Semangat 'Terengganu Nelang' senjata

Oleh Syed Riduan Ahmad
smriduan@nstp.com.my
2011/01/29

 ANUAR (kiri),  Corredor,  Monslave dan Emami bersama pingat masing-masing selepas tamat Peringkat   6 di Putrajaya, semalam.
ANUAR (kiri), Corredor, Monslave dan Emami bersama pingat masing-masing selepas tamat Peringkat 6 di Putrajaya, semalam.
Anuar rampas kembali jersi biru Raja Pecut daripada Guardini di Peringkat 6

SEMANGAT 'Terengganu Nelang' mengiringi Anuar Manan untuk kembali merampas jersi biru Raja Pecut daripada Andrea Guardini pada Peringkat 6 perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) dari Rawang ke Putrajaya, semalam.
Walaupun gagal memenangi sebarang peringkat pada edisi kali ini, Anuar yang menyarung jersi Terengganu Pro Asia Cycling (TSG), tahun ini tetap bersemangat mempertahankan gelarannya sehingga tamat Peringkat 10 nanti.

“Sasaran utama saya adalah untuk menang sekurang-kurangnya satu peringkat, jadi saya akan kerah segala tenaga pada baki empat peringkat lagi untuk merealisasikannya,” kata Anuar yang sekali lagi tewas kepada Guardini, pelumba Farnese Vini-Neri Sotttoli (FAR), semalam.

Anuar hampir menggapai impiannya memenangi peringkat perlumbaan semalam yang berakhir di hadapan Istana Kehakiman, Putrajaya, tetapi ketika dia cuba mengekori Guardini dalam 50 meter terakhir, salah seorang pelumba di depannya memperlahankan kayuhan dan menutup laluannya untuk berpuas hati di tempat kedua dengan himpunan 14 mata.

Kedudukan Anuar bagaimanapun belum selamat sekiranya dia gagal menjuarai peringkat perlumbaan, memandangkan pertembungan kali ini adalah antara dua pasukan - FAR dan TSG.

Kini harapan Anuar terletak di bahu rakan sepasukan terutamanya Mohd Harrif Salleh yang sering menariknya ke kelompok depan di garisan penamat.
Pada perlumbaan Peringkat 7 dari Banting ke Tampin, hari ini, Anuar berpeluang menjarakkan kedudukan sekiranya dapat menguasai tiga zon pecutan di Sungai Pelek, Port Dickson dan Chembong, serta menewaskan Guardini di garisan penamat dalam perlumbaan sejauh 149.5 kilometer itu.

KESAN dirotan pada belakang badan Wan Mohd. Faris.


KUALA TERENGGANU - Seorang murid tahun empat trauma untuk pergi ke sekolah selepas mendakwa dia dirotan oleh seorang guru selepas menghantar kertas ujian di sebuah sekolah di Kuala Besut di sini pada Rabu lalu.

Semasa kejadian, Wan Mohd. Faris Wan Zukri, 10, mendakwa dia baru menghantar kertas ujian kertas pendidikan Islam sebelum dikejutkan dengan tindakan guru lelaki itu yang tanpa sebab telah merotan badannya secara tiba-tiba.

Tindakan guru itu menyebabkan dia terkencing di dalam kelas kerana menahan kesakitan.

"Waktu kejadian, cikgu itu bagi kertas ujian dan selepas saya hantar kertas ujian pada cikgu, saya jenguk kawan saya untuk tengok apa yang dia buat.

"Tiba-tiba cikgu datang terus rotan belakang badan saya. Selepas itu cikgu tanya sakit tak. Belum sempat saya jawab dia rotan saya sekali lagi," katanya ketika dihubungi di sini semalam.



POLIS antirusuhan menggunakan penyembur air bagi menyuraikan penunjuk perasaan di Kaherah, Mesir semalam.


KAHERAH - Pemerintah Mesir semalam memutuskan talian telefon bimbit dan perkhidmatan Internet selain menghantar puluhan trak polis antirusuhan sebagai percubaan untuk menyekat beribu-ribu aktivis daripada menyertai protes antipemerintah yang diadakan selepas solat Jumaat.

Bekas Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, Mohamed Elbaradei dan Persaudaraan Muslim turut menyertai protes tersebut walaupun terdapat amaran bahawa pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas untuk mematahkan gelombang kebangkitan itu.

Ketiadaan perkhidmatan Internet menghalang akses ke laman rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter yang menjadi alat komunikasi utama para penganjur protes.

Polis Mesir mengalami kesukaran untuk berdepan dengan penunjuk perasaan yang telah bertempur selama tiga hari. Mereka menuntut supaya Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan selepas memerintah selama 30 tahun.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memberi amaran bahawa keganasan bukan penyelesaian di Mesir.

Obama turut meminta kedua-dua belah pihak mengawal perasaan dan menggesa Hosni agar melakukan perubahan politik.

"Ini adalah waktu kritikal dalam hidup rakyat Mesir. Keinginan untuk berubah mesti dihormati. Rejim tidak boleh menggunakan kekerasan ke atas peserta demonstrasi," kata Elbaradei yang lantang mengkritik Hosni dan menyatakan kesediaannya untuk mengetuai perubahan di Mesir jika diminta berbuat demikian.

Demonstrasi itu mendapat ilham daripada Revolusi Jasmin yang berlaku di Tunisia baru-baru ini sehingga mengakibatkan Presiden Zine El Abidine Ben Ali meletakkan jawatan.

Setakat ini, lima penunjuk perasaan dan dua anggota polis terbunuh di Mesir manakala 100 yang lain cedera.

Seorang pegawai keselamatan memberitahu kira-kira 1,000 orang telah ditahan sejak tunjuk perasaan bermula pada Selasa lalu.

Para aktivis menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi menuntut hak untuk hidup dengan penuh kebebasan dan bermaruah.

Hosni dianggap sebagai presiden yang tidak membawa pembaharuan ekonomi.

Hampir separuh daripada 80 juta penduduk Mesir hidup di bawah paras kemiskinan berdasarkan kadar pendapatan yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu AS$2 (RM6.11) sehari.

Negara itu mempunyai pendidikan yang berkualiti rendah, kadar pengangguran tinggi telah menyebabkan penduduk gagal memperoleh keperluan hidup yang sempurna. - Agensi



KUALA NERUS – Lapangan Kuala Terengganu Golf Resort (KTGR), Tok Jembal, di sini, dipilih menjadi venue pertama bagi Kejohanan Golf Profesional Malaysia (PGM) Terengganu Klasik anjuran PGM yang berlangsung pada 24 hingga semalam.

Sebelum ini, Impian Golf Resort & Country Club, Selangor menyaksikan perasmian kejohanan yang berlangsung pada Disember tahun lalu bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat menyaksikan lebih dekat pertandingan golf profesional itu.

