PUTRAJAYA 23 Feb. - Lebih 18 juta saman tertunggak dicatatkan oleh tiga agensi penguat kuasa kesalahan lalu lintas iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam tempoh 2000 hingga 2009. Daripada sejumlah saman itu, 15.6 juta daripadanya merupakan saman polis, 1.8 juta saman DBKL dan kira-kira 606,800 lagi saman JPJ. Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, semua pesalah trafik yang menerima saman daripada JPJ dan polis mesti menyelesaikan saman mereka selewat-lewatnya 28 Februari ini atau nama mereka disenaraihitamkan. Statistik menunjukkan hanya 113,447 saman polis dan 1,227 saman JPJ dijelaskan dalam tempoh 11 Februari hingga 17 Februari, walaupun pemandu terbabit berdepan risiko disenaraihitam. Statistik turut menunjukkan bahawa hanya 35 saman DBKL dijelaskan dalam tempoh sama sekali gus menunjukkan sikap orang ramai yang selalu mengabaikan saman pihak berkuasa tempatan (PBT). "Kerajaan tidak akan menangguhkan tempoh pembayaran saman, orang ramai dinasihatkan membuat pembayaran secepat mungkin dan jangan menunggu sehingga hari terakhir. "Mereka boleh membayar secara dalam talian, di kaunter agensi atau melalui 688 buah pejabat pos seluruh negara," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Dalam pada itu, Solah berkata, JPJ, polis dan DBKL telah bersetuju dan bersedia melaksanakan kadar kompaun baru mulai 1 Mac seperti yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini. "Kadar kompaun lama bagaimanapun masih terpakai untuk saman-saman yang dikeluarkan sebelum 1 Mac. "Untuk saman PBT, buat masa ini hanya DBKL yang terlibat dengan kadar kompaun baru tetapi ia akan diperluaskan ke lebih banyak tempat selepas ini," katanya. Dalam pada itu, Solah berkata, pesalah trafik yang menerima saman daripada PBT termasuk DBKL buat masa ini tidak akan disenaraihitamkan walaupun pindaan Akta Pengangkutan Jalan membenarkan tindakan tegas itu diambil. "Hanya penerima saman polis dan JPJ yang akan disenaraihitamkan pada peringkat ini. "Kita bagaimanapun dalam proses untuk pastikan saman lain (termasuk daripada DBKL) akan disenaraihitamkan pada masa depan apabila mekanisme dan sistem komputer yang lengkap disediakan," katanya.Oleh THOMAS CHONG
Facebook Badge
Welcome
1. Kuala Terengganu
2. Marang
3. Hulu Terengganu
4. Dungun
5. Kemaman
6. Besut
7. Setiu
Tempat Menarik Di Terengganu
> Redang Island / Pulau Redang
> Perhentian Island / Pulau Perhentian
> Rhu Hentian Island / Pulau Rhu Perhentian
> Lang Tengah Island / Pulau Lang Tengah
> Bidong Island / Pulau Bidong "Lembah Bidong"
> Kapas Island / Pulau Kapas at Marang
> Gemia Island / Pulau Gemia
> Tenggol Island / Pulau Tenggol at Dungun
> Batu Buruk Beach / Pantai Batu Buruk
> Batu Rakit Beach / Pantai Batu Rakit "Teluk Ketapang"
> Merang Beach / Pantai Merang
> Penarik Beach / Pantai Penarik
> Bukit Kluang Beach / Pantai Bukit Kluang
> Kelulut Beach / Pantai Kelulut at Marang
> Rantau Abang Beach (turtle center) / Pantai Rantau Abang
pusat penetasan penyu
> Dungun Beach / Pantai Dungun di Sura Jetty
> Kemasek Beach / Pantai Kemasek
Blog Archive
-
▼
2011
(51)
-
▼
February
(18)
- Bayar sekarang!
- Peragut terima padah
- Jozan Saingan Kuat 'Maharaja Lawak'
- Bapa Mertua Masih Tak Restu Perkahwinan Raisuddin ...
- Kes Bunuh Sosilawati Disebut 24 Mac Depan
- Nikon DSLR teman setia
- Asmara dalam ‘kereta sakit’
- Mahligai pendatangOleh Asmah Rusmanasmah@hmetro.co...
- Iwan Raja Dangdut terima menantu
- Isteri baran tetak suami
- Zizan (Raja Lawak) Bangga Jadi Hos Melodi
- Christchurch Seperti Zon Perang: Pelajar Malaysia
- Impian Datuk Siti tercapai
- Niat murni anak bawa padah
- Manusia ciptaan terbaik
- Azizulhasni juara Piala Dunia
- Ibu maut ditikam anak sakit mental
- Pembunuhan Banting: Dua Pekerja Ladang Dipenjara 2...
-
▼
February
(18)
Bacaan harian
-
-
HTC One mini Review: Hands-On8 years ago
-
-
-
-
-
-
-
-
-
tinggal jejak anda
Dengar radio disini
KUALA TERENGGANU - Ditendang oleh seorang gadis dan akhirnya ditangkap polis; itulah balasan diterima seorang lelaki yang cuba meragut beg tangan pelajar remaja dalam kejadian di Kampung Paya Lasir, Kijal, Kemaman, petang kelmarin.
Bagaimanapun, akibat tindakan beraninya itu, mangsa berusia 18 tahun itu cedera dan melecur di betis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Darat Kijal, dengan menaiki motosikal.
Apabila sampai di Kampung Paya Lasir kira-kira jam 5.50 petang, tiba-tiba sebuah motosikal yang dinaiki seorang lelaki menghimpit motosikal mangsa.
“Lelaki tersebut meragut beg tangan mangsa yang diletakkan di dalam bakul. Mangsa bertindak melawan dan berlaku tarik menarik antara mereka.
“Berang dengan lelaki itu, mangsa menendang motosikal lelaki tersebut, menyebabkan kedua-dua mereka terjatuh. Lelaki itu bingkas bangun dan cuba capai beg tangan mangsa,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Mangsa, yang tidak mahu menyerah kalah, bangun dan menarik beg tangannya dan pada masa yang sama, merentap beg pinggang lelaki berkenaan bagi mengelakkannya melarikan diri.
Adegan itu dilihat orang ramai yang kemudiannya datang membantu mangsa dan menangkap lelaki berkenaan.
“Mangsa melecur di betis kanan, bengkak di pergelangan kaki dan tumit dan mendapatkan rawatan di Hospital Kemaman.
“Suspek, yang berusia 25 tahun dan berasal dari Kijal itu, ditahan reman selama empat hari sehingga 26 Februari.
