Janda ditahan bersama suami orang



TAMAN RAKYAT - Gara-gara gagal membuktikan surat nikah dan hubungan sah sebagai suami isteri, seorang janda yang baru tamat edah dicekup pihak berkuasa ketika berada dengan seorang lelaki yang juga suami orang di sebuah rumah, dekat sini, awal pagi malam kelmarin.

Janda anak satu itu yang tinggal di sebuah rumah lot tepi di taman perumahan itu ditahan anggota penguat kuasa syariah kerana berada bersama seorang lelaki yang juga kakitangan sebuah syarikat petroleum. Wanita itu mendakwa lelaku itu suaminya yang baru bernikah dengannya hujung Mei lalu.

Bagaimanapun, ketika disoal siasat dan diminta supaya menunjukkan bukti bahawa mereka adalah suami isteri yang sah melalui surat nikah, kedua-duanya gagal berbuat demikian.

Difahamkan, janda yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat di pusat perindustrian di Kerteh itu baru bercerai dengan suaminya dan kini tinggal dua beranak bersama seorang anaknya di rumah itu.

Ketua Unit Penguat kuasa Syariah, Jabatan Agama Dungun, Yusuf Musa mengesahkan tangkapan terbabit dan pasangan itu sekiranya gagal membuktikan mereka pasangan suami isteri.

Mereka berkemungkinan menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu.

Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.