Pengurus Besar PGM, Mior Abdul Rahman berkata, seramai 75 peserta melibatkan profesional dan amatur menyertai pertandingan yang menyaksikan KTGR menjadi lokasi pembukaan bagi kejohanan berkenaan pada tahun ini.

“Hadiah keseluruhan yang ditawarkan dalam kejohanan kali ini ialah RM125,000 yang mana ia menjadi rebutan kesemua pemain profesional.

“Meskipun kejohanan ini melibatkan profesional, namun kita turut membuka peluang kepada empat peserta amatur untuk menonjolkan kebolehan dalam sukan bertaraf antarabangsa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah :Kejohanan PGM Terengganu Klasik di KTGR, Tok Jembal, di sini, semalam.

Sementara itu, Shaaban Hussin, mengungguli kejohanan berkenaan dengan menewaskan pemain profesional lain dan seterusnya membuktikan permainannya mampu menandingi peserta yang memiliki status profesional sepertinya.



KUALA TERENGGANU - Seorang pemuda yang didakwa menikam bapa kandungnya sehingga mati dengan sebilah pisau rambo di rumahnya di Kampung Pulau Duyung Besar, Kuala Terengganu selepas dikatakan mendengar satu bisikan yang mengarahkannya supaya berbuat demikian pada 3 Febuari tahun lalu didapati me-ngalami delusi dan halusinasi ketika kejadian.

Pakar Perunding Psikiatri (Forensik) Hospital Permai, Johor Baharu, Dr. Badi’ah Yahya berkata, tertuduh, Syahrol Azmi Che Mat, 21, dalam tempoh rawatannya di hospital sebelum ini,dia pernah diserang sawan sebelum dirawat dengan ubat anti-epilepsi.

“Penama (tertuduh) tidak berpura-pura mengalami masalah mental kerana pada 20 Oktober tahun lalu iaitu ketika tempoh rawa-tan di sini, dia pernah diserang sawan yang mana ketika itu, dia ada melihat dan mendengar suara ghaib yang mengganggunya.

“Ketika dalam keadaan itu, sememangnya dia tidak tahu apa tindakan yang dilakukan,” katanya ketika memberi keterangan dalam perbicaraan di hadapan Hakim, Datuk Mohd Yazid Mustafa.

Menurutnya yang juga merupakan saksi kedua pembelaan, ujian dadah yang dilakukan ke atas tertuduh juga negatif dan laporan sosial yang diperoleh mendapati tertuduh tidak pernah sesekali terjebak dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

Selain Badi’ah, abang tertuduh, Irwan Afandi Che Mat, 31, turut dipanggil memberi keterangan sebagai saksi pertama pembelaan.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas bapa kandungnya, Che Mat Nik di sebuah rumah di Kampung Pulau Duyong Besar, kira-kira jam 2 pagi pada 3 Febuari tahun lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Dalam kejadian itu, tertuduh dilaporkan menikam abangnya, Irwan Afandi, 31, dengan menggunakan sebilah pisau rambo ketika sedang tidur menyebabkan mangsa menjerit meminta pertolongan bapanya.

Che Mat yang terjaga daripada tidur dipercayai cuba merampas pisau daripada tertuduh, tetapi malangnya ditikam oleh tertuduh di bahagian perut dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Tertuduh diwakili peguam dari Tetuan Mohd Yusof Endut & Associates.

Mohd Yazid menetapkan 6 Febuari ini untuk hujahan kes dan keputusan setelah pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwaraya Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi berjaya membuktikan kes prima facie.


SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa tiada bukti jelas menunjukkan bahawa anggota polis Koperal Jenain Subi adalah orang yang telah menembak remaja berumur 15 tahun, Aminulrasyid Amzah sehingga menyebabkan kematiannya.

Peguam M.Athimulan yang mewakili Jenain berkata, berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan iaitu pakar forensik dan ahli kimia sebelum ini, mereka tidak dapat mengesahkan dari senjata mana anak peluru yang ditemui di dalam kepala mangsa dilepaskan.

"Ahli kimia tidak dapat menguji anak peluru terbabit berikutan ia rosak teruk dan dalam kes ini ada dua senjata MP5 iaitu satu dimiliki Jenain dan satu lagi dimiliki oleh Konstabel Mohd Izham Mahayadin. Tiada bukti forensik untuk mengaitkan bahawa anak peluru itu telah dilepaskan sama ada oleh senjata Jenain atau Mohd Izham.

"Adalah penting untuk disebut bahawa keterangan Mohd Izham bahawa beliau hanya melepaskan tembakan di Bulatan Kayangan dan dia juga dicabar bahawa dia juga berbuat demikian di Jalan Tarian 11/2 yang mana telah dinafikannya," katanya.

Athimulan memberikan hujahannya pada perbicaraan terhadap Jenain, 48, yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini, antara pukul 1.10 pagi hingga 2 pagi, 26 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mengenai isu mens rea (niat hendak menyebabkan kematian), Athimulan berkata keterangan yang dikemukakan oleh saksi pendakwaan tidak langsung menunjukkan bahawa tertuduh mempunyai niat untuk menyebabkan kematian mangsa.

"Dalam keterangan saksi pendakwaan, tiada bukti menunjukkan ada tindakan menembak yang 'disengajakan' terhadap kereta Iswara dipandu mangsa. Dalam kes ini sasaran tembakan ialah pada bahagian bawah kereta Proton Iswara dan bukan terhadap orang yang berada di dalam kereta itu.

Athimulan berhujah, Seksyen 24 (1)(b) Akta Polis memberi kuasa kepada pihak polis untuk memberhenti atau memeriksa tanpa waran mana-mana kenderaan apabila mereka mempunyai alasan yang kukuh untuk mengesyaki bahawa kenderaan terbabit digunakan dalam sebarang kegiatan jenayah dan dalam kes itu kereta dinaiki Aminulrasyid disyaki terbabit dalam rompakan.

Peguam Salim Bashir yang juga mewakili Jenain pula berhujah bahawa mengikut peruntukan Seksyen 79 dan Seksyen 80 Kanun Keseksaan, tertuduh mempunyai niat baik dalam melaksanakan tugas sebagai anggota polis yang diberi kuasa dan tanggungjawab menjaga keamanan dan ketenteraman.

Beliau berkata Aminulrasyid juga telah memandu dengan cara yang berbahaya sehingga boleh mendatangkan kecederaan atau kematian kepada pengguna kenderaan lain pada masa itu.

"Saksi-saksi pendakwaan telah melihat sendiri bahawa pelakuan pemandu kereta Iswara BET 5023 yang mana bukan sahaja tidak mematuhi undang-undang jalan raya malah telah bertindak membelakangkan keselamatan diri dan orang lain dengan memandu secara melulu.

