Empat beradik mangsa bapa baran dirawat



2011/01/28

KUALA TERENGGANU: Empat beradik yang melarikan diri dari rumah mereka di Kampung Saujana, Setiu, selepas mendakwa tidak tahan dengan sikap panas baran bapa, kini dirawat di Hospital Sultan Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Setiu, ASP Idris Mohamad, berkata kanak-kanak yang berumur antara tujuh dan 14 tahun itu kini diberikan rawatan serta kaunseling di HSNZ selepas mengalami trauma dengan apa yang berlaku.
Beliau berkata, pihaknya belum dapat memastikan bila mereka akan dibenarkan keluar dari hospital. Kelmarin, empat beradik berkenaan terdiri daripada kakak sulung yang berusia 14 tahun, dua adik perempuan (10 dan lapan tahun) serta seorang adik lelaki, 7, ditemui oleh seorang pesara di tepi jalan, 7 kilometer dari rumah mereka.
Kakak sulung mereka yang tidak lagi bersekolah itu mendakwa, mereka melarikan diri kerana tidak tahan dengan sikap bapa yang panas baran dan mereka pernah disepak, diterajang, ditumbuk serta dicucuh puntung rokok oleh bapa mereka.

Berikutan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berumur 59 tahun yang direman selama tiga hari mulai kelmarin bagi membantu siasatan.

Sementara itu, pesara berusia 44 tahun yang enggan dikenali dari Kampung Saujana dekat Permaisuri, di sini, berkata ketika itu dalam perjalanan menghantar isterinya ke tempat kerja di bandar ini jam 7 pagi kelmarin, dia ternampak empat beradik berkenaan berjalan dalam keadaan tidak bermaya.
“Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena melihat empat kanak-kanak berjalan pada awal pagi dalam keadaan basah kuyup dan tidak bermaya lalu memberhentikan kereta dan bertanya arah tujuan mereka.

“Setelah mendengar cerita mereka, saya terus membawa empat beradik itu ke Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Setiu dan memaklumkan kepada pegawai polis yang bertugas mengenai apa yang berlaku,” katanya semalam.