KUALA TERENGGANU – Tanpa memikirkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal diduduki esok, sekumpulan 11 pelajar dari sebuah sekolah menengah di Hulu Terengganu sanggup ponteng sekolah hanya semata-mata ingin berhibur di sebuah pusat karaoke di bandar ini.

Malah, mereka turut mengaburi mata orang ramai termasuk pengusaha pusat hiburan tersebut dengan tidak memakai pakaian seragam sekolah untuk membolehkan mereka memasuki kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, helah pelajar tersebut ‘kantoi’ apabila mereka diserbu oleh guru sekolah sendiri dan wakil Jabatan Pelajaran Negeri serta beberapa anggota polis yang bertindak sebagai pengiring untuk mengelak berlakunya sebarang perkara tidak diingini.

Menurut Jurucakap, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, pihaknya menerima laporan mengenai perkara itu kira-kira jam 11 pagi sebelum bertindak menyerbu ke pusat hiburan yang terletak di Jalan Sultan Sulaiman berkenaan.

:“Ketika serbuan dilakukan ada sebahagian pelajar terbabit sedang menyanyi dan sekumpulan yang lain sedang berbual. Ini operasi pertama melibatkkan kes ponteng sekolah seperti ini dilakukan JPNT.

:“Meskipun operasi ini turut disertai pihak polis, namun tiada sebarang tangkapan dan laporan dibuat kerana pihak sekolah memutuskan untuk menyerahkan kes ini kepada Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar (PKHEM) sekolah berkenaan bagi tindakan lanjut,” katanya.