. Tahu pula susah. "Ini termasuk berpuluh tahun mencari ilmu dan membuat kajian analisis. Saya beli tiga buah buku seminggu dan lebih kurang 10 buah buku sebulan termasuk kaset. Saya selalu berdoa kepada Allah agar memberi saya kefahaman luar biasa untuk saya sebarkan kepada orang ramai," katanya tentang rutin persediaan sebagai seorang penceramah motivasi. Luah penceramah berusia 58 tahun itu lagi, secara umum pengorbanan yang paling berat baginya adalah keikhlasan niat sebagai penceramah yang cakap serupa bikin. Selain itu, beliau juga harus membentuk jiwa seorang sukarelawan kerana sebagai penceramah beliau harus ada jiwa untuk membantu masyarakat dengan ikhlas dan keikhlasan itu hanya Allah yang tahu. "Walaupun saya dididik secara sekular tetapi saya harus bentuk jiwa pendakwah yang secara automatik terpanggil untuk memberi nasihat serta menegur benda tak betul. "Contohnya orang buang sampah dari kereta dan budak sekolah beli rokok. Saya wajib tegur kerana menganggap anak orang macam anak saya walaupun akan dikata sibuk jaga tepi kain orang (ketawa). "Saya sering beri motivasi bagai nak rak di televisyen, tak kan saya buat tidak tahu bila nampak benda yang salah di depan mata. Saya boleh buat tidak tahu dan tetap popular tetapi mampukah saya tidur dengan nyenyak selepas itu," soalnya. Terangnya lagi, sebagai penceramah beliau tidak hanya menegur tetapi juga memuji jika melihat sesuatu yang baik. Semasa temuramah ini dijalankan, beliau mengatakan baru sahaja menonton lakonan aktor Rosyam Nor dalam drama berjudul Salam Terakhir dan memuji lakonan berkesan serta jalan cerita drama tersebut. Drama tersebut membuatkan beliau menangis dan beliau berusaha untuk mencari nombor telefon aktor tersebut semata-mata untuk mengucapkan tahniah. Amalan memuji itu mungkin nampak kecil tetapi besar kesannya. Kata Fadzilah lagi, beliau juga memberi ucapan tahniah kepada pemimpin jika mereka melakukan tindakan yang betul dan menegur jika pemimpin bertelagah. Satu perkara yang tidak pernah didedahkannya sebelum ini. Tambahnya dalam kesibukan ke sana sini memberi motivasi beliau harus pastikan keluarga beliau hidup dalam rukun dan damai. Bukan itu sahaja, beliau juga harus mengimbangkan kehidupannya. Jika ingin menjadi penceramah yang hebat beliau menilai diri sendiri adakah beliau seorang suami, ayah, abang, anak dan jiran yang baik? "Saya kena pastikan keluarga saya harmoni, nanti orang kata diri sendiri tak betul nak beri nasihat pada orang lain pula. Apa yang saya pesan pada orang saya kena lakukan juga. Ada juga orang tanya pada isteri saya, saya buat atau tidak perkara yang saya cakap di televisyen (ketawa). "Jika di tempat awam saya menjaga segalanya termasuk penampilan, watak dan juga pergaulan. Saya tidak boleh bermasam muka, tidak boleh marah anak di tempat awam. Bayangkan seorang penceramah marah anak di pasar malam dan jentik telinga apa pula pandangan orang?" tuturnya. Sebagai penceramah jelas Fadzilah, beliau tidak boleh statik kerana kini orang makin bijak dan beliau harus sentiasa perbaiki diri. Malah, sebelum memberi ceramah beliau memperuntukkan empat hingga lima jam persediaan dan membuat penyelidikan forum yang dihadirinya. Itu pengorbanan yang orang tidak tahu kerana segalanya tampak mudah apabila beliau memulakan bicaranya. "Sesetengah orang akan tahu apabila penceramah itu cetek pengetahuan dan asyik buat lawak bodoh. Jika penceramah itu hadir dengan hadis dan fakta orang akan tahu penceramah ini tidak cakap kosong. Boleh berlawak tetapi dengan syarat untuk mendidik. "Lagi sukar jika saya hanya diberi tiga minit untuk bercakap, dalam masa yang singkat bagaimana saya mahu meyakinkan orang untuk berubah," ujarnya. Tugasnya tidak tamat di situ sahaja tetapi membawa sehingga ke rumah apabila setiap malam Fadzilah menjawab 10 hingga 15 e-mel. "Selalunya sampai 1 pagi saya balas e-mel. Ada masalah ringan dan berat. Ada penghantar e-mel kata mereka nak bunuh diri, ingin murtad dan nak berzina, ada yang homoseksual, tak kan saya nak diamkan, saya kena bantu. "Saya bernasib baik kerana dapat isteri yang faham rutin harian setiap hari harus duduk depan komputer dan selesai masalah orang lain mudah-mudahan saya dapat bantu mereka," ucapnya yang pulang ke Klang, Selangor, menyambut Hari Raya Aidiladha esok. Hilang privasi - Prof Izzi Bagi penceramah, Profesor Madya Md Izuddin Ali atau Prof. Izzi, 45, yang cukup dikenali dengan tagline 'renung-renungkan dan selamat beramal' di radio swasta Hot FM, beliau turut tidak menafikan pengorbanan besar harus diberikan apabila memikul gelaran penceramah bebas. Beliau yang juga seorang pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu merupakan bekas graduan