PETALING JAYA: Pelawak Johan dan Zizan antara peserta yang bergabung tenaga bagi memberi saingan kepada peserta-peserta lain dalam sebuah program realiti pencarian pelawak terunggul daripada yang terhebat melalui program Maharaja Lawak bermula 1 April ini. Program yang bakal diacarakan oleh bekas pengacara Akademi Fantasia, AC Mizal itu turut menampilkan beberapa pelawak popular yang lahir dari program Raja Lawak dari musim pertama hingga kelima. Menurut Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani program realiti yang merupakan kesinambungan dari program Raja Lawak ini adalah bagi mengubati kerinduan peminat yang telah mengikuti program tersebut sejak musim pertama. "Program ini menggunakan format yang sama seperti program Raja Lawak dan menampilkan hampir semua juara dan finalis dari musim pertama hingga kelima untuk berentap merebut gelaran Maharaja Lawak. "Namun perbezaannya, para peserta bukan sekadar ditentukan sepenuhnya berdasarkan undian penonton melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) tetapi akan diadili dengan pemarkahan daripada pihak juri sebenyak 50 peratus," katanya pada majlis pelancaranMaharaja Lawak, di sini, Selasa. Tambah Nizam, kelongaran diberikan kepada peserta sama ada menyertai secara individu atau berkumpulan. "Kali ini kita lebih terbuka dan membenarkan mereka untuk tampil secara individu atau berkumpulan asalkan memenuhi kriteria khas iaitu iaitu finalis Raja Lawak. "Selain itu mereka juga diberi kebebasan untuk bergerak dan tidak ditempatkan di mana- mana lokasi khas selain diberi masa selama seminggu lebih awal untuk membuat persediaan sendiri," katanya. Antara peserta lain yang bakal berentap ialah Nabil, Jihan, Amir, Alex, kumpulan Sepah, Kecik & Idlan, XN3, Yus& Tauke. Manakala tiga peserta yang bakal menjuarai progam Raja Lawak 5 yang sedangberlangsung. Sementara itu, Johan dan Zizan yang mengelarkan kumpulan mereka sebagai Jozan menganggap pertandingan ini sebagai memperkuatkan lagi jenama Jozan. "Kami masuk bukan untuk menang semata-mata tetapi juga sebagai memperkuatkan branding Jozan. "Kami mengambil keputusan untuk berganding bersama kerana keserasian yang kuat jika berdua berbanding seorang," kata Johan. Manakala Zizan turut tidak menafikan kekuatan peserta-peserta lain dalam program tersebut. "Masing-masing ada kelebihan sendiri, sukar untuk meramalkan persaingan yang akan terjadi. Apa yang boleh saya katakan, kami lebih malu jika menang tapi tidak kelakar," katanaya. Pemenang yang dipilih sebagai Maharaja Lawak akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM300,000. Manakala tempat kedua dan ketiga bakal memenangi wang tunai sebanyak RM200,000 dan RM100,000 setiap pemenang. Tiga juri tetap dipertanggungjawabkan menilai persembahan para peserta berdasarkan kelucuan dan elemen jenaka dalam sesebuah persembahan. Maharaja Lawak bakal keudara setiap Jumaat, pukul 10 malam, menerusi Astro Warna dalam Pakej Mustika.
SHAH ALAM: Walaupun peristiwa penyanyi popular tahun 80-an, Raisuddin Hamzah bernikah kali kedua di Selatan Thailand telah empat tahun berlalu, bapa wanita terbabit masih tidak merestui perkahwinan itu yang dibuat tanpa pengetahuannya. Suberi Abdullah, 51, berkata, Raisuddin yang dikenalinya sejak tahun 2002 apabila sering datang ke kedai makan yang diusahakannya juga tidak pernah memaklumkan hasrat untuk berkahwin dengan anaknya, Siti Fatimah. “Selain itu, mereka tidak sepadan dari segi umur dan ia melibatkan maruah keluarga saya,” katanya ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Rabu. Dia yang disoal oleh peguam syarie Nor Azmi Mohd Ariff yang mewakili Raisuddin, 55, dan Siti Fatimah, 25, seterusnya memberitahu bahawa dia hanya dimaklumkan mengenai perkahwinan itu beberapa bulan selepas ia berlaku. Tambah Suberi, 50, semasa itu anak sulungnya itu yang sedang menuntut di Universiti Selangor (Unisel) di Batang Berjuntai pulang ke rumah mereka yang terletak di Hulu Kelang, dekat sini. “Siti Fatimah beritahu saya bahawa Raisuddin mahu berjumpa dengan saya. Saya jumpa dia di sebuah kedai makan di Ukay Perdana, Ampang dan Raisuddin cakap dia dah kahwin dengan anak saya. Saya beristifar,” katanya. Suberi seterusnya memberitahu, Raisuddin tidak menunjukkan sebarang dokumen yang boleh membuktikan perkahwinan tersebut telah berlaku. Pada keterangan lain, Suberi mendakwa Raisuddin ada menyatakan hasrat untuk meminang Siti Fatimah untuk dikahwinkan dengan anak lelakinya. “Raisuddin kata pada saya, Pak Lang (panggilan saksi) kalau boleh saya nak pinang anak Pak Lang ini dengan anak saya. Waktu itu, saya kata anak saya masih lagi belajar,” katanya. Suberi juga mengakui bahawa Siti Fatimah ada berkawan dengan seorang anak doktor sejak pertengahan tahun 2006. Menjawab soalan peguam syarienya, Mohd Roshdan Sujak pula, Suberi memberitahu doktor tersebut ada berbincang mengenai hubungan anak mereka, tetapi tiada kata putus dicapai memandangkan Siti Fatimah masih belajar. “Selepas Siti Fatimah bernikah, saya dapat tahu bahawa dia telah berhenti dan tidak menamatkan pengajian,” tambah Suberi. Sementara itu, menjawab soalan Hakim Syarie, Zainor Rashid Hassin, saksi mengakui bahawa dia tidak mempunyai hubungan persaudaraan dengan Raisuddin mahupun bermusuh dengan bapa kepada penyanyi popular, Siti Sarah itu. Suberi sedang memberi keterangan pada permohonannya untuk membubarkan perkahwinan antara Siti Fatimah dan Suberi yang berlangsung di Songkhla, Thailand pada 2 Januari 2007 dengan berwalikan hakim mengikut Seksyen 62(2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003. Selaku plaintif, Suberi menamakan Siti Fatimah sebagai responden pertama dalam permohonannya diikuti oleh Raisuddin. Zainor Rashid menetapkan kes disambung semula pada 13 April depan untuk mendengar keterangan responden-responden.
BANTING: Kes seorang peguam, N. Pathamanabhan yang didakwa membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu yang hilang bersamanya akan disebut di Mahkamah Tinggi Shah Alam, dekat sini pada 24 Mac depan. Majistret Telok Datok, di sini, Hurman Hussain menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes tersebut.Pada prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof turut mengemukakan izin pendakwaan kepada mahkamah. Turut hadir bagi pihak pendakwaan ialah Timbalan- Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani dan Saiful Edris Zainudin. Pathmanabhan, 42, didakwa bersama tiga pekerja ladang, T. Thilaiyagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Khatavarayan, 31. Semua mereka didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank CIMB Kampung Baru Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamal Abdul Karim, 32, dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44. Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada antara pukul 8.30 dan 9.30 malam, 30 Ogos 2010 di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, di sini.
Dunia fotografi ibarat dunia tanpa koma, mengalir deras seiring berkembangnya zaman dan teknologi kamera yang bermula dari kamera kompak sehinggalah Kamera Digital Lensa Refleks Tunggal (DSLR). Kecanggihan teknologi inilah membuatkan orang semakin tertarik dengan dunia fotografi.
Bagi pencinta fotografi, tidak ada sedetik pun yang terlepas begitu sahaja daripada 'senjata' kamera mereka untuk dirakamkan kerana semua detik itu adalah penting. Apa pun peristiwa di depan mata, pasti akan sentiasa diabadikan untuk koleksi peribadi dengan teknik tertentu bagi mendapatkan gambar yang mempunyai seni bernilai.