"Dalam persekitaran awal pagi yang masih gelap perbuatan kereta Iswara itu hanya boleh menjurus kepada anggapan bahawa pemandu tersebut adalah penjenayah tegar atau seorang yang baru melakukan kesalahan jenayah berat dan cuba melarikan diri dari penguatkuasa undang-undang," katanya.

Salim berkata tindakan Jenain pada hari kejadian hanyalah untuk memberhentikan kereta Proton Iswara dan menahan pemandunya tanpa apa-apa niat untuk mendatangkan kecederaan atau kematian ke atas pemandu atau sesiapa sahaja di dalam kereta tersebut, malah tertuduh berniat baik untuk menghentikan kereta dalam keadaan paksa serta dengan mengambil tindakan berhati-hati.

Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani yang mewakili pendakwaan pula berhujah bahawa tertuduh tidak wajar melepaskan tembakan memandangkan kereta Iswara itu berada dalam keadaan atau posisi yang tidak membahayakan semasa berada di Jalan Tarian 11/2.

Beliau berkata tangki minyak kereta Iswara itu juga telah bocor, tayarnya telah kempis, kelajuan kereta telah menurun kepada 60 ke 70 km sejam dan ia dilihat dalam keadaan terhuyung hayang serta tidak dapat dikawal.

Idham berkata kereta peronda MPV yang dinaiki tertuduh berada di belakang kereta peronda MPV yang dinaiki oleh Mohd Izham yang melihat dan mengetahui bahawa kereta Iswara itu telah ditembak di bahagian tayar oleh Mohd Izham semasa di Bulatan Kayangan lagi.

Beliau berkata kereta Proton Iswara juga tidak lagi menghimpit kedua-dua kereta peronda polis dan tiada sebarang tindakan yang membahayakan dilakukan oleh pemandu dan penumpang kereta itu seperti membalas tembakan atau mengeluarkan senjata ke arah kedua-dua kereta peronda polis tersebut.

"Tembakan yang dilepaskan oleh tertuduh iaitu sebanyak 21 das jelas menunjukkan niat tertuduh untuk mendatangkan kecederaan kepada mangsa yang mana tertuduh tahu boleh sebabkan kematian melalui kemalangan atau tembakan," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar bersambung Isnin ini. - BERNAMA

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN

LABIS: Calon PAS, Normala Sudirman mendakwa suaminya, Maarof Abdul Mutalib diberikan cuti sakit sehingga tempoh dua minggu berturut-turut disebabkan oleh masalah kemurungan akibat arahan pertukaran dalam tempoh 24 jam ke sebuah sekolah di Johor Bharu sebelum ini.

Beliau berkata, bagaimanapun jika media berminat menyiasat lebih lanjut mengenai kesahihan sijil cuti sakit kepada suaminya itu, dinasihatkan bertemu terus dengan doktor yang berkenaan.

“Lebih baik media berjumpa dengan doktor yang mengeluarkan cuti sakit tersebut kerana sebagai doktor beliau lebih profesional dan tahu kenapa dan mengapa surat itu dikeluarkan kepada pesakitnya.

“Media kalau nak tahu lebih baik tanya pada doktor itu lebih baik dan ada ketelusan,” katanya kepada pemberita di Dataran Wayang Pacak di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan suaminya mendapat cuti sakit selama 21 hari daripada dua pusat kesihatan di Segamat namun pada masa yang sama Maarof sering didapati menemani isterinya sepanjang musim kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

Dalam pendedahan yang dibuat oleh sebuah blog http://marahku.blogspot.com/ mendakwa suami calon PAS itu telah mengambil cuti sakit selama dua hari pada 6 dan 7 Januari dari Pusat Perubatan Keluarga di Jalan Segamat-Labis, Johor.

Ia diikuti dengan cuti sakits selama dua minggu bermula 10 hingga 23 Januari yang dikeluarkan oleh Klinik Kesihatan Bandar Putra, Segamat dan tambahan cuti lima hari lagi yang diperoleh daripada pusat kesihatan yang sama.

Dalam salinan surat sakit tersebut, dimaklumkan Maarof yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tenang Stesen diberikan cuti sakit selama 2 minggu berturut-turut kerana beliau menghadapi masalah kemurungan yang serius.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Normala yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Mala berkata, suaminya berdepan dengan tekanan yang hebat ketika mendapat tahu mengenai pertukaran yang diputuskan oleh Jabatan Pelajaran Johor sebelum tindakan tersebut ditarik balik dalam tempoh 24 jam selepas itu.

“Ya, hal penukaran itu memberikan kesan di hati suami saya kerana pada hari yang sama juga anak saya dimasukkan ke wad,” katanya.

Ketika ditanya bagaimana dengan keadaan suaminya ketika ini, Cikgu Mala berkata, emosi suaminya sangat stabil dan beliau juga menegaskan dirinya tidak langsung tertekan dengan isu sijil cuti sakit suaminya yang dijadikan bahan kempen dalam pilihan raya kali ini.

“Saya yakin dengan integriti pihak yang mengeluarkan sijil cuti sakit ini. Apa pun tohmahan atau fitnah yang tidak benar akan berbalik kepada orang yang menyebarkan fitnah itu. Insya-Allah, Allah akan memelihara saya daripada sebarang fitnah dan hasad dengki,” katanya.

Jelasnya isu serangan peribadi sudah tidak relevan untuk memancing undi pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

“Isu ini telah disensasikan dengan kaitan peristiwa yang tidak berasas. Isu sakit ini perlu tanya kepada doktor,” katanya.


Dasar Keluarga Negara yang baru sahaja diluluskan kebinet (DKN) baru-baru ini mewajibkan semua perancangan pembangunan mengambil kira perspektif keluarga dalam setiap urusannya. Penggubalan dasar berkenaan nyata membeti impak yang positif bagi memastikan kesejahteraan keluarga dapat diintegerasikan dalam setiap aspek pembangunan, sekaligus menjadi panduan untuk pembangunan sisioekonomi, perundangan dasar, prosedur penguatkuasaan undang-undang dan peraturan.

Jika sebelum ini ia kurang diberi perhatian namun setelah dasar ini diluluskan maka tidak mustahil aspirasi negara akan dicapai dengan jayanya, ditambah pula dengan penglibatan ahli keluarga. Keprihatinan kerajaan terhadap institusi kekeluargaan jelas terbukti dengan wujudnya dasar tersebut, kerana difahamkan selepas ini pihak pemaju perumahan perlu menyediakan keperluan lif di setiap rumah pangsa biarpun mempunyai empat tingkat sahaja. Selain itu, pusat-pusat membeli belah juga perlu mewujudkan sebuah bilik khas di tandas bagi menukar lampin pakai buang anak-anak mereka. Mungkin dahulu, keperluan seperti ini kurang diberi penekanan, tetapi sekarang ia menjadi salah satu perkara wajib yang perlu dilakukan. Para majikan juga tidak terlepas dari dasar yang telah dibentangkan.