California State University Fresno, Amerika Syarikat terjun dalam bidang motivasi sejak berusia 18 tahun. Pengorbanan paling besar sebagai penceramah bagi Izzi adalah menyampaikan sesuatu mesej kepada masyarakat tidak kira usia. "Bukan mudah sebenarnya untuk menyampaikan ceramah dengan berkesan. Seperti remaja mereka sukakan konsep santai dan tidak mahu cerita yang menakutkan. Orang yang tinggi ilmu agamanya lain pula caranya, begitu juga dengan orang yang agak jahil dengan ilmu agama," terangnya. Selain itu, penceramah juga berkorban mencari bahan yang sesuai seperti membeli buku, juga berkorban dari segi masa, tenaga dan wang. Bukan itu sahaja, sebagai seorang penceramah mereka juga manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan sebarang kesilapan bagaimanapun persepsi masyarakat terhadap penceramah, mereka bak malaikat yang turun dari langit. "Ingin saya tekankan kami orang biasa tetapi saya akui menjadi penceramah yang sering beri nasihat pada orang ramai, saya juga harus berkelakuan baik dari segala segi. Saya harus amalkan apa yang saya cakap. "Ada terjadi dulu, saya makan di kedai pada waktu Maghrib, orang melihat saya mula memandang serong tetapi mereka tidak tahu saya sedang berbuka puasa atau musafir. "Kadang-kadang orang salah anggap, hampir setiap tempat saya pergi ada orang kenal dan mereka terpandang atau buat-buat pandang. Saya senyum, kalau tidak senyum orang kata di televisyen nampak baik tetapi di luar tidak. Itu cabaran untuk saya menjadi lebih baik," tuturnya. Tambahnya lagi, beliau juga cuba mengelak perkara yang tidak patut dilakukan seperti memarahi orang di khalayak kerana perkara sebegitu mudah diambil negatif oleh orang yang memandang walaupun mereka tidak tahu perkara yang sebenarnya. "Itu antara risiko yang saya harus ambil, walaupun ada kelemahan, saya tidak boleh asyik buat silap kerana saya harus praktik nasihat saya terlebih dahulu sebelum menyuruh orang lain mengikutinya," ujarnya. Izzi yang memulakan kerjayanya sebagai penceramah pada tahun 1992 di radio Terengganu dan siaran televisyen pertamanya adalah pada 22 November 1997 di RTM menegaskan kerjayanya nampak mudah tetapi untuk radio Hot FM sahaja beliau harus menyediakan 20 buah tajuk setiap bulan meskipun hanya muncul beberapa minit dalam program tazkirah radio berkenaan. "Saya juga berkorban masa untuk keluarga jadi saya kena imbangkan antara keluarga, kerjaya dan jiran tetangga. Saya lakukan apa yang termampu," katanya. Ramai yang menyangka Izzi menetap di Kuala Lumpur kerana kekerapannya muncul dalam program-program di televisyen. Hakikat sebenarnya beliau menetap di Dungun, Terengganu dan harinya akan mula sibuk pada hari Khamis sehingga Sabtu. "Cabaran besar buat saya pernah satu hari, dua kali saya ke Kuala Lumpur sehingga ada orang ingat saya tinggal di Kuala Lumpur. Bila ada orang nampak saya di Terengganu mereka akan tanya bila balik? Sedang cuti ke? Walhal saya memang tinggal di Terengganu," ungkapnya dalam tawa. Menjadi orang terkenal kadangkala merimaskan meskipun dalam bidang motivasi. Begitu juga hal yang terjadi kepada Izzi yang tidak menyangka dengan tagline ringkasnya itu beliau diingati sehingga hari ini. Bercerita tentang Hari Raya Aidiladha beliau menjelaskan ia hari yang amat penting dan berasa sedih kerana Aidiladha tidak diraikan seperti Hari Raya Aidilfitri. "Kita boleh lihat hanya segelintir masyarakat yang menyambut Aidiladha dengan penuh kemeriahan sedangkan di televisyen dan media lain nampak lesu seharusnya sambutannya sama seperti Hari Raya Aidilfitri," katanya yang akan muncul dalam drama Tersungkur Di Pintu Syurga malam ini pukul 10 malam di Astro Prima.Oleh HARYATI KARIM





Facebook Badge
Welcome
1. Kuala Terengganu
2. Marang
3. Hulu Terengganu
4. Dungun
5. Kemaman
6. Besut
7. Setiu
Tempat Menarik Di Terengganu
> Redang Island / Pulau Redang
> Perhentian Island / Pulau Perhentian
> Rhu Hentian Island / Pulau Rhu Perhentian
> Lang Tengah Island / Pulau Lang Tengah
> Bidong Island / Pulau Bidong "Lembah Bidong"
> Kapas Island / Pulau Kapas at Marang
> Gemia Island / Pulau Gemia
> Tenggol Island / Pulau Tenggol at Dungun
> Batu Buruk Beach / Pantai Batu Buruk
> Batu Rakit Beach / Pantai Batu Rakit "Teluk Ketapang"
> Merang Beach / Pantai Merang
> Penarik Beach / Pantai Penarik
> Bukit Kluang Beach / Pantai Bukit Kluang
> Kelulut Beach / Pantai Kelulut at Marang
> Rantau Abang Beach (turtle center) / Pantai Rantau Abang
pusat penetasan penyu
> Dungun Beach / Pantai Dungun di Sura Jetty
> Kemasek Beach / Pantai Kemasek
Blog Archive
-
▼
2011
(51)
-
▼
March
(9)
- Minat luar biasa Afdlin
- Bekas menteri tak sangka didakwa
- Hikayat Merong Mahawangsa, Filem Epik Terhebat Mal...