Begitulah juga bagi anak kelahiran Parit Buntar, Perak, Mohamad Norazlin Abu Jamal, 25, yang bermula dengan hanya menggunakan kamera di telefon bimbit ketika mula berjinak-jinak dalam dunia fotografi, sebelum beralih kepada kamera Prosumer kerana tidak mampu membeli peralatan dan kamera DSLR yang mahal semasa belajar di Politeknik Seberang Perai dalam Jurusan Teknologi Maklumat.
Apabila menamatkan pembelajaran, dia terus mengembangkan hobi dan minatnya itu dengan serius, antaranya membeli kamera DSLR Nikon yang sehingga kini menjadi teman setia di sisi setiap kali hujung minggu atau ketika tidak bekerja.
Masa hujung minggunya dipenuhi dengan aktiviti yang melibatkan kamera seperti mengambil gambar untuk majlis perkahwinan, keluar TT (istilah mengambil gambar) bersama komuniti fotografi, atau dihabiskan di dalam bilik untuk mengedit gambar yang telah diambil untuk koleksi peribadi.
"Saya banyak belajar teknik fotografi ini daripada internet kerana banyak maklumat yang boleh dipelajari secara meluas daripada pengalaman fotografi luar negara dan juga tanya senior-senior yang sudah lama dalam bidang fotografi ketika keluar TT.
"Selain itu, saya juga selalu layari Youtube untuk melihat cara-cara belajar mengambil gambar, dalam Youtube banyak sikit maklumat sebab boleh tengok dengan lebih jelas lagi, " kata Mohamad Norazlin atau lebih dikenali dengan panggilan Nelza, juga merupakan seorang juruteknik komputer sekolah.
Gemar lihat yang cantik
Nelza yang dibesarkan di Teluk Intan ini berkata, minatnya bermula apabila dia suka melihat gambar-gambar cantik di internet, diambil oleh fotografer profesional dari luar negara, membuatkan dia berhasrat untuk turut ingin menghasilkan gambar yang sama seperti mereka.
Katanya, kalau dahulu untuk mengisi masa lapang, kini dengan kamera dia juga boleh menambah pendapatan apabila ada rakan-rakan atau teman dan keluarga kepada rakan-rakan yang memintanya untuk mengambil gambar perkahwinan atau pertunangan.
Walaupun baru menceburi bidang fotografi selama enam tahun, Nelza telah mempelajari banyak teknik fotografi daripada kursus yang diikuti, antaranya fotografi jalanan, majlis perkahwinan, modeling, sukan, potret, close up dan landskap, sehingga membawa dia menjelajahi banyak tempat di seluruh negeri, termasuk Sabah.
"Sekarang saya tengah mempelajari teknik fotografi High Dinamic Range (HDR) dengan lebih mendalam, ini merupakan teknik yang sangat menarik untuk dipelajari kerana dapat menghasilkan gambar yang cantik selepas melalui proses penyatuan gambar dengan menggunakan perisian Photomix dan Photoshop.
"Bagi jurugambar setiap gambar mempunyai ceritanya yang tersendiri, dan mata jurugambar ini dapat melihat sudut-sudut yang cantik untuk diabadikan dengan kamera mereka," katanya yang menjadikan Ben Wilmore sebagai idola, ketika ditemui Sinar Harian, baru-baru ini.
Nelza juga berhasrat untuk terus maju ke hadapan dengan mengikuti banyak kursus dan pertandingan fotografi agar setanding dengan nama-nama besar dalam bidang fotografi.
SEREMBAN: Memalukan apabila segelintir remaja dikesan menjadikan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) berhampiran Taman Bukit Margosa, Paroi, dekat sini, sebagai ‘port kereta sakit’ dipercayai untuk memadu asmara pada waktu tengah malam dan awal pagi sejak awal bulan lalu. Kebanyakan mereka melakukan aktiviti itu di dalam kereta sama ada dengan meletakkan kenderaan di tepi lebuh raya atau bergerak perlahan antara kawasan taman berkenaan ke Taman Tasik Jaya, Senawang, di sini, kira-kira dua kilometer. Timbalan Pengerusi SRS taman itu, Azizul Rahman Mohd Yusof, 40, berkata dalam operasi baru-baru ini, pihaknya menemui dua pasangan remaja memadu kasih dalam dua kereta berasingan di tepi lebuh raya dan sebuah lagi bergerak perlahan di laluan kecemasan. “Bagaimanapun, mereka didapati tidak memikirkan kesan tindakan itu kerana boleh mengundang bahaya seperti dilanggar kenderaan lain kerana banyak kes membabitkan kemalangan di lebuh raya termasuk mereka yang meletakkan kenderaan di laluan kecemasan,” katanya. “Kami akan terus memantau kegiatan tidak bermoral itu supaya mereka tidak menjadikan kawasan ini sebagai ‘port’ untuk melakukan maksiat kerana sebelum ini pernah berlaku kes pasangan remaja hampir melanggar anggota SRS ketika dikejar,” katanya.Oleh Mohd Amin Jalil
Perbuatan mereka dikesan anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) Taman Bukit Margosa yang melakukan operasi rondaan keselamatan setiap malam di kawasan taman terbabit dan menemui tiga hingga empat pasangan remaja memadu kasih dalam kenderaan.
Menurutnya, kejadian disedari berlaku kira-kira jam 3 pagi apabila empat anggota SRS yang menaiki dua motosikal mengekori kenderaan terbabit, namun mereka memecut kenderaan ke Jalan Seremban-Kuala Pilah sebaik menyedari diperhatikan.
“Kami percaya mereka memilih laluan berkenaan untuk melakukan aktiviti maksiat kerana menganggap kawasan terbabit agak sunyi pada waktu tengah malam dan awal pagi kerana kenderaan kurang melalui lebuh raya itu pada waktu itu.
Katanya, pihaknya tidak boleh menahan mereka kerana ia di luar bidang kuasa mereka, tetapi memantau bagi memastikan imej kawasan taman tidak terjejas selain kegiatan itu perlu dibanteras.
Azizul Rahman berkata, pihaknya berharap ibu bapa melaksanakan peranan mereka terutama dalam memantau pergerakan anak remaja perempuan masing-masing sebelum berlaku sesuatu kejadian tidak diingini.
“Ibu bapa perlu membuat pemantauan terhadap pergerakan anak remaja mereka bagi mengelak nasib dan masa depan anak mereka terjejas disebabkan perbuatan sia-sia,” katanya.
Penduduk lain, Abd Aziz Abd Hamid, 49, berkata pihaknya meminta kerjasama Bahagian Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) untuk memantau kawasan berkenaan bagi memastikan aktiviti tidak sihat itu berterusan.
“Pemantauan pihak berkuasa agama mampu mencegah kegiatan yang bukan saja bertentangan ajaran Islam,” katanya.
AMPANG: Sekurang-kurangnya empat rumah kedai dikenal pasti diubah suai menjadi tempat kediaman warga asing secara haram bagi mengaut keuntungan atas angin berikutan kadar sewa yang dikenakan pemiliknya mencecah RM2,000 setiap lot. Pemilik kedai, Azhari Yaacob, 34, berkata dia hairan bagaimana pemilik rumah kedai di Taman Putra, di sini, sewenang-wenangnya mengubah suai premis mereka kepada rumah sewa sedangkan ia disediakan bagi tujuan komersial. “Saya hairan kerana lesen yang diberikan bagi menjalankan perniagaan atau pemilik boleh menjadikan tingkat atas sebagai pejabat operasi mereka saja. “Kebanyakan penghuni warga asing yang menyewa di situ terdiri daripada warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan Nepal. Menurut Azhari, tambah membimbangkan apabila kehadiran warga asing itu menyebabkan berlakunya peningkatan kadar jenayah di kawasan berkenaan.
