Ibu maut ditikam anak sakit mental


Di atas katil inilah Jemelah Muhamad (gambar kecil) mati selepas ditikam oleh anaknya di Felda Kepis, Negeri Sembilan, semalam.


KUALA PILAH 20 Feb. – Kehidupan seorang ibu berakhir di tangan anak kandungnya sendiri apabila dia mati akibat ditikam di rumah mereka di Felda Kepis, kira-kira 25 kilometer dari sini kelmarin.

Jemelah Muhamad, 53, hanya sempat menjerit apabila dia dikatakan ditikam di bahagian dada dengan menggunakan sebilah pisau oleh anak lelakinya yang berusia 28 tahun, kira-kira pukul 8 malam.

Ketika itu, mangsa berada di atas katil di dalam bilik, manakala suaminya, Sohaimi Maidin, 53, berada di pekarangan luar rumah mereka.

Terkejut dengan jeritan isterinya itu, Sohaimi bergegas masuk ke dalam rumah dan menemui isterinya dalam keadaan berlumuran darah.

“Saya lihat anak lelaki saya berada di dalam bilik itu.

Tanpa berfikir panjang, saya terpaksa memukul anak saya dan menariknya keluar sebelum menyelamatkan isteri,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di sini hari ini.

Beliau kemudian segera membawa isterinya keluar dan meminta pertolongan jiran untuk membawa Jemelah ke hospital.

Menurut Sohaimi, anak lelakinya itu tidak melawan selepas ditarik keluar dan hanya duduk diam seperti orang terkejut melihat apa yang telah berlaku.

Isterinya ketika itu masih bernyawa meskipun dalam keadaan cedera parah.

Jemelah kemudian dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sini sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban.

“Bagaimanapun, isteri saya disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 1 petang semalam (Sabtu),” katanya.

Sohaimi memberitahu, anaknya yang menghidap masalah mental itu mempunyai surat pengesahan dari hospital tentang penyakitnya itu.

Menurutnya, beliau percaya anak lelakinya tidak mengambil ubat sejak beberapa hari lalu sehingga menyebabkan dia bertindak sedemikian.

Tidak dapat menyembunyikan rasa sedih dengan kejadian ini, Sohaimi berkata, keadaan anaknya itu baik sekiranya mengambil ubat mengikut jadual.

Namun, beliau tidak menyangka kesan akibat tidak mengambil ubat itu menyebabkan dia bertindak di luar batasan.

“Anak saya tidak bekerja, kalau bekerja pun tidak lama. Jadi hanya kami tiga beranak tinggal di rumah ini, anak-anak yang lain tinggal di rumah mereka sendiri.

“Sebelum kejadian, hanya saya dan isteri berdua di dalam rumah. Saya memang berat hati apabila seorang kawan mengajak minum di warung, jadi kami berbual di luar rumah sebelum saya terdengar jeritan Jemelah,” jelasnya.

Sementara itu di HTJ, suasana sedih menyelubungi keluarga mangsa di bilik mayat apabila beberapa ahli keluarga mangsa menunggu menuntut jenazah Allahyarham Jemelah untuk dibawa pulang.

Jenazah mangsa dituntut sebelum dibawa ke Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental HTJ untuk memberi peluang kepada suspek melihat mayat ibunya buat kali terakhir sebelum dibawa pulang ke rumahnya di Felda Kepis.

Sohaimi memberitahu, jenazah isterinya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Kepis selepas solat Zohor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis daerah, Supritendan Jaafar Baba ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan, siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dilakukan.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.