- Sistem bayaran kelam-kabut
- Makmal proses syabu diserbu
- Shuib Sepah kahwin Sarah
- Kes AminulRasyid: Koperal Jenain Diperintah Bela Diri
- 26 Buah Kereta Musnah Apabila Gudang Perodua Terbakar
- Polis Buru Lelaki Larikan Peti Besi 100 Kilogram
-
▼
March
(9)
Bacaan harian
-
-
HTC One mini Review: Hands-On9 years ago
-
-
-
-
-
-
-
-
-
tinggal jejak anda
Dengar radio disini
JEDDAH - Hujan lebat melanda sehingga menyebabkan beberapa batang jalan raya menuju ke Mekah digenangi air ketika sejumlah besar penganut Islam bersedia untuk mengerjakan haji. Jemaah-jemaah haji memakai pakaian ihram terpaksa menggunakan payung, sebahagiannya lagi menggunakan topeng muka semasa mengelilingi Kaabah di Mekah. Namun, berikutan hujan lebat itu, ramai jemaah membuat keputusan untuk tinggal di dalam bangunan penginapan seperti di hotel. Terdapat juga sebahagian jemaah yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya semasa menuju ke Mekah. Cuaca hujan itu dianggap jarang berlaku pada permulaan musim haji. Seorang perunding dari Pusat Untuk Kawalan Penyakit dan Pencegahan Amerika Syarikat (AS) yang beribu pejabat di Atlanda, Georgia, Shahul Ebrahim menyatakan masih terlalu awal untuk menyatakan bahawa hujan akan memudahkan penyebaran wabak influenza A H1N1 atau selesema babi. "Hujan akan menyebabkan penularan beberapa penyakit lain seperti selesema, "Namun, kami masih tidak mengetahui bagaimana ia akan memberi kesan terhadap penyakit selesema babi. "Kita tidak boleh membuat ramalan," katanya. Setakat ini hujan telah menyebabkan kesesakan jalan raya di Jeddah. Musim sejuk di Mekah ialah hujan. Namun hujan lebat tidak pernah berlaku di kota suci penganut Islam itu sejak beberapa tahun lalu. Jurucakap Jabatan Pertahanan Arab Saudi, Mejar Abdullah al-Harthi berkata, pihaknya bersedia untuk berdepan dengan masalah banjir. Menurutnya, sebanyak 300 buah bas disediakan untuk menghadapi masalah banjir bagi memindahkan jemaah. Agensi Saudi Press melaporkan setakat ini tidak ada laporan mengenai kematian dan kesakitan akibat hujan itu. Menurut jurucakap Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, Amer al-Amer, satu lorong di sebatang jalan raya utama menuju ke Mekah ditutup kerana banjir. "Ia (jalan itu) tidak dapat menampung kehadiran semua orang dari luar Mekah," katanya. Dia mengakui, banjir itu menyebabkan perjalanan jemaah akan terjejas. Amer berkata, jemaah haji pada tahun ini meningkat beberanding tahun lalu dengan anggaran melebihi tiga juta orang. - Agensi


di Mekah semalam.
BESUT 25 Nov. - Gara-gara banjir, seorang warga emas yang dipatuk ular terpaksa menahan kesakitan selama enam jam sebelum tiba di hospital untuk menerima rawatan. Wan Ismail Wan Hassan, 79, yang tinggal di Kampung Pancor, Hulu Besut di sini, terpaksa menanggung kesakitan itu setelah jalan masuk ke kampungnya terputus hubungan akibat banjir. Malah, dia terpaksa menaiki sebuah bot serta empat buah kenderaan lain sebelum tiba di Hospital Besut. Kejadian berlaku Ahad lalu ketika Wan Ismail mengalihkan kayu penunggul lembu peliharaan di halaman rumahnya. Dia tiba-tiba terasa jari tangannya seperti tersangkut pada duri. Pada mulanya, dia menyangka kesakitan itu akibat tertusuk duri pokok semalu namun, dia mula syak dipatuk ular setelah sakitnya semakin bertambah. "Disebabkan terlalu sakit, saya mengikat bahagian lengan dengan kain tudung manakala isteri saya, Fatimah Awang Hamat, 63, menyapu sedikit minyak pada jari yang terkena kesan patukan itu," katanya. Bagaimanapun, kira-kira pukul 6 petang, ahli keluarga Wan Ismail yang bimbangkan keselamatannya menghantar beliau ke Klinik Kesihatan Felda Tenang dengan menaiki sebuah kereta. "Dari Klinik Felda Tenang, saya dibawa menaiki pacuan empat roda ke Hospital Besut di Jerteh tetapi laluan di Kampung Batu 13 ditenggelami air menyebabkan saya terpaksa menaiki bot ke Kampung Bekok. "Setibanya di Kampung Bekok, saya dibawa menaiki sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda sebelum tiba di Kampung Bukit Payong dan dari situ dibawa menaiki kenderaan JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia)," katanya. Menurut Wan Ismail, dia kemudian dibawa ke Kampung Pulau Panjang, Jerteh sebelum dipindahkan ke sebuah ambulans yang sedia menunggu untuk dibawa ke Hospital Besut. Setibanya di hospital, beliau dimasukkan ke wad semalaman dan pakar perubatan mengesahkan warga emas itu dipatuk ular kapak sebelum dibenarkan pulang Isnin lalu. Bagaimanapun, kata Wan Ismail, sembilan tahun dulu beliau pernah dibelit seekor ular sawa sepanjang kira-kira sembilan meter ketika menebas di kebun getahnya. "Ketika itu, saya bergelut hampir setengah jam sebelum melepaskan belitan ular itu. "Akibat kejadian itu, sebatang tulang rusuk kanan saya patah dan saya tidak mampu bekerja kuat selama beberapa bulan," jelasnya.
