KUALA TERENGGANU: Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak di sini, hampir musnah apabila kira-kira 60 peratus struktur bahagian
bumbungnya runtuh pagi ini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi itu, membabitkan bahagian hadapan, kiri dan kanan bumbung stadium berkenaan.
Tinjauan Bernama setakat tengah hari ini, mendapati kerja membersih kawasan
berkenaan sedang dijalankan dan tiada kemalangan jiwa dilapor.
bumbung stadium yang runtuh itu.
Beberapa anggota bomba dan penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam (JPA3)
dilihat memasuki bahagian bangunan yang runtuh itu bagi memastikan tiada mangsa yang terperangkap.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said turut meninjau tempat kejadian pagi ini dan
beliau dijangka mengadakan sidang akhbar di pejabatnya jam 4 petang ini.
Menurut beberapa saksi, runtuhan dipercayai bermula pada bahagian tengah
stadium yang menempatkan bilik tetamu kehormat (VIP) dan tempat duduk utama
termasuk pentas diraja.
Asmadi Hashim berkata, ketika kejadian, beliau berada di rumahnya yang
terletak kira-kira 400 meter dari stadium berkenaan.
"Saya mendengar satu letupan kuat dan menyangka ia adalah enjin kapal
terbang kerana Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) terletak berhampiran
stadium itu," katanya.
Sementara itu, dua pekerja yang sedang memasang tiang lampu di sekitar
stadium berkenaan terkejut selepas mendengar letupan berkenaan.
Mohd Zaidi Ahmad yang bekerja hanya kira-kira 300 meter dari tempat kejadian itu, kemudian bergegas bagi memastikan tiada yang terkorban.
Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang berharga RM270 juta dirasmikan
oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lalu.
Stadium berkenaan menjadi mercu tanda Terengganu dan gelanggang bagi
beberapa acara utama pada Sukan Malaysia (Sukma) 2008 dan perlawanan bola sepak Liga Super.
-Benama