Mereka diminta menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak bagi memudahkan ibu bapa memantau keselamatan anak-anak mereka selain memberi cuti kecemasan untuk menjaga anak-anak yang sakit. Perkhabaran yang diterima ini pasti menggembirakan banyak pihak terutamanya pasangan suami isteri yang bekerja. Selain sibuk dengan urusan di pejabat, mereka masih diberi keutamaan untuk menumpukan perhatian kepada keluarga masing-masing. Dari aspek kesihatan, prasarana ataupun aktiviti sosial, penglibatan ahli keluarga pasti dititikberatkan. Peluang bertemu Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) baru-baru ini memberi peluang kepada penulis untuk mengupas lanjut mengenai isu Dasar Keluarga Negara Beri Impak Positif Kepada Masyarakat di Malaysia. Ikuti tinjauan yang dilakukan oleh penulis kepada beberapa individu mengenai topik yang diutarakan.

Perlaksanaan dasar mengeratkan hubungan kekeluargaan
Jelas Dato’ Aminah Abdul Rahman selaku Ketua Pengarah LPPKN, dasar tersebut asalnya digubal bagi mengukuhkan sekali gus memantapkan institusi kekeluargaan melalui penggemblengan iltizam serta sokongan dari semua pihak bagi menyediakan dasar perundangan, program, perkhidmatan, kemudahan serta persekitaran yang mesra keluarga. Dengan adanya dasar seperti ini, usaha-usaha yang dilakukan kerajaan khususnya LPPKN sendiri mampu kekal lebih lama sekali gus memberi ‘keuntungan’ kepada setiap masyarakat.

“Kalau boleh kami ingin pastikan dalam apa jua dasar atau program pembangunan yang dilaksanakan, perspektif keluarga perlu diutamakan. Berdasarkan kajian, 30 peratus penduduk di negara ini masih tergolong sebagai ‘keluarga muda’. Sekiranya tidak dibantu, tidak mustahil keluarga-keluarga muda ini, hilang arah tujuan sekali gus menambah bilangan kes-kes perceraian selain meningkatkan peratusan gejala sosial yang semakin menular sejak kebelakangan ini. Di sinilah baru diketahui peri pentingnya Dasar Keluarga Negara. Apabila undang-undang telah ditetapkan maka agak payah untuk ia dilanggar begitu sahaja.

“Kes yang sama juga berlaku kepada ibu-ibu bekerja yang terpaksa berhenti kerana masalah penjagaan anak. Kebimbangan anak berada di bawah penjagaan pengasuh serta pembantu rumah menyebabkan mereka mengambil keputusan nekad untuk meletak jawatan, sedangkan negara masih memerlukan khidmat dari ibu-ibu ini. Apabila berlakunya perkara sebegini, negara kerugian banyak tenaga kerja mahir yang sebenarnya sangat berpotensi untuk mengangkat produktiviti dan kemajuan Malaysia.

Dengan adanya dasar yang baru diluluskan kerajaan ini maka ‘nasib’ ibu-ibu bekerja lebih terjamin. Pasti tiada lagi kebimbangan tentang keselamatan anak masing-masing apabila wujudnya pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja mereka. Malah anak-anak ini juga akan lebih memahami bentuk kerja ibu atau ayah mereka sekali gus mengeratkan hubungan kekeluargaan yang sedia terjalin. Begitu juga dengan penglibatan syarikat sendiri. Perlaksanaan Hari Keluarga berbentuk sukaneka, minum petang dan sebagainya juga secara tidak langsung menyumbang ke arah memajukan dasar yang telah diwujudkan. Terasa berbaloi kerana setelah berhempas pulas bekerja, majikan memberi pula ‘ganjaran’ kepada pekerja dan ahli keluarga melalui aktiviti tersebut.

Bekas peguam, Pathmanabhan A/L Nalliannen (tengah) merupakan suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik Allahyarhamah Datuk Sosilawati bersama dan tiga individu lain diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, Khamis. Majistret Hurman Hussain menetapkan 24 Februari ini untuk sebutan semula kes terbabit selepas pihak pendakwaan meminta penangguhan sementara menunggu keputusan rayuan dan semakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam. - Foto BERNAMA

BANTING: Mahkamah Majistret Telok Datok di sini semalam, menetapkan 24 Februari ini untuk sebutan kes bekas peguam, N Pathmanabhan dan tiga lagi yang dituduh membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain pada Ogos tahun lalu.

Majistret Hurman Hussain menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff memohon tarikh sebutan lain, sementara menunggu keputusan rayuan dan semakan difailkan salah seorang pekerja ladang, K Sarawanan, 20, di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Permohonan semakan dan rayuan itu yang didengar pada 31 Januari ini, difailkan Sarawanan selepas mendakwa pengakuan bersalah atas tuduhan menghilangkan bukti dengan membakar mayat Sosilawati dan tiga lagi, dibuat secara paksa, terpedaya dan tanpa kerelaan.

Pada 15 Oktober tahun lalu, Sarawanan yang juga bekas mekanik motosikal, dihukum penjara tujuh tahun selepas mengaku salah atas empat tuduhan membakar mayat Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohammad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di ladang Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat di sini, antara jam 9.45 malam dan 12 tengah malam, 30 Ogos 2010.

Pada 13 Oktober tahun lalu, Pathmanabhan, 42, dan tiga pekerja ladang, T Thilaiyagan, 20; R Matan, 21, dan R Khatavarayan, 31, dituduh membunuh Sosilawati dan tiga rakannya di tempat sama pada 30 Ogos tahun lalu.

Dalam prosiding semalam, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili semua tertuduh memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang dokumen berkaitan kes itu daripada pihak pendakwaan dan berharap ia diserahkan pada 31 Januari ini ketika pendengaran rayuan serta semakan Sarawanan di Mahkamah Tinggi.

Ishak berkata, pihaknya akan menyerahkan sebahagian dokumen itu seperti dikehendaki.
Hurman kemudian memaklumkan beliau tiada alasan lagi untuk menangguhkan kes itu dan bercadang memindahkannya ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Amer Hamzah berkata, beliau juga ingin kes itu dipindah ke Mahkamah Tinggi tetapi peruntukan undang-undang tidak mengizinkannya berbuat demikian kerana pihak pendakwaan masih belum menyerahkan surat izin untuk memindahkan kes.