MEKAH 25 Nov. - Ibadah haji yang merupakan perhimpunan keagamaan terbesar di dunia bermula hari ini dengan dibayangi wabak pandemik selesema babi ketika tiga juta umat Islam berkumpul beramai-ramai di kota suci ini. Hujan lebat luar biasa yang melanda Mekah hari ini juga tidak menjejaskan semangat umat Islam yang mahu menyempurnakan ibadah haji. Bagaimanapun, pegawai Arab Saudi berkata, mereka telah bersedia untuk sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Kebanjiran jemaah haji dari seluruh pelosok dunia berpakaian serba putih mengelilingi Kaabah yang terletak di dalam Masjidil Haram ketika solat subuh hari ini. Pihak berkuasa Arab Saudi telah menempatkan seramai 20,000 pekerja kesihatan bagi membendung penyebaran penyakit ini sempena musim haji tahun ini. Empat orang jemaah haji telah disahkan mati oleh penyakit itu minggu lalu. Bagaimanapun, mereka yang disahkan dan disyaki dijangkiti virus ini daripada kalangan jemaah hanya 67 orang, menurut jurucakap Kementerian Kesihatan, Doktor Khaled Marghlani kepadaAFP. "Semuanya berjalan dengan lancar, syukur kepada Tuhan," kata Khaled. Wabak selesema babi telah membunuh 6,750 orang di seluruh dunia tahun ini, lapor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat lalu. Khaled berkata, ancaman hujan lebat di Mekah mungkin akan meningkatkan risiko kesihatan kepada para jemaah, tetapi pihaknya telah membuat perancangan untuk berhadapan dengan kemungkinan ini. - AFP
SUASANA dingin di Cameron Highlands pada pagi Khamis lalu sangat mendamaikan. Kepulan kabus ditambah hujan gerimis menyebabkan kesejukannya dirasai sehingga ke tulang. Namun, bagi Syed Abdul Rahman Syed Abdul Rashid, 60, rutinnya sebagai pemilik sebuah ladang sayur-sayuran di tanah tinggi tersebut perlu diteruskan. Ditemani seorang pembantu, Syed Abdul Rahman gagah mengemudi stereng kenderaan pacuan empat roda miliknya mendaki lerengan bukit di Sungai Palas, 1,500 meter dari paras laut. Biarpun jarak ladang sayur-sayuran miliknya sekadar empat kilometer dari jalan utama, namun laluan sempit dan berliku menyebabkan bekas pegawai penyelidik MARDI itu terpaksa memandu berhati-hati. Batas-batas sayuran segar yang menghijau di sebelah kanan laluan mula kelihatan, begitu juga kelibat pekerja warga Bangladesh mengutip hasil tanaman. Semasa perjalanan masih berbaki kurang separuh, laluan ke ladang Syed Abdul Rahman semakin sukar. Apa yang kelihatan di depan hanyalah jalan selebar dua meter berturap simen dan cuma boleh dilalui sebuah kenderaan pada satu-satu masa. “Laluan ini sebenarnya dibina sendiri pemilik sebagai akses ke ladang masing-masing. Inilah nasib jika ladang yang diusahakan jauh terperosok ke dalam,” katanya. 19 tahun lalu Semasa mula mengusahakan ladang seluas 1.5 hektar di kawasan terbabit kira-kira 19 tahun lalu, Syed Abdul Rahman bersama beberapa rakan terpaksa meredah belantara dan menyediakan laluan keluar masuk yang minimum ke ladang. “Asalnya dahulu ia hanyalah jalan tanah merah sebelum diturap menggunakan tar ataupun simen,” katanya. Hampir 10 minit mengharungi laluan serba mencabar, kenderaan dipacu Syed Abdul Rahman tiba di destinasi yang dituju. Di sini, krew Jurnal mula dihambat perasaan teruja. Deretan batas kobis bulat segar separuh matang yang menutupi sebahagian besar kawasan seluas 1.5 hektar itu nyata mengasyikkan. Lebih membanggakan, ia merupakan hasil keringat salah seorang daripada 25 pekebun Melayu di Cameron Highlands. Terdapat kira-kira 2,200 pekebun sayur di tanah tinggi ini namun bilangan pekebun sayur Melayu adalah kurang daripada lima peratus. Syed Abdul Rahman mengakui ramai rakyat negara ini kurang mengetahui kewujudan pekebun sayur Melayu di Cameron Highlands disebabkan dominasi pekebun Cina. Dengan kawasan seluas kira-kira 71,000 hektar dan penduduk melebihi 30,000 orang, Cameron Highlands kini mempunyai lapan pekan iaitu Blue Valley, Kampung Raja, Kuala Terla, Tringkap, Brinchang, Tanah Rata, Lembah Bertam dan Ringlet. Sebahagian besar aktiviti pertanian bertumpu di Lembah Bertam, sementara Blue Valley gah dengan ladang teh, antaranya Ladang Teh Blue Valley dan Ladang Teh Boh. “Pekebun Melayu di tanah tinggi ini berpusat di dua kawasan iaitu di Sungai Palas dan Kampung Raja,” jelas beliau. Merupakan antara pekebun Melayu terawal, Syed Abdul Rahman mengakui skala tanaman pekebun Melayu sebenarnya tidak mampu menyaingi pekebun-pekebun bukan Melayu. Sungai Palas “Malah kami juga berhadapan dengan dua masalah utama yang tidak berkesudahan iaitu pemasaran dan pembungkusan. “Dalam aspek pemasaran, pekebun Melayu terpaksa menuruti kehendak pemborong,” katanya. Mengenai pembungkusan, katanya, ketiadaan kemudahan yang sempurna telah menyebabkan produk yang dituai tidak mampu pergi ke pasaran yang lebih jauh seperti Singapura berbanding sayur-sayuran pekebun bukan Melayu yang dibungkus menggunakan teknologi terkini. “Isu harga kobis bulat seperti