HILANG...Azhari menunjukkan alat penghawa dingin pejabatnya yang dicuri.
BERTABURAN...Azahari menunjukkan coli dan seluar dalam wanita yang ditemui di bumbung rumah kedai.
Katanya, tindakan itu bukan saja menimbulkan kekeliruan, malah menyebabkan pelbagai masalah sosial berlaku termasuk peningkatan kes jenayah ragut dan pecah rumah.
“Pemilik lot terbabit berani bertindak demikian kerana tiada pemantauan pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Katanya, setiap lot rumah terbabit diubah suai dengan menggunakan papan penghadang yang memuatkan 10 bilik kecil manakala kadar sewanya kira-kira RM200 sebilik.
“Bermula dengan satu lot kini jumlahnya semakin bertambah, sekali gus menjadikan kawasan itu sebagai penempatan ‘rasmi’ mereka,” katanya yang memberitahu kadar sewa asal RM1,000 hingga RM1,200.
“Sudah empat kali pejabat saya dipecah masuk. Baru-baru ini, berlaku lagi, malah pelbagai peralatan dicuri seperti tiga set komputer dan satu laptop termasuk wang RM100,” katanya.
Selain itu, katanya, kehadiran mereka juga menyebabkan perniagaan warga tempatan terjejas teruk apabila mereka semakin monopoli aktiviti perniagaan termasuk di pusat beli-belah berhampiran.
Lebih menjijikkan, mereka turut menjadikan bahagian bumbung rumah kedai itu sebagai tempat melepaskan nafsu kerana atap rumah terbabit lapang tanpa halangan.
Tinjauan Metroplus di kawasan itu menemui pakaian dalam wanita bertaburan di bumbung rumah kedai dan disyaki dijadikan sebagai jalan pintas untuk memadu asmara.
KOMPOSER, penerbit dan penyanyi yang cukup popular dengan lagu-lagu dangdut, Wan Syahman Wan Yunus, 48, (Iwan), bersyukur apabila anak kedua hasil perkahwinannya dengan aktres popular era 1980-an, Rosnah Mohd. Noor, selamat diijabkabulkan Sabtu lepas. Majlis persandingan Wan Syamira Putri Octavia dengan jejaka pilihannya, Mohd. Izat Abdul Rahman pula diadakan di rumah Rosnah di Taman Putra Perdana, Puchong. Iwan yang pernah berkahwin dengan Rosnah selama lapan tahun, dikurniakan tiga cahaya mata. Yang sulung, Wan Ramadha, 22, kini masih menuntut di salah sebuah universiti di Australia, Wan Syamira Putri Octavia, 20, dan yang bongsu, Wan Shahira, 18. Selepas bercerai dengan Rosnah, Iwan berkahwin buat kali kedua dengan Wan Rafidah Abu Bakar tetapi tidak dikurniakan cahaya mata. Iwan dan Rafidah sebaliknya mempunyai seorang anak angkat bernama Nursyafiqah Emisya yang kini berusia sembilan tahun. Majlis persandingan Wan Syamira yang diadakan dalam suasana yang cukup meriah, turut dihadiri artis-artis senior seangkatan Iwan seperti Rohana Jalil, Nassier Wahab dan Siti Fairuz. Iwan yang pernah diberi gelaran Raja Dangdut kerana di tangannya, lahir ratu dangdut, Amelina pada pertengahan tahun 1990, kelihatan begitu sibuk melayan tetamu yang hadir pada majlis persandingan anaknya. Namun dalam kesibukan itu, dari raut wajahnya, Iwan nampak lega dan lapang kerana tanggung jawabnya sebagai seorang ayah kepada Wan Syamira bukan sahaja telah tertunai tetapi juga dapat diserahkan kepada menantunya. “Tiada kata-kata yang dapat saya ucapkan selain daripada bersyukur ke hadrat Tuhan kerana puteri sulung saya ini telah selamat diijabkabulkan. “Biarpun usia anak dan menantu saya sebaya dan masih muda namun itu bukan bermakna mereka tidak boleh melayari bahtera rumah tangga. “Apabila saya mewalikan pernikahan anak saya semalam, dalam dada ini saya mendoakan agar dia bahagia dan selamat menjalani alam perkahwinan," katanya. Pelantun lagu Yang Sedang-Sedang Saja memberitahu, majlis akad nikah anaknya diadakan di Masjid Al-Hidayah, Sentul, Kuala Lumpur selepas Zuhur. Setengah jam sebelum dinikahkan, Wan Syamira ditunangkan dengan Mohd. Izat dalam satu majlis yang cukup ringkas. Selain wang hantaran berjumlah RM20,211, pasangan itu turut bertukar-tukar hantaran. Pihak perempuan menyerahkan 13 dulang, dibalas 11 daripada Mohd. Izat. Kata Iwan, ada sebab mengapa dia membenarkan anaknya berkahwin pada usia muda. “Pada saya, daripada berkawan dan bebas keluar ke mana-mana tanpa ikatan yang sah, lebih baik mereka dinikahkan. Dari situ, masing-masing akan tahu tanggung jawab yang perlu ditunaikan. “Apabila dia sudah bersuami, biarlah suaminya yang menjaganya dan tanggungjawab saya sebagai ayah, sudah selesai,” kata Iwan.Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
Gambar NOORADZRENE MOHD NOOR
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
PARAH...Ahmad menunjukkan kesan jahitan akibat ditetak isterinya.
IPOH: Sikap cemburu buta dan panas baran melampau seorang isteri menyebabkan dia hilang pertimbangan sehingga sanggup menetak suaminya dengan pisau menyebabkan lelaki itu terpaksa menerima 15 jahitan di tangan kiri selepas berlaku perselisihan faham di rumah mereka di sini, Jumaat lalu.
Lebih malang, tetakan menggunakan pisau pemotong sayur itu menyebabkan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 31, dari Kuala Kangsar, putus urat lengan kiri menyebabkan tiga jarinya tidak dapat digerakkan.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam di Taman Pinji Ria, Pengkalan di sini, mangsa bersama isterinya yang juga seorang jururawat sedang menonton televisyen di ruang tamu sebelum isterinya tiba-tiba mengamuk dan menyerangnya dengan pisau.
Ahmad yang juga seorang juruteknik berkata, sebelum itu, isterinya menjawab panggilan daripada sepupu wanitanya dan mereka berbual mengenai sesuatu mengenai dirinya.
Katanya, dia tidak pasti apa mereka bualkan, namun yakin perbualan itu menaikkan kemarahan isterinya.
“Berdasarkan perbualan telefon itu, sepupu memaklumkan kepada isteri, saya seorang kaki perempuan dan pernah membawa balik perempuan ke rumah ketika bujang dulu.
“Seketika kemudian, saya mengambil telefon daripada isteri dan bercakap dengan sepupu. Saya bertanya kepadanya apa dibualkan dengan isteri, namun dia (sepupu) menafikan dakwaan itu,” katanya.
Katanya, sebaik menamatkan perbualan, dia bersandar pada sofa sebelum isteri muncul di hadapannya sambil memegang sebilah pisau dan terus menetak lengannya.