DIRIWAYATKAN daripada Anas, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah telah menugaskan satu malaikat berhubung peringkat kejadian anak dalam kandungan rahim ibunya dan keadaan akan dilalui, apabila air benih itu jatuh ke dalam rahim, malaikat bertanya: "Ya Tuhanku! Air benih ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? Ya Tuhanku! Darah seketul ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? Ya Tuhanku! Daging segumpal ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? Maka apabila Allah hendak sempurnakan jadinya seseorang anak, malaikat bertanya lagi: Ya Tuhanku! Adakah ia seorang (yang bernasib) celaka atau (yang bernasib) bahagia? Lelakikah atau perempuan? Bagaimana pula keadaan rezekinya dan ajalnya? (Selepas malaikat mendapat jawabnya) maka ia menulis seperti diperintahkan sedang anak itu dalam perut ibunya."

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI

Awal tidak kisah dengan apa yang diperkatakan mengenai dirinya. Foto THE STAR Oleh UU BAN

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara Awal Ashaari,30, menjelaskan kekasihnya Scha Al-Yahya lebih tahu siapa dirinya yang sebenar serta hubungan yang mereka jalinkan.

Awal berkata, Scha juga bukan jenis individu yang mudah memeprcayai kata-kata dan juga tuduhan yang dilemparkan terhadapnya selama ini.

"Scha lebih tahu siapa diri saya yang sebenar. Itu adalah kepercayaan yang amat paling penting.

"Kami telah berkawan selama satu tahun setengah dan saya pasti dia bukan bodoh untuk menilai tentang diri saya," ulas Awal mengenai gosip dalam sebuah portal yang mengatakan dia hanya berpura-pura bercinta dengan Scha untuk menutup dirinya seorang gay.

Scha

Kata Awal, penampilannya sebagai seorang lelaki yang bergaya ataupun lebih bercirikan metroseksual mungkin menyebabkan sesetengah pihak tersalah anggap dengan statusnya itu.

"Sebelum ini ramai lagi artis lelaki yang dilemparkan tuduhan kononnya mereka adalah gay kerana gaya dan penampilan mereka tetapi terbukti tuduhan itu tidak benar.

"Kebanyakan mereka semua sudah berkahwin dan mempunyai ramai anak. Hanya kerana mengamalkan gaya hidup metroseksual tidak bererti gay," katanya selepas ditemui pada majlis pandu uji kereta model Honda CR-V di sebuah restoran di sini, Khamis.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah dia dan Scha ada berbincang mengenai tuduhan yang dilemparkan terhadap dirinya itu, Awal mengakui pernah berbicara mengenainya.

"Kalau ada pihak yang termakan dengan apa yang orang cakap mungkin sekarang Scha telah meninggalkan saya tetapi percintaan kami masih kekal," katanya yang baru selesai menjalani penggambaran program Rentak Bolly di India.

Pernah berangan-angan untuk mengakhiri zaman bujang sebelum mencecah usia 30 tahun, Awal berkata apabila saat itu tiba, keputusan untuk berkahwin bukan untuk menutup cakap-cakap masyarakat mengenai status seksualnya tetapi kerana kehendak diri sendiri.

"Saya tidak akan berkahwin hanya kerana ingin memberitahu kepada masyarakat bahawa saya lelaki tulen tetapi kerana kehendak diri saya sendiri.

"Saya tidak perlu buktikan bahawa saya bukan gay," katanya yang bakal mengacarakan program Fuhhh! musim terbaru di TV3.

Mengharapkan jodohnya dengan Scha panjang, Awal memberitahu apa yang diperkatakan oleh masyarakat mengenai status seksualnya adalah tidak penting kerana dia lebih mengetahui mengenai perkara itu.

"Saya tidak boleh menutup mulut orang lain untuk berhenti bercakap mengenai diri saya.

"Cukup keluarga,teman rapat dan Scha mengetahui siapa diri saya. Itu sudah memadai," katanya mengakhiri perbualan.


LABUAN: Tiga rakyat tempatan, termasuk dua wanita rugi RM567,230 didakwa ditipu kenalan yang dikenali dalam laman web sosial Facebook dan blog yang merupakan kes pertama di pulau itu.

Ketua Polis Labuan Penguasa Saiman Kasran berkata dua wanita yang terbabit merupakan seorang jururawat dan seorang penasihat institut pengajian tinggi kerugian, sementara seorang lelaki merupakan kakitangan kerajaan.

Jururawat itu ditipu RM430,000 pada 18 Nov lepas, kaunselor itu ditipu RM130,430 pada 21 Januari lalu dan penjawat awam pula kerugian RM6,800 pada 22 Januari lepas, katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Beliau berkata modus operandi penipuan itu memakan masa hampir setahun dengan menggunakan taktik pujuk rayu sehingga mangsa tanpa berfikir panjang memasukkan jumlah duit yang agar besar ke dalam akaun kenalan mereka ini.

Sebaik menerima wang itu, kenalan baru mereka itu terus menghilangkan diri, katanya.

Beliau berkata unit khas polis Labuan kini sedang mengesan pemegang akaun tersebut bagi membolehkan identiti dalang sindiket itu dikenal pasti. - BERNAMA



2011/01/28

KUALA TERENGGANU: Empat beradik yang melarikan diri dari rumah mereka di Kampung Saujana, Setiu, selepas mendakwa tidak tahan dengan sikap panas baran bapa, kini dirawat di Hospital Sultan Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Setiu, ASP Idris Mohamad, berkata kanak-kanak yang berumur antara tujuh dan 14 tahun itu kini diberikan rawatan serta kaunseling di HSNZ selepas mengalami trauma dengan apa yang berlaku.
Beliau berkata, pihaknya belum dapat memastikan bila mereka akan dibenarkan keluar dari hospital. Kelmarin, empat beradik berkenaan terdiri daripada kakak sulung yang berusia 14 tahun, dua adik perempuan (10 dan lapan tahun) serta seorang adik lelaki, 7, ditemui oleh seorang pesara di tepi jalan, 7 kilometer dari rumah mereka.
Kakak sulung mereka yang tidak lagi bersekolah itu mendakwa, mereka melarikan diri kerana tidak tahan dengan sikap bapa yang panas baran dan mereka pernah disepak, diterajang, ditumbuk serta dicucuh puntung rokok oleh bapa mereka.

Berikutan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berumur 59 tahun yang direman selama tiga hari mulai kelmarin bagi membantu siasatan.

Sementara itu, pesara berusia 44 tahun yang enggan dikenali dari Kampung Saujana dekat Permaisuri, di sini, berkata ketika itu dalam perjalanan menghantar isterinya ke tempat kerja di bandar ini jam 7 pagi kelmarin, dia ternampak empat beradik berkenaan berjalan dalam keadaan tidak bermaya.
“Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena melihat empat kanak-kanak berjalan pada awal pagi dalam keadaan basah kuyup dan tidak bermaya lalu memberhentikan kereta dan bertanya arah tujuan mereka.