yang dilaporkan Kosmo! baru-baru ini merupakan antara isu yang membelenggu pekebun. “Jurang harga pekebun iaitu 70 sen sekilogram dengan peruncit RM2.50 sangat jauh,” katanya yang juga Presiden Persatuan Pekebun Sayur Melayu Cameron Highlands. Bagi meningkatkan perolehan pendapatan, sebahagian besar pekebun Melayu terbabit akan mengambil bahagian dalam pasar-pasar tani di sekitar Cameron Highlands. Secara umum katanya, pekebun sayur-sayuran Melayu di Sungai Palas mahupun di Kampung Raja menumpukan usaha terhadap tiga sayuran utama iaitu kobis bulat, kobis Cina dan tomato. Menurutnya, kesemua tanaman berkenaan sememangnya memberi pulangan yang agak lumayan sekiranya menjadi, namun mengakui faktor musim dan persekitaran menjadi penentu. “Kobis bulat dan kobis Cina memerlukan 100 hari untuk matang manakala tomato boleh mengeluarkan buah bermula dari usia tiga hingga lapan bulan,” katanya. Bagi setiap 0.4 hektar tanah, sebanyak 10,000 pokok kobis, kubis Cina dan tomato boleh ditanam. Dua jenis kobis terbabit mampu mengeluarkan hasil sehingga 35,000 kilogram bagi 0.4 hektar. Setiap pokok tomato pula secara purata mampu menghasilkan tiga kilogram buah dan dianggarkan sebanyak 30,000 kg boleh dihasilkan sepanjang tempoh tuaian. “Secara kasar, kos pengeluaran bagi sekilogram kobis adalah 68 sen manakala tomato 80 sen. “Namun, jika diusahakan menerusi kaedah fertigasi atau sistem kultra tanpa tanah (KTT), laba yang mampu dijana meningkat berkali ganda,” katanya. Jutawan Tidak menyangkal ramai pekebun Cina di Cameron Highlands kini bergelar jutawan, Syed Abdul Rahman yakin penyertaan golongan muda Melayu dalam industri sayur-sayuran tanah tinggi itu akan menuruti kejayaan dikecapi kelompok berkenaan. Seorang lagi pemilik kebun, Khairani Muhammad berpendapat kerajaan negeri dan Majlis Daerah Cameron Highlands perlu berusaha mengenal pasti tapak-tapak tanah yang bersesuaian yang boleh diusahakan golongan muda Melayu. “Pekebun Melayu sebenarnya mampu bersaing tetapi kekangan tapak menyebabkan peranan kami agak terbatas,” katanya. Bagi graduan diploma hortikultur dan landskap dari sebuah institusi pengajian tinggi awam, Safawati Yasin, beliau bersedia menjadi pekebun sayur sepenuh masa. Wanita berusia 24 tahun yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu kini menjadi pelatih kepada Syed Abdul Rahman menerusi program keusahawan, Tunas Mekar selepas menamatkan pengajiannya. Safawati memberitahu, kebanjiran 50,000 hingga 80,000 pelancong asing mahupun tempatan di tanah tinggi terbabit pada setiap hujung minggu sewajarnya direbut oleh golongan muda khususnya anak jati Cameron Highlands sendiri. “Pelancong ke sini bukan sahaja melihat keindahan tetapi akan berbelanja. Pasaran sayur-sayuran segar ini sangat besar,” katanya.AHMAD SYAKIR SAZILI




KUALA TERENGGANU - Penularan wabak taun yang menjangkiti 145 pesakit di Terengganu dikenal pasti berpunca daripada sejenis bakteria baru daripada jenis Vibrio Cholera dan ia dipercayai tersebar melalui ikan yang digunakan dalam perusahaan keropok. Bakteria itu pertama kali dikesan di negara ini dan ia sama seperti Vibrio Cholera biasa tetapi mempunyai genetik protein yang berbeza. Selain ikan, ia juga dikesan terdapat pada sampel ayam mentah dari Pasar Borong Gong Pauh, Wakaf Mempelam dan air dari beberapa buah kilang ais di sekitar negeri ini. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, hasil ujian makmal mendapati antara punca bakteria itu tersebar ialah melalui ikan yang dipercayai dibawa masuk dari Thailand melalui Kompleks Perikanan Chendering yang kemudian digunakan dalam perusahaan keropok. "Kuman (bakteria) taun baru itu menyebabkan pesakit sukar diubati pada peringkat awal sejak seminggu lalu, namun kementerian telah mengambil langkah segera dan berjaya menemui antibiotiknya selepas beberapa kajian dilakukan," katanya. Semalam Tiong Lai melawat beberapa pesakit taun yang dirawat di sembilan wad pengasingan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini. Menurutnya, kajian yang telah dilakukan oleh Institut Penyelidikan Perubatan mendapati bakteria kolera itu daripada jenis berlainan yang tidak bertindak balas dengan antibiotik biasa. "Tetapi sekarang kita sudah menemui antibiotik untuk menanganinya dan ia memberi keputusan yang baik kepada pesakit," katanya.Oleh MANIRAH OTHMAN