Menurutnya, isterinya cuba menetak pada muka dan kepalanya, namun dia sempat menahan dengan tangan kiri sehingga menyebabkan pendarahan teruk.
“Isteri menjerit ‘abang sudah melampau’ sebelum menetak saya dengan pisau. Saya cuba keluar untuk mendapatkan pertolongan, namun isteri mengunci pintu rumah dan menghalang saya keluar.
“Saya sempat mengambil kunci pendua rumah dan telefon bimbit sebelum membuat panggilan ke talian 999 untuk meminta bantuan polis dan ambulans,” katanya.
Ahmad berkata, dia dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini dengan sebuah kereta peronda polis untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Saya mengakui isteri seorang yang baran dan cemburu buta. Malah, rumah tangga kami sering berdepan masalah selepas hidup bersama sejak 11 bulan lalu.
“Kami sering bergaduh, namun saya tetap sayangkannya dan berdoa agar dia memperbaiki sikapnya itu. Pernah satu ketika, saya disepak terajang dan dimaki hamun, tetapi saya reda dengan perbuatannya itu,” katanya.
Menurutnya, dia juga terkilan kerana isterinya tidak pernah menjenguknya di hospital sepanjang menerima rawatan walaupun bertugas di hospital sama.
Ditanya sama ada dia akan menceraikan isterinya, Ahmad berkata, insiden itu tidak melunturkan rasa sayangnya kepada isteri, malah mahu memberi peluang kepada isterinya untuk berubah.
“Penceraian bukan penyelesaian, sebaliknya saya mahu insiden yang menimpa saya memberi pengajaran kepada masyarakat di luar sana sekali gus menginsafkan isteri saya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan dibuat mangsa di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ipoh, petang semalam.
Katanya, pihaknya sedang menyiasat kes itu kerana isteri mangsa turut membuat laporan di Balai Polis Pasir Puteh sebelum ini.
Oleh KAMELIA OTHMAN PETALING JAYA: Pengacara Zizan (Raja Lawak) mengakui berasa bangga dan teruja apabila ditawarkan menggantikan Wahid Senario bagi mengacara rancangan hiburan popular, Melodi di TV3. Zizan berkata, tawaran tersebut merupakan peluang terbaik kerana program itu berjaya menaikkan beberapa nama besar pengacara tanah air sebelum ini. "Saya terkejut apabila mereka tawarkan untuk jadi pengacara Melodi kerana seperti yang kita tahu, program tersebut pernah dikendalikan nama-nama besar seperti Aznil, Fauziah Ahmad Daud dan Saiful Azmi(Apek). "Melodi juga merupakan rancangan hiburan yang sudah hampir 20 tahun usianya dan mempunyai reputasi baik serta mampu bertahan sehingga kini," katanya. Menurut Zizan pemilihannya bersama Dira Abu Zahar berkemungkinan berdasarkan kriteria dan ciri-ciri yang ada padanya sebagai seorang pengacara. "Saya tidak tahu mengapa mereka pilih saya sebab ramai lagi pengacara yang bagus tapi apa yang mereka beritahu, saya mempunyai kriteria pengacara yang mereka cari. "Jika mereka rasa saya mampu untuk mengendalikan rancangan ini saya lebih berbesar hati untuk menerimanya," kata Zizan. Bagaimanapun, Zizan mengakui agak gementar dengan penerimaan penonton rancangan tersebut yang sememangnya mempunyai pengikut tersendiri. "Bagi mengambil alih sebuah rancangan besar seperti itu sudah tentu saya rasa sedikit gementar dan takut terutamanya jangkaan tinggi dari penonton. "Untuk mengatasinya saya perlu banyakkan buat kajian tentang dunia hiburan semasa, namun begitu saya tidak takut jika diperbandingkan kerana ia adalah lumrah," ujarnya. Ketika ditanya tentang gandingannya dengan pelakon Dira, Zizan memberitahu akan mencari keserasian dengan gandingannya itu sebaik mungkin. "Saya belum berpeluang untuk berganding dengan Dira tapi saya percaya keserasian itu akan timbul. Sebelum ini saya selalu juga melepak dengan Dira dan saya percaya kami ada keserasian. "Rasanya sama juga seperti kali pertama ketika digandingkan dengan Johan untuk Raja Lawak, keserasian itu timbul sedikit demi sedikit," katanya yang pernah mengacarakan rancangan Idola Kecil pada 2008. Wahid dan Fara akan bersiaran sebagai pengacara Melodi buat kali terakhir di lokasi Karnival Jom Heboh Batu Kawan, Pulau Pinang pada 27 Mac ini, manakala Zizan dan Dira akan mula mengambil alih pada minggu berikutnya. Kedua-dua mereka akan bersiaran secara langsung di Arena of Stars Genting Highlandssempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 iaitu pada 3 April.
Seorang lelaki mendukung anaknya sementara sesetengah mangsa menerima rawatan di bangunan Pyne Gould Corporation selepas gempa bumi melanda Christchurch, New Zealand pada Selasa. - Foto REUTERS KUALA LUMPUR: Seperti zon perang. Itulah gambaran yang diberi pelajar Malaysia di Christchurch, New Zealand selepas gempa bumi dengan kekuatan 6.3 melanda wilyah itu, Selasa. "Keadaan seperti kena bom dan seolah-olah berada di zon perang. Saya tercampak beberapa meter dari tempat bekerja hingga menyebabkan kaki saya lebam teruk serta kasut koyak," kata Abdullah Mohd Nawi ketika dihubungi Bernama. Pelajar ijazah Doktor Falsafah (PhD) Universiti Canterbury itu berkata, beliau sempat berlindung di bawah meja bagi mengelakkan dihempap oleh benda yang jatuh. "Sebaik keluar dari bangunan itu, saya agak hilang arah dan tidak tahu hendak ke mana, rasa takut jangan cakaplah apatah lagi apabila melihat keadaan sekeliling orang berlari-lari untuk selamatkan diri serta bunyi siren bomba, polis dan ambulans," katanya. Beliau berkata orang ramai berpusu-pusu melarikan diri ke kawasan lapang bagi mengelakkan diri daripada ditimpa runtuhan bangunan jika berlaku gempa susulan. "Ketika itu, hendak jalan memang sukar kerana terpaksa mengharungi air yang keluar di sebalik rumput akibat gempa bumi dan difahamkan ia adalah air kumbahan yang pecah di bawah tanah dan bayangkan situasi ketika itu yang amat busuk," katanya. Beliau juga dapat melihat beberapa orang yang masih terperangkap dalam bangunan meminta tolong dengan melambai-lambai menggunakan baju agar dapat dilihat oleh pihak penyelamat. Abdullah bagaimanapun tetap bersyukur kerana selain beliau, isteri serta dua anaknya yang berada di kediaman mereka juga terselamat. Kejadian gempa yang melanda pada waktu tengah hari waktu