PERMATANG PASIR – Impian anak jati Kampung Permatang Pasir, Datuk Khalid Mohamad Jiwa dan isterinya, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin untuk membina masjid bagi kemudahan penduduk setempat akhirnya terlaksana setelah dirasmikan semalam oleh Sultan Kedah Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Masjid Al-Khalidiah di Kampung Permatang Pasir, Mukim Rantau Panjang Kuala Muda itu menelan belanja hampir RM2 juta dimulakan pembinaannya pada 1 Disember 2009 dan siap sepenuhnya pada 2 Ogos tahun lalu.
Siti Nurhaliza berkata, itu adalah impiannya dan suami sejak awal untuk membantu penduduk dengan menyediakan tempat menunaikan ibadat.
“Kami menubuhkan Yayasan Nurjiwa dan bertanggungjawab membantu golongan memerlukan terutama anak yatim, golongan miskin dan mangsa bencana alam, di samping turut membantu dalam pembangunan agama khususnya pembinaan, baik pulih masjid dan surau terutama kawasan kampung,” katanya, semalam.
Menurutnya, semalam adalah hari bermakna dan gembira kerana impian itu dapat direalisasikan dengan sempurna.
“Saya berharap dengan terbinanya masjid ini dapat memberi kemudahan kepada penduduk Permatang Pasir dan orang ramai menunaikan ibadat wajib dituntut agama.
“Al-Khalidiah dipilih setelah mendapat pandangan alim ulama di Makkah dan setelah berbincang dengan penduduk baru kita memutuskan untuk menggunakan nama ini,” katanya.
Battery Reconditioning
6 years ago