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Penduduk di negeri-negeri di pantai timur Semenanjung terutama Kelantan dan Terengganu diminta berjaga-jaga kemungkinan berlaku gelombang kedua banjir ekoran amaran hujan peringkat merah yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini. Amaran itu dikeluarkan ekoran ramalan hujan dijangka berterusan sehingga minggu depan yang berkemungkinan paras air di kebanyakan sungai utama di kedua-dua negeri itu terus meningkat dan memburukkan lagi keadaan banjir yang telah pun melanda. Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi, amaran hujan peringkat merah merupakan hujan monsun yang lebat dan meluas berlaku atau dijangka berlaku dalam masa beberapa jam. ''Keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah dan berada berdekatan tebing-tebing sungai,'' kata kenyataan itu. Selain itu, di Pahang, Perak, Kedah dan Perlis, amaran hujan lebat peringkat kuning telah dikeluarkan di mana berlakunya luruan monsun dalam tempoh 24 hingga 48 jam. Menurut kenyataan itu lagi, amaran peringkat kuning akan menyebabkan berlakunya hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat yang turun dari semasa ke semasa melibatkan beberapa daerah di Pahang, Perak, Kedah dan seluruh Perlis. Bagi Pahang, ia melibatkan daerah Jerantut, Kuantan, Pekan, Maran dan Rompin dan dijangka berterusan sehingga Selasa depan. Di Perak pula, ia melibatkan daerah Hulu Perak, Larut dan Matang, manakala di Kedah ialah daerah Sik, Baling, Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar dan Pendang dan Perlis dijangka berterusan sehingga Rabu depan. ''Keadaan tersebut juga boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah dan berdekatan tebing sungai," katanya. Tambah kenyataan itu, semasa tempoh hujan lebat, orang awam diminta untuk lebih berhati-hati dan mengikut arahan pihak berkuasa serta mematuhi arahan berpindah jika banjir berlaku di kawasan mereka atau jika keadaan memerlukan. Dalam pada itu, amaran angin kencang dan laut bergelora juga dipertingkatkan ke kategori kedua untuk angin kencang timur laut di perairan Condore di Laut China Selatan dengan kelajuan 50-60 kilometer sejam dan ombak setinggi 4.5 meter dijangka berlaku sehingga esok. Keadaan ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri. Angin kencang sehingga mencapai kelajuan 40-50km sejam dengan keadaan ombak setinggi 3.5 meter pula berlaku di perairan Samui (Kelantan dan Terengganu), Reef North, Layang-Layang, Palawan dan Kudat di utara Sabah juga dijangka berterusan sehingga esok. Keadaan ini turut berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. Ribut petir yang berlaku di perairan Langkawi, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah (Kudat dan Sandakan) dan Laut Sulu dijangka berterusan sehingga tengah hari ini menyebabkan ombak setinggi 2.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil. Selain itu, kawasan pantai di pantai timur Semenanjung (Kelantan, Terengganu dan Pahang) terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut dan keadaan ini dijangka berterusan sehingga Selasa depan.Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
‘‘SIAPA tak sedih, kita percayakan suami seratus peratus, tanpa mengambil iktibar nasihat kakak dan saudara mara, kerana pada saya kalau dah sayang kita mesti percayakan dia. Barulah rumahtangga boleh aman. ‘‘Tetapi anggapan saya itu salah, sebaliknya kalau macam mana kita sayangkan suami kita, tetapi jangan percaya seratus peratus, sebab kita wanita boleh menjaga hati dan perasaan kita supaya tak jatuh cinta lagi, tetapi kita tidak tahu apa yang tersembunyi dalam jiwa raga dan perasaan suami kita itu,’’ kata Zuraini dalam e-melnya kepada penulis. Menurut Zuraini, dia berusia 36 tahun dan mempunyai sepasang cahaya mata yang berumur 8 dan 5 tahun. ``Perkahwinan kami dulu merupakan pilihan sendiri atas dasar cinta yang mendalam, begitu juga saya rasakan dalam hati suami saya Zam. Jadi saya memberikan dia sepenuh kepercayaan kepadanya sambil berpesan supaya dia tidak mengkhianati cinta kita kerana buruk padahnya. ‘‘Kerana sayang dan cinta jugalah saya memberikannya sepenuh kesetiaan. Dan saya tidak pernah menghalang dia berbuat apa sahaja yang menjadi hobi dan kegemarannya. Saya juga tidak kisah kalau dia nak balik rumah lewat malam kerana bekerja atau nak berjumpa kawan-kawan lelakinya. ``Dia pernah beritahu dia tak mahu hidupnya rasa terkongkong, jadi saya beri dia sepenuh kebebasan, namun dengan syarat dia tidak curang kepada saya dan keluarganya. Dia akur. ‘‘Kerana kepercayaan yang diberikan saya akui hidup kami memang sangat bahagia dan saya dapat rasakan antara kami langsung tiada masalah besar. Kami juga mempunyai talian yang erat antara saudara mara, ipar duai serta ibu bapa mertua. ‘‘Tetapi apabila hampir 10 tahun berumahtangga awal tahun ini rahsia dia menipu saya terbongkar. Ceritanya begini, satu hari saya meminjam laptopnya, kerana perlu menghabiskan kerja saya yang tergendala disebabkan urusan kerja yang banyak di pejabat. Tergerak hati ‘‘Nak jadikan cerita sehabis saya menyiapkan kerja pejabat, tiba-tiba tergerak hati saya untuk melihat folder pinture dalam laptopnya. Ketika itu dia tidak ada di rumah. Terkejut saya bila mendapati dia menyimpan gambar-gambar perempuan kenalannya. ‘‘Berdebar jantung saya, kerana selama ini saya tidak pernah check laptop atau pun handphone dia kerana saya percayakan dia. Ketika itu hati saya jadi panas, lantas saya