Semangat 'Terengganu Nelang' senjata

Oleh Syed Riduan Ahmad
smriduan@nstp.com.my
2011/01/29

 ANUAR (kiri),  Corredor,  Monslave dan Emami bersama pingat masing-masing selepas tamat Peringkat   6 di Putrajaya, semalam.
ANUAR (kiri), Corredor, Monslave dan Emami bersama pingat masing-masing selepas tamat Peringkat 6 di Putrajaya, semalam.
Anuar rampas kembali jersi biru Raja Pecut daripada Guardini di Peringkat 6

SEMANGAT 'Terengganu Nelang' mengiringi Anuar Manan untuk kembali merampas jersi biru Raja Pecut daripada Andrea Guardini pada Peringkat 6 perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) dari Rawang ke Putrajaya, semalam.
Walaupun gagal memenangi sebarang peringkat pada edisi kali ini, Anuar yang menyarung jersi Terengganu Pro Asia Cycling (TSG), tahun ini tetap bersemangat mempertahankan gelarannya sehingga tamat Peringkat 10 nanti.

“Sasaran utama saya adalah untuk menang sekurang-kurangnya satu peringkat, jadi saya akan kerah segala tenaga pada baki empat peringkat lagi untuk merealisasikannya,” kata Anuar yang sekali lagi tewas kepada Guardini, pelumba Farnese Vini-Neri Sotttoli (FAR), semalam.

Anuar hampir menggapai impiannya memenangi peringkat perlumbaan semalam yang berakhir di hadapan Istana Kehakiman, Putrajaya, tetapi ketika dia cuba mengekori Guardini dalam 50 meter terakhir, salah seorang pelumba di depannya memperlahankan kayuhan dan menutup laluannya untuk berpuas hati di tempat kedua dengan himpunan 14 mata.

Kedudukan Anuar bagaimanapun belum selamat sekiranya dia gagal menjuarai peringkat perlumbaan, memandangkan pertembungan kali ini adalah antara dua pasukan - FAR dan TSG.

Kini harapan Anuar terletak di bahu rakan sepasukan terutamanya Mohd Harrif Salleh yang sering menariknya ke kelompok depan di garisan penamat.
Pada perlumbaan Peringkat 7 dari Banting ke Tampin, hari ini, Anuar berpeluang menjarakkan kedudukan sekiranya dapat menguasai tiga zon pecutan di Sungai Pelek, Port Dickson dan Chembong, serta menewaskan Guardini di garisan penamat dalam perlumbaan sejauh 149.5 kilometer itu.