Lima nelayan di Penjara Pontianak


KUALA TERENGGANU – Lima nelayan Terengganu termasuk seorang tekong dan empat awak-awak yang ditahan pihak berkuasa Indonesia 12 November lalu, kini ditempatkan di Penjara Pontianak, Indonesia.

Perkara itu disahkan Ketua Penguat kuasa Daerah Maritim Kuala Terengganu, Komander Maritim Syd Fuzi Syd Hasan ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, maklumat mengenai penahanan semua nelayan terbabit telah dimaklumkan Maritim Wilayah Sarawak kepada pihaknya, 16 November lalu.

“Semua nelayan berasal dari Kampung Seberang Takir itu ditahan Polis Air Indonesia ketika mereka menangkap ikan berhampiran pelantar minyak Berlumut sempadan perairan Malaysia - Indonesia.

“Selepas ditahan, mereka mengambil masa empat hari perjalanan untuk sampai ke Pontianak,” katanya.

Syd Fuzi berkata, Wisma Putra juga kini berusaha mendapatkan pengesahan sama ada benar atau tidak salah seorang daripada nelayan terbabit cedera akibat terkena tembakan dilepaskan pihak berkuasa negara berkenaan.

Sebelum ini, kelima-lima nelayan terbabit dikatakan hampir memasuki sempadan perairan Indonesia yang jaraknya hanya kira-kira tiga batu nautika dari sempadan Malaysia-Indonesia.

Mereka adalah Che Wan Budiman Che Wan Ngah, 31, yang juga tekong bot, Musa Mohamad, 33; Akhmadi Daud, 28; Mohd Arif Rosli, 20, dan Ahmad Faizul Sulung, 23, dikatakan menjalankan aktiviti menangkap ikan berhampiran pelantar minyak Berlumut, kira-kira 150 batu nautika dari Kuala Terengganu.