set gambar perempuan itu sebagai wallpaper dan biarkan laptop terbuka. Saya mengunci diri dalam bilik kerana terlalu sedih ditipu. ‘‘Dipendekkan cerita, bila dia balik kami bertengkar, dia mengaku baru berkenalan dengan perempuan itu 2 bulan lalu. Dia selalu call, mesej dan sms perempuan itu serta menyimpan gambar perempuan itu dalam beg duitnya. ‘‘Tetapi bila saya selidik mereka dah berkenalan lebih setahun. Saya kecewa lagi kerana ditipu, sedangkan saya telah beri amaran yang saya tak boleh terima jika dia ada perempuan lain dalam hidupnya. ‘‘Saya sedih kerana sebagai isteri dalam sehari sekalipun dia tak pernah call saya kecuali ada kecemasan, hantar sms, mesej ataupun chat dengan saya. Tetapi dengan perempuan itu, dia boleh layan macam-macam. Hinggakan dia pergi umrah (percuma-company bayar-bukan atas keinsafan diri) pun dia masih berhubungan dengan perempuan itu dari sana. Ini terbukti bila dia tersalah hantar mesej untuk perempuan itu kepada saya. ‘‘Setakat ini kami masih lagi bersama kerana saya memberi peluang kedua kerana dia berjanji tak akan buat lagi dan telah memutuskan hubungan dengan perempuan itu. Tetapi jauh di lubuk hati, saya amat terluka kerana saya menjalankan tanggungjawab saya sebagai isteri dengan sempurna. ‘‘Saya amat kecewa dan saya selalu menangis. Cuma kali ini saya beri peluang kepada dia, tetapi selepas ini saya akan sentiasa memantau kerana sekali saya terkena, tak mustahil dia tidak akan menipu saya lagi. ‘‘Saya juga telah memberikan kata dua kepadanya, jika dia mengulangi perbuatan nya itu, saya akan menuntut cerai. Saya tak takut apa nak jadi jadilah. Walaupun selama ini saya percayakan dia seratus peratus, tetapi selepas peristiwa ini, saya rasa kepercayaan pada dia hanya sekitar 30 peratus sahaja. Saya cuma menunggu dan melihat apakah nasib saya selepas ini. ‘‘Saya sedih kerana sebelum ini keluarga kami tenang dan gembira sahaja selama ini. Rupa-rupanya dalam diam-diam ada unsur kecurangan di pihak suami saya. ‘‘Jadi di ruangan ini saya ingin menasihatkan kepada semua isteri-isteri, berhati-hatilah dengan suami anda, dan benar kata orang, ‘‘jangan percayakan suami seratus peratus, jika dia curang hidup kita hancur. Dulu memang saya tak percaya nasihat tersebut kerana suami saya ok, baik, tapi bila dah terkena batang hidung sendiri, baru saya faham. ‘‘Dan satu lagi pesanan saya, sekiranya seseorang itu telah berbohong dan menipu anda, maka tak mustahil dia tidak akan terus menipu dan berbohong kepada anda, sehingga jiwa anda menderita, perniagan dan pekerjaan anda hancur. Kerana setiap kali seseorang itu berjaya menipu orang dia merasa satu kejayaan dalam hidupnya.’’ Iktibar Demikian cerita Zuraini panjang lebar tentang pengalamannya ditipu kerana terlalu percayakan suami . Seperti kata Zuraini, pengalaman hidupnya baik untuk dijadikan iktibar dan pedoman kepada kaum wanita, biasanya kerukunan rumahtangga itu akan runtuh dan hancur apabila salah seorang pasangan itu telah bertindak curang mendustai pasangannya demi kepentingan hidup dan dirinya sendiri sahaja. Kalau tak percayakan suami dituduh tak setia, cemburu buta dan macam-macam tuduhan lagi, tapi kalau dah percaya sangat inilah akibatnya. Oleh kerana itu percayalah setakat mana anda boleh percaya, kerana lebih utama kasih dan sayangi diri anda sendiri.www.dcckmona.com
SETIAP kali cuti persekolahan akhir tahun bermula, bermulalah juga satu lagi amalan tradisi yang kian mendapat tempat dalam kalendar penduduk setempat. Majlis berkhatan beramai-ramai, seperti juga kenduri perkahwinan, turut menjadi aktivi lazim sempena musim cuti ini. Selain menghidupkan amalan lama yang semakin dilupakan, majlis tersebut dapat mengeratkan hubungan di antara penduduk di samping mengimbau kembali nostalgia dahulu kala.
KUALA LUMPUR: Luaran nampak seperti minuman ringan biasa, namun ia sebenarnya minuman berperisa arak yang kini menjadi kegilaan remaja terutama di kalangan pelajar sekolah di negara ini. “Kajian yang dilakukan CAP mendapati lebih 50 peratus murid dan pelajar sekolah kini menyukai minuman ini. Lebih serius ia mudah didapati di pasar raya mini dan kedai serbaneka. “Pejabat CAP dihujani panggilan daripada golongan ibu bapa yang risau dengan penjualan minuman ringan itu kerana ada di antaranya mendakwa anak-anak mereka berasa pening lalat selepas meminumnya,” katanya di Balai Berita di sini, semalam.Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.myTUNJUK...Subbarow menunjukkan minuman ringan berperisa arak.
Mendedahkan perkembangan membimbangkan itu, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N V Subbarow, berkata hasil siasatan pihaknya mendapati minuman itu mengandungi alkohol 5.5 peratus.
Menurutnya, ramuan arak yang ditin dan dibotolkan itu menggunakan pewarna seperti warna oren, epal dan campuran buah tropika bagi menarik perhatian pembeli membelinya dengan harga antara RM5 hingga RM12 sebotol.