tempatan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 65 terbunuh serta ramai terperangkap dalam bangunan yang runtuh. Bagaimanapun Wisma Putra melaporkan semua rakyat Malaysia termasuk 390 pelajar berada dalam keadaan selamat. Ini merupakan kali kedua bandar raya itu dilanda gempa bumi dalam tempoh enam bulan, selepas gegaran sekuat 7.1 pada skala Richter pada September lepas yang mengakibatkan kerosakan serius pada bangunan dan infrastrukturnya. Sementara itu bekas editor bersekutu The Star, Hah Foong Lian yang mengikuti pengajian peringkat PhD di sana berkata, beliau tidak mengalami sebarang kecederaan. "Saya berada dalam keadaan baik. Agak terkejut dengan kejadian itu. Rumah yang saya diami juga masih utuh, tetapi di hujung jalan seorang wanita terbunuh di bawah runtuhan kedai buku," katanya menerusi emel kepada Bernama. Katanya laporan media menyebut 65 terbunuh manakala 100 lagi dipercayai terperangkap di bawah runtuhan bangunan. "Keadaan seolah-olah bukan realiti kerana begitu banyak kemusnahan, tetapi tempat saya OK. Saya ke rumah jiran saya untuk mengikuti laporan berita. Kami semua berkumpul di situ bagi melihat kemusnahan yang melanda bandar raya menerusi televisyen. "Memang sukar dipercayai kejadian ini berlaku lagi. Saya fikir kami berjaya mengharungi kejadian pertama tetapi kali ini agak teruk," katanya. Hah berkata sesetengah daripada mereka juga takut untuk duduk bersendirian di dalam rumah kerana bimbang dengan gegaran susulan. "Kita tidak tahu bila gegaran besar seterusnya akan berlaku, dan amat menakutkan jika anda terbangun dan mendapati anda berada di bawah timbunan runtuhan. Saya fikir tidak ada siapa pun di sini yang dapat tidur nyenyak malam ini," katanya. Seorang lagi pelajar PhD dari Universiti Lincoln, Tuan Ahmad Tuan Ismail berkata situasi di sekitar bandar Lincoln yang terletak kira-kira 20 km dari Christchurch agak huru-hara. "Jalan raya sesak, ada kawan saya terperangkap dalam kereta selama tiga jam semasa hendak ambil anak dia di tadika...situasi kacau-bilau apatah lagi sudah keluar arahan darurat yang mana semua kena duduk di rumah dan tidak dibenarkan keluar. Katanya semua kedai dan pasar raya juga ditutup ekoran kejadian itu. "Nasib baiklah saya baru beli baru-baru (keperluan harian) ini jadi adalah sedikit stok makanan," katanya. - BERNAMA
PERMATANG PASIR – Impian anak jati Kampung Permatang Pasir, Datuk Khalid Mohamad Jiwa dan isterinya, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin untuk membina masjid bagi kemudahan penduduk setempat akhirnya terlaksana setelah dirasmikan semalam oleh Sultan Kedah Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Masjid Al-Khalidiah di Kampung Permatang Pasir, Mukim Rantau Panjang Kuala Muda itu menelan belanja hampir RM2 juta dimulakan pembinaannya pada 1 Disember 2009 dan siap sepenuhnya pada 2 Ogos tahun lalu.
Siti Nurhaliza berkata, itu adalah impiannya dan suami sejak awal untuk membantu penduduk dengan menyediakan tempat menunaikan ibadat.
“Kami menubuhkan Yayasan Nurjiwa dan bertanggungjawab membantu golongan memerlukan terutama anak yatim, golongan miskin dan mangsa bencana alam, di samping turut membantu dalam pembangunan agama khususnya pembinaan, baik pulih masjid dan surau terutama kawasan kampung,” katanya, semalam.
Menurutnya, semalam adalah hari bermakna dan gembira kerana impian itu dapat direalisasikan dengan sempurna.
“Saya berharap dengan terbinanya masjid ini dapat memberi kemudahan kepada penduduk Permatang Pasir dan orang ramai menunaikan ibadat wajib dituntut agama.
“Al-Khalidiah dipilih setelah mendapat pandangan alim ulama di Makkah dan setelah berbincang dengan penduduk baru kita memutuskan untuk menggunakan nama ini,” katanya.
KUALA TERENGGANU - Niat murni seorang anak menjadi penjamin bapa kandungnya daripada meringkuk di penjara gara-gara ditangkap berkhalwat dengan seorang wanita Filipina tidak berbaloi apabila bapanya itu ‘lepas tangan’ gagal menghadirkan diri pada hari perbicaraan di Mahkamah Syariah di sini, semalam.
Tindakan tidak bertanggungjawab tertuduh, Mohd Mukhtar Mat Dom, 62, yang tidak pernah hadir pada perbicaraan kes khalwatnya, menyebabkan anak kedua daripada empat beradik itu, Nor Syaharainiza Mohd Mukhtar, 31, dari Kampung Laut selaku penjamin terpaksa menanggung segala bebanan hukuman atas kesalahan dilakukan tertuduh.
Ketika perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Syarie, Kamarul Azmi Ismail, Nor Syaharainiza merayu mahkamah mempertimbangkan permohonannya untuk tidak mahu menjadi penjamin kepada bapa yang dianggap tidak bertanggungjawab itu.
Dalam nada teresak-esak, Nor Syaharainiza berkata, dia tidak memiliki wang untuk menjadi penjamin kerana tidak mempunyai pekerjaan dan dalam masa sama, terpaksa menanggung keperluan tiga anaknya yang masih bersekolah.
Menurutnya, dia kini bergelar ibu tunggal selepas rumah tangganya berkecai kerana bekas suaminya tidak mengizinkan dia menjadi penjamin bapanya.
Setelah mendengar rayuan itu, Kamarul Azmi menetapkan 8 Mei untuk sebut semula kes bagi memberi masa kepada Nor Syaharainiza mencari ayahnya supaya dapat menghadirkan diri pada tarikh perbicaraan kes itu.
Mohd Mukhtar bersama rakannya ditangkap berkhalwat dengan seorang wanita Filipina di sebuah hotel sekitar bandar raya ini pada 6 November 2006.
Di luar kamar mahkamah, Nor Syaharainiza yang ditemani ibunya, Hasmah Omar, 53, berkata, dia menjadi penjamin kerana tidak mahu bapanya meringkuk dalam penjara.
“Saya reda walaupun rumah tangga saya berantakan tetapi saya terkilan kerana ayah sanggup lepas tangan sehingga saya yang menjadi mangsa,” katanya.
Nor Syaharainiza hanya bergantung pada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan merayu ayahnya yang kini dipercayai berada di Kuala Lumpur dapat menghadirkan diri pada perbicaraan ditetapkan itu.
“Saya merayu kepada ayah supaya memahami keperitan dan kesusahan hidup saya tanggung kini bersama tiga anak yang masih kecil. Jika dahulu, saya ada tempat bergantung, tetapi selepas bercerai, saya hilang punca,” katanya dalam nada sedih.