“Setelah mendengar cerita mereka, saya terus membawa empat beradik itu ke Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Setiu dan memaklumkan kepada pegawai polis yang bertugas mengenai apa yang berlaku,” katanya semalam.

oleh NIZHA PERIASWAMY




APABILA bercakap mengenai kepentingan kalsium, kebanyakan daripada kita sering kali merujuk zat itu hanya untuk kanak-kanak sebagai sumber tumbesaran tulang.

Bagi orang tua pula, ia penting bagi mengelakkan pereputan tulang. Jarang sekali orang muda atau yang berada di usia pertengahan mengambil berat mengenai pengambilan kalsium dalam struktur diet harian mereka.

Selain diperlukan golongan dewasa yang aktif, tahukah anda bahawa kalsium adalah zat yang amat penting bagi ibu-ibu hamil? Kekurangan pengambilan kalsium atau kealpaan dalam memberi tumpuan terhadap zat kalsium sebenarnya boleh menyebabkan komplikasi semasa meneran saat-saat melahirkan anak. Lebih buruk, kesannya akan berterusan sehingga usia tua.

“Saya terkejut apabila ada doktor yang tidak mempraktikkan pemberian pil kalsium kepada ibu-ibu mengandung ketika membuat pemeriksaan bulanan. Kalsium dilihat sebagai satu zat yang amat penting di samping zat besi, folik, potasium dan lain-lain,” kata pembuka Pakar Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya (PPSDSJ), Dr. Delilah Ahmad.

Beliau yang mahu semua ibu hamil tidak memandang remeh keperluan kalsium juga berharap agar golongan suami turut mengambil peranan mengingatkan pasangannya.

Apabila berjumpa doktor dalam sesi pemeriksaan, pasangan dinasihatkan agar jangan segan untuk meminta pil kalsium di samping mengamalkan diet tinggi zat kalsium.

“Sebanyak 75 peratus ibu-ibu hamil tidak mengambil keperluan kalsium yang mencukupi dan ketidaksedaran ini akan memberi kesan kepada mereka khususnya pada semester ketiga mereka mengandung dan saat-saat melahirkan anak,” kata beliau.

Jelas Delilah, ibu hamil lazimnya memerlukan 1,200 hingga 1,300 miligram kalsium sehari iaitu tambahan 300 hingga 500 miligram zat yang diperlukan orang dewasa.


IBU hamil perlu sentiasa memastikan kesihatan tulang.


Ia bermakna seseorang itu perlu mengamal pengambilan susu segar sebanyak satu liter setiap hari. Delilah yakin, ibu-ibu sekarang kurang mengamalkan pengambilan susu, sama ada tidak meminatinya atau ada pula yang mempunyai masalah tidak boleh bertoleransi dengan laktosa.

“Jika ibu-ibu hamil ini tidak suka mengambil susu, saya percaya terdapat banyak susu berperisa di pasaran khas untuk mereka. Pengambilan keju, dadih dan makanan yang berkaitan dengan susu juga boleh diamalkan bagi menggantikan susu.

“Selain produk tenusu, ibu-ibu hamil boleh mengambil makanan pejal yang tinggi zat kalsium termasuk sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan bilis, salah satu makanan yang mempunyai kandungan kalsium paling tinggi,” katanya.

Diet sumber asli

Kata Delilah, walaupun ibu-ibu itu dibekalkan dengan pil kalsium, mereka tetap perlu mengamalkan diet sumber asli seperti yang di senaraikan itu.

Kalsium yang diambil itu amat berguna untuk kekuatan tulang khususnya bagi ibu-ibu yang memerlukan zat tersebut bagi kekuatan menanggung berat bayi secara fizikal.

Selain itu, kalsium juga penting untuk pembekuan darah, menstabilkan transmisi impuls saraf dan untuk merehatkan otot sewaktu berlakunya kontraksi.

“Banyak penyelidikan dan kajian, atau lebih tepat kira-kira 14 kajian yang disenarai dalam Jurnal Persatuan Perubatan Amerika mendapati kalsium yang tidak mencukupi meningkatkan risiko praeklampsia iaitu gejala tekanan darah tinggi,” terang Delilah.


PARA ibu yang tidak boleh bertoleransi dengan laktosa disaran mengambil suplemen kalsium sebagai ganti.


Keadaan itu dikatakan berlaku selepas 20 minggu kehamilan bersama dengan masalah lain. Difahamkan juga pra-eklampsia berpotensi membawa maut bagi ibu dan bayi akibat kenaikan tekanan darah tinggi.

Secara amnya, kalsium yang sedia dimiliki ibu akan diserap oleh bayi semasa dia membesar terutamanya dalam proses pembentukan tulang. Kesan paling ketara adalah ibu hamil akan kekurangan kalsium pada jumlah yang besar khususnya di akhir tempoh kehamilan.

Kegagalan menggantikan kalsium yang diserap oleh bayi boleh menyebabkan ibu-ibu itu kehilangan gigi pada usia yang lebih muda daripada sepatutnya. Mereka juga berisiko tinggi menghidap osteoporosis.

“Mereka yang mempunyai ketumpatan jisim tulang yang sangat rendah akibat kekurangan kalsium dan berat tulang yang kecil berpotensi besar mengidap osteoporosis dan pada kadar lebih cepat.

Untuk mengesan jisim dan densiti tulang, mereka boleh membuat pemeriksaan di hampir semua klinik umum,” katanya yang turut mencadangkan agar pemeriksaan itu dilakukan sebagai langkah memahami lebih lanjut keadaan tulang badan.

Kehilangan kalsium

Kehilangan kalsium dalam kalangan ibu hamil secara relatif lebih banyak iaitu sekitar tiga hingga 10 peratus berbanding wanita menopaus yang kehilangan satu hingga tiga peratus.

“Itupun sudah dikira banyak. Bayangkan dengan kehilangan lebih tujuh peratus? Kehilangan ini berpunca daripada permintaan yang tinggi terhadap kalsium oleh bayi,” terang Delilah.

Jika ada orang yang berpendapat pengambilan kalsium boleh dikurangkan selepas beranak, itu juga satu tindakan yang salah.


IKAN bilis adalah sumber kalsium paling utama, mudah didapatkan dan senang diintegrasi dalam sajian seharian.


Sebenarnya, ibu-ibu khususnya yang menyusukan anak perlu terus mengekalkan pengambilan kalsium pada kadar yang sama. Kalsium diperlukan untuk mengiringi proses merehatkan otot rahim yang mengecut semula mahupun sewaktu kedatangan haid.

