75 rebut hadiah RM125,000



KUALA NERUS – Lapangan Kuala Terengganu Golf Resort (KTGR), Tok Jembal, di sini, dipilih menjadi venue pertama bagi Kejohanan Golf Profesional Malaysia (PGM) Terengganu Klasik anjuran PGM yang berlangsung pada 24 hingga semalam.

Sebelum ini, Impian Golf Resort & Country Club, Selangor menyaksikan perasmian kejohanan yang berlangsung pada Disember tahun lalu bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat menyaksikan lebih dekat pertandingan golf profesional itu.

Pengurus Besar PGM, Mior Abdul Rahman berkata, seramai 75 peserta melibatkan profesional dan amatur menyertai pertandingan yang menyaksikan KTGR menjadi lokasi pembukaan bagi kejohanan berkenaan pada tahun ini.

“Hadiah keseluruhan yang ditawarkan dalam kejohanan kali ini ialah RM125,000 yang mana ia menjadi rebutan kesemua pemain profesional.

“Meskipun kejohanan ini melibatkan profesional, namun kita turut membuka peluang kepada empat peserta amatur untuk menonjolkan kebolehan dalam sukan bertaraf antarabangsa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah :Kejohanan PGM Terengganu Klasik di KTGR, Tok Jembal, di sini, semalam.

Sementara itu, Shaaban Hussin, mengungguli kejohanan berkenaan dengan menewaskan pemain profesional lain dan seterusnya membuktikan permainannya mampu menandingi peserta yang memiliki status profesional sepertinya.