AL-MARAGHI berkata: Surah al-Tin termasuk Surah Makiyyah. Ia terdiri daripada lapan ayat dan diturunkan selepas Surah al-Buruj. Surah ini berkait dengan surah al-Insyirah. Surah al-Insyirah telah dijelaskan oleh Tuhan perihal makhluk Allah SWT yang paling sempurna iaitu Nabi Muhammad SAW. Berikutnya dalam surah ini Allah SWT menerangkan perihal keadaan manusia sehingga akhir saat urusan mereka dan balasan yang telah disediakan oleh Allah SWT untuk orang yang beriman kepada rasul-Nya. Firman Allah SWT: Demi (buah) Tin dan (buah) Zaitun. Ibn Kathir mengemukakan beberapa pendapat berkenaan dengan tin antaranya: * Masjid Damsyik. * Gunung-ganang dan bukit di sekelilingnya. * Al-Qurtubi berpendapat: Masjid Ashab al-Kahfi. * Ibn Abbas r.a berpendapat Masjid Nuh yang berada di puncak gunung Judiy. Ustaz Muhammad Abduh berpendapat, al-Tin adalah nama pokok tempat Nabi Adam a.s bernaung di syurga. Sedangkan al-Zaitun pula dikatakan Masjid Baitu al-Maqdis dan buah zaitun. Al-Maraghi berkata: Tin dan zaitun mengingatkan kewujudan kedua-dua masa ini iaitu Nabi Adam a.s sebagai bapa manusia yang pertama dan Nabi Nuh a.s sebagai bapa manusia yang kedua. Firman Allah SWT: Dan demi bukit Sina. Iaitu bukit Tursina atau gunung Sinai. Al-Alusi berkata: Ia merupakan tempat Allah berkata-kata dengan Nabi Musa a.s tanpa khilaf lagi ia bukit di negeri Syam tetapi yang ma'ruf pada masa kini adalah satu kawasan antara Mesir dan Aqabah. Firman Allah SWT: Dan demi kota (Mekah) ini yang aman. Ibn Abbas, Mujahid, Ikrimah, al-Hasan, Ibrahim al-Nakhaie, Ibn Zaid dan Ka'ab al-Akhbar berpendapat ia kota Mekah. Ibn Kathir berkata: Sebahagian ulama berpendapat: Tiga tempat ini dimuliakan Allah di mana Allah bangkitkan setiap satunya Rasul yang diutuskan di kalangan ulul al-Azmi. Pertama: Tempat tin dan zaitun di Baitu al-Maqdis yang diutuskan Nabi Isa bin Maryam. Kedua: Tursina di mana Allah SWT berbicara dengan nabi Musa a.s. Ketiga: Mekah yang Allah SWT utuskan Muhammad SAW. Berdasarkan kenyataan di bawah, jelas menunjukkan permulaannya di tempat yang mulia kemudian lebih mulia dan yang terakhir paling mulia. Yang mana Allah menceritakan berdasarkan tertib, kewujudan mereka secara kronologi. Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Ibn Kathir berkata: Allah SWT ciptakan manusia dalam sebaik-baik bentuk kejadian, ketinggian dan keindahannya. Al-Maraghi berkata: Kami telah mencipta manusia dalam bentuk yang paling baik. Kami jadikan manusia bersifat tegap, bertulang tumit indah, mampu mencapai maksud yang diinginkannya dengan tangannya, tidak seperti haiwan yang memungut sesuatu dengan mulutnya. Allah SWT mengurniakan keistimewaan akal kepada manusia, kebolehan membezakan serta kesanggupan menerima ilmu yang pelbagai jenis. Begitu juga mereka mampu membuat gagasan yang menjadikannya mampu menguasai alam wujud, di samping itu mereka yang mempunyai kemampuan dan jangkauan memperoleh apa yang diingini. Firman Allah SWT: Kemudian kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka). Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya. Syed Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: Apabila ia menyeleweng dengan fitrahnya dari garis lurus yang ditunjukkan Allah dan setelah diberi penjelasan dan kebebasan agar ia memilih salah satu dari dua jalan. Merekalah golongan manusia yang kekal di atas fitrahnya yang lurus, kemudian mereka lengkapkan pula fitrah mereka dengan iman dan amal soleh dan terus meningkat ke darjat yang sempurna yang diperuntukkan kepada mereka sehingga berakhir dengan kehidupan yang sempurna di negeri akhirat, negeri yang sempurna. Firman Allah SWT: Maka apakah yang menyebabkan kamu mendustakan (hari) pembalasan sesudah (adanya keterangan-keterangan) itu? Ibn Jauzi dalam Zad al-Masir menyebut dua pendapat: l Apakah yang menyebabkan kamu berdusta hai manusia selepas hujah ini berkaitan pembalasan. Ini adalah ancaman kepada orang kafir seperti yang disebut oleh Muqatil. l Siapa yang mampu dalam pendustaanmu dengan pahala dan balasan selepas nyata Allah mencipta manusia. Inilah pendapat al-Farra'. Firman Allah SWT: Bukankah Allah hakim yang seadil-adilnya? Syed Qutub berkata: Tidakkah Allah itu Pengadil Yang Maha Adil apabila Dia menetapkan hukuman-hukuman seperti ini? Atau tidakkah hikmat kebijaksanaan Allah mencapai matlamatnya dalam hukuman yang telah ditetapkan terhadap orang mukmin dan bukan mukmin. Penutup Al-Maraghi berkata: Allah SWT itu paling bijaksana mencipta dan mengatur. Oleh sebab itu, Allah SWT menetapkan wujudnya pembalasan amal bagi umat manusia. Tujuan pembalasan ini supaya manusia tetap kekal pada martabatnya yang mulia menurut fitrah semulajadi mereka. Akan tetapi manusia telah menjatuhkan diri mereka ke martabat yang paling hina, lantaran kebodohan dan pengaturan yang salah. Justeru, Allah SWT mengirimkan para rasul kepada manusia untuk memberi khabar gembira (petunjuk) dan menyampaikan ancaman. Para rasul ini diberi syariat untuk dijelaskan kepada manusia dan mengajak mereka ke jalan Allah SWT sebagai bukti sifat pemurah Allah SWT kepada manusia.Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
MANCHESTER, England - Pelumba trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang muncul juara keirin Piala Dunia meskipun pada perlumbaan pusingan keempat dan terakhir semalam, serpihan kayu tajam menusuk dan menembusi betis kirinya. Difahamkan serpihan kayu tajam itu datang daripada lantai velodrom yang diperbuat daripada kayu itu terkopek dan tertanggal selepas Azizulhasni bersama empat pelumba lain berlanggar pada kelajuan tinggi sebelum terjatuh di atas trek perlumbaan. Bagaimanapun, hanya Azizulhasni seorang yang cedera agak teruk akibat tusukan serpihan kayu tajam itu dan terpaksa dikejarkan ke hospital. Empat pelumba lain iaitu Jason Niblett dari Australia, Kamil Kuczynski (Poland), Edward Dawkins (New Zealand) dan Juan Peralta Gascon (Sepanyol) hanya cedera ringan. Acara keirin akhir pusingan keempat itu dimenangi juara Olimpik, Chris Hoy diikuti Niblett. Hanya dua pelumba itu berjaya menamatkan perlumbaan daripada enam pelumba yang layak ke peringkat akhir semalam. Berikutan insiden itu, Azizulhasni, 24, hanya mampu menduduki tempat ketiga tetapi sudah cukup untuknya muncul juara keseluruhan hasil daripada pungutan mata dalam tiga pusingan sebelum ini. Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.
KUALA PILAH 20 Feb. – Kehidupan seorang ibu berakhir di tangan anak kandungnya sendiri apabila dia mati akibat ditikam di rumah mereka di Felda Kepis, kira-kira 25 kilometer dari sini kelmarin.
Jemelah Muhamad, 53, hanya sempat menjerit apabila dia dikatakan ditikam di bahagian dada dengan menggunakan sebilah pisau oleh anak lelakinya yang berusia 28 tahun, kira-kira pukul 8 malam.
Ketika itu, mangsa berada di atas katil di dalam bilik, manakala suaminya, Sohaimi Maidin, 53, berada di pekarangan luar rumah mereka.