“Ibu bapa terutama mereka yang beragama Islam perlu memberi perhatian serius kerana peratusan alkohol dalam minuman ringan ini melebihi kandungan (alkohol) yang terkandung dalam setin ‘beer’ iaitu 5 peratus saja.
Selain itu, pihak CAP turut mendapat aduan daripada pihak sekolah yang mengatakan segelintir murid dan pelajar membawa minuman ini ke sekolah untuk tujuan mengadakan jamuan hari jadi.
Menurutnya, tinjauan CAP mendapati terdapat lebih 25 jenama minuman ringan berperisa alkohol dijual di pasaran negara ini.
“Undang-undang negara jelas menyatakan sebarang minuman yang mengandungi alkohol dilarang penjualannya secara terbuka kepada golongan berumur 18 tahun ke bawah.
“Tetapi murid dan pelajar sekolah secara biasanya tidak gemar membaca kandungan label dan terus minum sebaik saja membelinya.
“Justeru, CAP bimbang dengan perkara ini kerana ia tahap permulaan untuk mereka minum arak apabila meningkat dewasa,” katanya.
KUALA LUMPUR: Pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages, Datuk Sosilawati Lawiya, semalam memfailkan tuntutan RM1.38 juta terhadap bekas suaminya yang juga vokalis kumpulan Lefthanded, Nash di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor. Sosilawati, 46, plaintif dalam kes ini, turut memohon mahkamah mendapatkan perintah supaya harta yang membabitkan ASB, ASW 2020, Saham Public Mutual Berhad dan rumah terbabit sebagai harta sepencarian. Peguam plaintif, Datuk Zaidi Zain, berkata menerusi tuntutan itu, plaintif juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah dua pertiga daripada apa-apa keuntungan, bonus dan dividen saham dan hartanah terbabit diberikan kepada plaintif, manakala satu pertiga diberikan kepada defendan.Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my
Dia menuntut bekas suaminya mengembalikan modal yang pernah dikeluarkannya untuk pelaburan di Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW2020) yang masing-masing RM200,000 serta Public Mutual Berhad (RM500,000).
Nash atau nama sebenarnya Jamaludin Elias, 50, selaku defendan juga dituntut mengembalikan wang RM480,000 yang dikeluarkan Sosilawati untuk menyelesaikan pinjaman bank dan bayaran berkaitan ke atas rumah di Seksyen 7, Shah Alam.
Tuntutan wang dan modal lebih RM1 juta yang pernah dikeluarkan usahawan wanita itu terhadap bekas suaminya dibuat melalui firma guaman syarie, Zaidi Zain & Associates. Kes terbabit ditetapkan untuk majlis sulh iaitu perbicaraan dalam kamar pada 10 Disember depan.
“Plaintif turut memohon mahkamah memerintahkan pihak defendan mendedah dan memaklumkan maklumat terkini mengenai status saham dan hartanah terbabit kepada pihak plaintif dalam tempoh 14 hari selepas perintah dikeluarkan,” katanya.
Sosilawati dan Nash berkahwin pada 16 November 2006 di Batu Pahat, Johor, namun bercerai talak satu di depan Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Mohammad di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini, pada 26 Mei 2009.
Dia sebelum ini berjanji tidak akan menuntut nafkah edah, mutaah, nafkah tertunggak dan apa juga tuntutan yang dibenarkan di mahkamah, manakala permohonan bagi harta sepencarian akan difailkan kemudian.
Menurut draf tuntutan itu, defendan berjanji membayar semula keseluruhan wang yang dipinjamkan plaintif kepadanya secara ansuran, namun sehingga kini defendan gagal menjelaskan semula hutangnya kepada plaintif.
Selepas perceraian, pihak plaintif mendakwa ada menghantar surat atau notis kepada pihak defendan untuk memulangkan kembali jumlah wang terbabit kepadanya.
“Namun, defendan tidak menjawab atau memberikan apa-apa cadangan bagi menyelesaikan tuntutan terbabit,” katanya.
Plaintif percaya, modal yang dikeluarkan itu menjana keuntungan kerana ia membabitkan jumlah yang besar dan pelaburan yang terjamin.

Perkara itu disahkan Ketua Penguat kuasa Daerah Maritim Kuala Terengganu, Komander Maritim Syd Fuzi Syd Hasan ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, maklumat mengenai penahanan semua nelayan terbabit telah dimaklumkan Maritim Wilayah Sarawak kepada pihaknya, 16 November lalu.
“Semua nelayan berasal dari Kampung Seberang Takir itu ditahan Polis Air Indonesia ketika mereka menangkap ikan berhampiran pelantar minyak Berlumut sempadan perairan Malaysia - Indonesia.
“Selepas ditahan, mereka mengambil masa empat hari perjalanan untuk sampai ke Pontianak,” katanya.
Syd Fuzi berkata, Wisma Putra juga kini berusaha mendapatkan pengesahan sama ada benar atau tidak salah seorang daripada nelayan terbabit cedera akibat terkena tembakan dilepaskan pihak berkuasa negara berkenaan.
Sebelum ini, kelima-lima nelayan terbabit dikatakan hampir memasuki sempadan perairan Indonesia yang jaraknya hanya kira-kira tiga batu nautika dari sempadan Malaysia-Indonesia.
Mereka adalah Che Wan Budiman Che Wan Ngah, 31, yang juga tekong bot, Musa Mohamad, 33; Akhmadi Daud, 28; Mohd Arif Rosli, 20, dan Ahmad Faizul Sulung, 23, dikatakan menjalankan aktiviti menangkap ikan berhampiran pelantar minyak Berlumut, kira-kira 150 batu nautika dari Kuala Terengganu.