“Selian itu, pengambilan kalsium yang secukupnya didapati boleh mengelakkan masalah kekejangan sewaktu proses bersalin.

“Kekurangan zat itu juga boleh mengakibatkan masalah kesejukan dan kekejangan pada bahagian kak. Kekejangan yang berlaku itu boleh mengganggu emosi ibu selain proses bersalin itu sendiri,” kata beliau merujuk kepada komplikasi yang paling digeruni ibu-ibu hamil.

Oleh yang demikian, Delilah menasihati ibu-ibu yang merancang hamil, sedang hamil mahupun yang sudah melahirkan anak supaya mengekalkan mengambil kalsium sama ada berbentuk suplemen mahupun daripada sumber semula jadi.


Duda tak serik


Oleh MUSTAPA LAKAWA


Abdul Jalal


KUALA TERENGGANU – Seorang duda berusia 56 tahun yang pernah merengkok dalam penjara selama 34 tahun sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas dua tuduhan mengedar dadah jenis heroin dua minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Abdul Jalal Daud dari Kuala Besut, Besut ketika jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang baru dibebaskan dari Penjara Marang pada Jun tahun lalu didakwa mengedar heroin seberat 46.32 gram (g) di hadapan Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai, di sini pada pukul 6 petang, 13 Januari lalu.

10 alasan untuk berpisah


Di sini diberikan 10 petanda untuk menilai sama ada hubungan anda perlu diteruskan atau tidak. Inilah masa yang sesuai untuk anda membuat keputusan.

1.Anda tidak selesa dengan diri sendiri sejak di awal perhubungan lagi. Perasaan keghairahan dan keseronokan dalam perhubungan semakin pudar dari minggu ke minggu, bulan ke bulan.

2.Anda dan teman-teman tidak lagi menghabiskan masa bersama-sama. Mungkin anda perlu menyedari bahawa ini adalah petanda rakan-rakan tidak menyukai anda meneruskan perhubungan dengan pasangan.

3.Anda selalu cuba untuk mempengaruhi orang-orang lain untuk bersama. Ini jelas menunjukkan anda memerlukan mereka untuk berkongsi masa bersama-sama. Petanda ini jelas menunjukkan bahawa anda tidak selesa untuk meluangkan masa bersama pasangan.

4.Menyambung semula dengan bekas kekasih. Ini merupakan satu petunjuk yang baik yang ada anda tidak mungkin perolehi daripada pasangan sekarang. Melainkan anda mempunyai beberapa hubungan aneh, kebanyakan bekas kekasih akan berhenti perhubungan pada peringkat emosional.

5.Hanya anda sahaja yang 'give and take' ketika di dalam perhubungan. Dalam setiap perhubungan memerlukan kedua-dua belah pihak perlu ada rasa tanggungjawab untuk kebaikan bersama. Jika anda mendapati anda tidak memperoleh apa-apa keuntungan dalam perhubungan itu adalah lebih baik perhubungan ini diputuskan.

6.Dalam sesuatu perhubungan, keserasian amatlah penting untuk memastikan perhubungan berjalan dengan lancar tambahan apabila anda mendapati pasangan anda tidak lagi mempunyai sifat lucu lagi malah ia lebih menyakitkan hati anda.

7.Kamu tidak lagi dapat 'melihat' sifat menarik dalam diri pasangan anda. Perkara ini memang nampak jelas kerana manusia apabila dilanda perasaan cinta akan sentiasa nampak keindahan pada insan yang mereka kasihi. Tetapi jika anda tidak mampu lagi melihat keindahan pada pasangan, ini menunjukkan perhubungan anda sedang dilanda masalah.

8.Anda cuba untuk menukar segalanya. Kebanyakan manusia akan cuba menerimanya pada peringkat awal, tetapi akan berkurangan keghairahan apabila perhubungan berada pada jangka masa panjang.

9.Anda mula membandingkan kekasih anda dengan insan lain. Jika anda selalu mengukur pasangan anda dengan insan lain, ini merupakan petanda anda perlu menghentikan perhubungan ini. Setiap orang mempunyai tarikan dan keistimewaan tersendiri.

10.Anda tidak lagi mahu menghabiskan masa bersama-sama pasangan anda dan tidak lagi berminat untuk untuk bersembang atau bersemuka dengan pasangan ketika di luar kamar. Setiap masa anda rasakan seperti berada di dalam penjara.




SHAH ALAM – Seorang ibu warga Myanmar dipercayai terbabit dalam kejadian menikam seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan di rumah panjang Batu 4, Kampung Jawa, di sini, kelmarin, direman sehingga 7 Februari.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, suspek berusia 23 tahun itu direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Suspek masih berada di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, untuk rawatan lanjut kerana keadaannya masih lemah.

“Kita tunggu waktu sesuai untuk ambil keterangannya,” katanya selepas Kempen Safe Reunion sempena Tahun Baru Cina bersama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Bahagian Selangor di Sunway Pyramid, semalam.

Beliau berkata, pihak hospital sedang menjalankan pemeriksaan ke atas suspek terbabit, termasuk sama ada dia ada masalah mental.

“Polis masih menunggu laporan bedah siasat mayat bayi perempuan yang mati ditikam. Kita masih belum tahu punca kecederaan mangsa,” katanya.

Ketika diminta mengulas berhubung dakwaan penahanan suami suspek oleh polis semalam, Tun Hisan berkata, suami suspek itu pernah dipenjarakan atas kesalahan memiliki senjata dan meninggalkannya sejak beberapa bulan lalu.

“Kita tidak tahan sesiapa buat masa ini dan siasatan sedang dijalankan sementara menunggu keputusan bedah siasat keluar,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian kelmarin, seorang bayi perempuan ditemui terbaring atas plastik di bilik air sebuah rumah di Batu 4, Kampung Jawa, di sini, kira-kira jam 9 pagi.

Tambah mengejutkan, apabila terdapat lebih lima kesan tikaman di badan bayi terbabit.

Suspek, dipercayai ibu bayi berkenaan, ditahan polis kira-kira tiga jam kemudian.

Mayat mangsa (bayi) dihantar ke HTAR untuk dibedah siasat.

Difahamkan suspek memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang pelarian (UNCHR), mempunyai anak perempuan berusia tiga tahun, manakala suaminya pernah dihukum penjara kerana memiliki senjata.


Oleh MOHD SHUKRI HANAPI

BUDAYA menurut Kamus Dewan bermaksud tamadun, peradaban dan keseluruhan cara hidup yang merangkumi cara berfikir, berkelakuan dan cara bertindak serta segala hasil kegiatan atau amalan kerohanian sesuatu masyarakat.