Terkejut dengan jeritan isterinya itu, Sohaimi bergegas masuk ke dalam rumah dan menemui isterinya dalam keadaan berlumuran darah.
“Saya lihat anak lelaki saya berada di dalam bilik itu.
Tanpa berfikir panjang, saya terpaksa memukul anak saya dan menariknya keluar sebelum menyelamatkan isteri,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di sini hari ini.
Beliau kemudian segera membawa isterinya keluar dan meminta pertolongan jiran untuk membawa Jemelah ke hospital.
Menurut Sohaimi, anak lelakinya itu tidak melawan selepas ditarik keluar dan hanya duduk diam seperti orang terkejut melihat apa yang telah berlaku.
Isterinya ketika itu masih bernyawa meskipun dalam keadaan cedera parah.
Jemelah kemudian dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sini sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban.
“Bagaimanapun, isteri saya disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 1 petang semalam (Sabtu),” katanya.
Sohaimi memberitahu, anaknya yang menghidap masalah mental itu mempunyai surat pengesahan dari hospital tentang penyakitnya itu.
Menurutnya, beliau percaya anak lelakinya tidak mengambil ubat sejak beberapa hari lalu sehingga menyebabkan dia bertindak sedemikian.
Tidak dapat menyembunyikan rasa sedih dengan kejadian ini, Sohaimi berkata, keadaan anaknya itu baik sekiranya mengambil ubat mengikut jadual.
Namun, beliau tidak menyangka kesan akibat tidak mengambil ubat itu menyebabkan dia bertindak di luar batasan.
“Anak saya tidak bekerja, kalau bekerja pun tidak lama. Jadi hanya kami tiga beranak tinggal di rumah ini, anak-anak yang lain tinggal di rumah mereka sendiri.
“Sebelum kejadian, hanya saya dan isteri berdua di dalam rumah. Saya memang berat hati apabila seorang kawan mengajak minum di warung, jadi kami berbual di luar rumah sebelum saya terdengar jeritan Jemelah,” jelasnya.
Sementara itu di HTJ, suasana sedih menyelubungi keluarga mangsa di bilik mayat apabila beberapa ahli keluarga mangsa menunggu menuntut jenazah Allahyarham Jemelah untuk dibawa pulang.
Jenazah mangsa dituntut sebelum dibawa ke Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental HTJ untuk memberi peluang kepada suspek melihat mayat ibunya buat kali terakhir sebelum dibawa pulang ke rumahnya di Felda Kepis.
Sohaimi memberitahu, jenazah isterinya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Kepis selepas solat Zohor di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Polis daerah, Supritendan Jaafar Baba ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan, siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dilakukan.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dua pekerja ladang, K. Sarawanan, 20, dan U. Suresh, 27, (kanan) keluar dari Mahkamah Tinggi di Shah Alam selepas mendengar keputusan bagi kesalahan melupuskan mayat jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain. Mahkamah Tinggi pada Isnin, meminda hukuman mereka yang sebelum ini dihukum penjara tujuh tahun kepada 20 tahun. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Dua pekerja ladang yang dihukum penjara selama tujuh tahun kerana melupuskan bahan bukti pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati dan tiga individu yang lain akan meringkuk lebih lama di penjara, apabila Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, meminda tempoh hukuman menjadi 20 tahun.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki membuat keputusan tersebut terhadap K. Sarawanan, 20, dan U. Suresh, 27, pada prosiding rayuan dan semakan yang difailkan terhadap hukuman asal yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, dekat sini pada 15 Oktober lalu.
Hukuman tersebut dijatuhkan selepas kedua-dua mereka mengaku salah melupuskan bahan bukti Sosilawat, 47, pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamal Abdul Karim, 32, dan pemandu Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Sarawanan didakwa melakukan kesalahan tersebut dengan cara membakar mayat semua mangsa sementara Suresh mengaku bersalah bagi pertuduhan membuang abu mayat mangsa ke dalam Sungai Panchau, Banting.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu bagi menyembunyikan kejadian jenayah itu dan melindungi seorang peguam, N. Pathmanabhan, 42, dan tiga pekerja ladang T. Thiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Khatavarayan, 31, yang didakwa melakukan pembunuhan tersebut.
Semasa itu, Majistret Hurman Hussein yang menerima pengakuan salah tersebut memeritahkan mereka menjalani hukuman penjara selama tujuh tahun bagi setiap pertuduhan yang berjalan secara serentak.
Ekoran tidak berpuas hati dengan hukuman itu, Sarawanan memfaikan rayuan sementara Mahkamah Tinggi atas inisiatifnya sendiri, memfailkan semakan terhadap keputusan untuk menyemak sama ada Majistret telah melampaui bidang kuasanya dalam menjatuhkan hukuman tujuh tahun.
Ini kerana, bidang kuasa Majistret yang diperuntukkan oleh undang-undang adalah tertakluk sehingga lima tahun.
Pada penghakimannya, Mohtarudin berkata, beliau menolak permohonan rayuan Sarawanan yang mendakwa bahawa pengakuan salah itu tidak dibuat secara sukarela dan berlaku unsur paksaan untuk dia berbuat demikian.
Beliau berkata, Sarawanan sendiri telah mengaku fakta kes yang dibacakan kepadanya oleh seorang jurutera Bahasa Tamil sebagai benar dan faham akan sifat dan pengakuan yang diberikannya.
"Hujah lain adalah dianggap sebagai remah seperti jurubahasa tidak menerangkan pertuduhan, sifat dan akibat tidak diterangkan. Jurubahasa Tamil adalah kakitangan mahkamah yang berkelayakan. Tiada aduan dibuat bahawa jurubahasa tidak dapat menguasai bahasa berkenaan," katanya.
Selain itu, Mohtarudin juga menyifatkan sebahagian tohmahan yang dilemparkan kepada jurubahasa, peguam dan Majistret yang menjalankan tugasnya adalah agak keterlaluan serta jika dilihat secara keseluruhan adalah pemikiran semula.
"Saya menolak rayuan dan mendapati tiada apa-apa yang melanggar undang-undang, tidak sesuai atau kesalahan dalam nota prosiding oleh Majistret serta tiada ketidakadilan yang berlaku," tambahnya.
Berhubung tempoh hukuman, Mohtarudin bersetuju bahawa Majistret telah terkhilaf dalam menjatuhkan hukuman itu.
"Saya bersetuju bahawa kesalahan yang dilakukan adalah paling serius di mana kes bunuh hukumannya adalah mati mandatori. Dengan itu, saya membenarkan rayuan dan menjalankan kuasa semakan menggantikan hukuman penjara tujuh tahun kepada lima tahun bagi setiap pertuduhan.
"Hukuman penjara lima tahun adalah jelas tidak memandai. Kes ini amat mengejutkan di mana empat orang dibunuh dalam satu kejadian. Semua orang yang waras akan bersetuju bahawa tempoh itu adalah tidak berpatutan.
"Dengan itu, bagi menjalankan kuasa semakan di bawah Seksyen 325 Kanun Acara Jenayah, saya memerintahkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan hendaklah berjalan berturutan," katanya.
Pada prosiding itu, Sarawanan dan Suresh diwakili peguam-peguam A. S. Dhaliwal dan Datuk Harpal Grewal manakala pihak pendakwaan dibarisi Timbalan- Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusof, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani.
Dhaliwal semasa ditemui memberitahu, beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.