Islam menggalakkan umatnya berbudaya kerana akal menjadikan manusia makhluk bertamadun dan berperadaban. Dalam hal ini, Islam menggariskan prinsip kebudayaannya tersendiri seperti terkandung dalam al-Quran dan hadis. Dengan itu, akan lahirlah budaya hidup Muslim hakiki berteraskan iman dan takwa.

Hal ini sama sekali berbeza dengan kebudayaan bukan Islam yang prinsipnya dibentuk, dibina dan dikembang oleh pemikiran manusia berdasarkan hawa nafsu dan pengalaman hidup mereka semata-mata.

Sebenarnya golongan yang tidak senang dengan Islam cuba merosakkan budaya dan peradaban umat Islam dengan pelbagai cara. Mereka berusaha melalaikan umat Islam dengan pelbagai bentuk budaya dan peradaban bercanggah dengan syarak.

Apabila umat Islam lalai dan leka, mereka akan meminggirkan ajaran agama Islam. Terpinggirnya ajaran dan amalan keagamaan dalam diri umat Islam akan menjadikan mereka umat yang lemah dan mudah dipengaruhi unsur negatif.

Snouk Hurgronje, seorang orientalis dan penasihat Belanda di Indonesia pernah menjelaskan bahawa semakin kuat rakyat sesebuah negara yang dijajah itu menganut budaya dan peradaban Barat, maka semakin bebas mereka daripada ajaran Islam.

Pada masa kini, umat Islam terpaksa menghadapi pelbagai bentuk ancaman budaya. Antara ancaman itu khususnya yang perlu dihadapi ketika menjelang Februari setiap tahun ialah penularan budaya sambutan Hari Kekasih atau lebih dikenali sebagai 'Valentine's Day'.

Menurut Ken Swiger dalam artikelnya 'Should Biblical Christians Observe It?' menjelaskan, perkataan Valentine berasal daripada bahasa Latin bermaksud 'yang perkasa, kuat dan kuasa'.

Ini ditujukan khas kepada Nimroe dan Lupercus, tuhan masyarakat Rom. Dalam hal ini, sedar atau tidak seseorang yang menyambut Hari 'Valentine' adalah sama seperti menghidupkan kembali budaya pendewaan dan pemujaan patung-patung sembahan masyarakat Rom itu.

Meskipun begitu, sesetengah orang beranggapan sambutan ini kononnya adalah semata-mata untuk mengeratkan hubungan kasih sayang sesama manusia, lalu sebilangan masyarakat Melayu pun tidak terkecuali daripada menyambut Hari Kekasih yang jatuh pada 14 Februari setiap tahun.

Tidak cukup dengan itu, kadangkala sesetengah pasangan yang ingin bertunang dan berkahwin sengaja memilih 14 Februari sebagai tarikh untuk melangsungkan pertunangan dan perkahwinan mereka.

Dengan ini mereka beranggapan kononnya pertunangan dan perkahwinan yang diadakan itu akan dilimpahi dengan rahmat dan keberkatan.
Sebenarnya budaya menyambut Hari Kekasih ini dilihat semakin mendapat tempat dan popular dalam masyarakat Melayu terutama golongan remaja dan muda-mudi yang sedang hangat bercinta.

Bagi mereka tarikh 14 Februari sentiasa diingati dan ditunggu-tunggu. Namun, amat mendukacitakan apabila ingatan mereka terhadap tarikh Hari Kekasih ini mengatasi ingatan mereka terhadap tarikh-tarikh hari kebesaran dalam Islam seperti tarikh kelahiran Rasulullah SAW dan tarikh berlakunya peristiwa hijrah.

Apabila ditanya mengenai tarikh kelahiran Rasulullah SAW, maka mereka akan tercengang dan terpinga-pinga.

Bukan sekadar itu saja, malah ada sebilangan media massa sama ada media elektronik atau bercetak, tidak terlepas daripada membuat promosi secara besar-besaran melalui iklan dan tayangan filem yang ada kaitan dengan Hari Kekasih. Hal ini seolah-olah mendorong dan menggalakkan lagi sambutan itu.

Sebagai umat Islam, kita sepatutnya mengetahui bahawa beramal dan mengikut budaya yang bertentangan dengan ajaran Islam itu boleh menjejaskan akhlak, akidah dan keimanan kita. Dalam hal ini, kita seharusnya sentiasa bersikap waspada dengan sambutan kumpulan agama yang asalnya mempunyai kaitan dengan ibadat atau amalan keagamaan, kemudian ditukar menjadi amalan budaya dan adat.

Amalan ini kemudiannya disambut oleh pelbagai bangsa, termasuk sebilangan umat Islam atas nama budaya dan adat.

Menurut sejarah, ada beberapa kisah berkaitan asal usul sambutan Hari 'Valentine' ini.

l Sebelum abad ke-17 masihi, masyarakat Rom meraikan Hari 'Valentine' pada 14 Februari setiap tahun sebagai hari mencintai tuhan atau patung pujaan mereka. Dalam sambutan itu, mereka mengorbankan anjing dan kambing betina, kemudian darahnya dilumur pada tubuh dua orang pemuda. Tubuh yang berlumuran darah itu dibasuh pula dengan susu sebelum diarak ke tengah-tengah Kota Rom.

Ketika perarakan berlangsung, pemuda itu memegang kulit anjing dan kambing betina yang masih berdarah dan memalit darah berkenaan kepada sesiapa saja yang mereka jumpa. Gadis-gadis Rom amat gembira jika mereka dipalit darah oleh pemuda terbabit, kerana mereka percaya darah itu dapat menghalang mereka daripada menjadi mandul.

l 'Valentine' adalah paderi paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol. Kedudukannya dikatakan di tempat kedua selepas Paderi besar Pope. Ada beberapa kisah mengaitkan paderi Valentine ini dengan sambutan Hari 'Valentine'. Antaranya ialah paderi itu orang penting ditugaskan menjatuhkan Kerajaan Islam Cordova, Sepanyol.

Jasanya adalah sesuatu yang tidak boleh dilupakan dan sangat bermakna. Sehubungan itu, tarikh 14 Februari diputuskan sebagai cuti umum untuk merayakan kemenangan pada setiap tahun. Hal ini juga sebagai cara untuk mengenang semua jasa paderi Valentine itu dalam usahanya untuk menjatuhkan Islam .

Kesimpulannya, sebagai umat Islam kita wajib menghindari daripada mengamalkan budaya menyambut Hari Valentine. Ini kerana ia jelas bertentangan dengan syariat Islam selain dikhuatiri boleh menjejaskan akidah dan keimanan kita. Ingatlah, kesucian Islam akan dapat dipertahankan selagi umat Islam berpegang kuat dengan akidah Islam.