KEMAMAN: Sebuah peti besi seberat 100 kilogram mengandungi geran kenderaan dilarikan dari sebuah syarikat insurans dalam kejadian pecah masuk bangunan pejabat itu pada Ahad.

Pemilik syarikat insurans berkenaan, Azmi Ismail, 43, berkata 15 keping geran pelbagai jenis kereta dan motosikal milik pelanggan dilarikan dalam kejadian itu.

Katanya, beliau dimaklumkan mengenai kejadian oleh pemilik premis bersebelahan pejabatnya di Jalan Da' Omar di sini, kira-kira pukul 5 pagi Ahad setelah menyedari pintu pejabat syarikat insurans itu dipecahkan.

"Setelah pemeriksaan dibuat, saya dapati peti besi yang diletakkan di bawah meja berhadapan pintu yang dipecahkan telah lesap.

"Turut dilarikan wang tunai sebanyak RM300 yang disimpan dalam peti besi itu, bagaimanapun barangan yang lain seperti komputer dan kamera video masih berada di tempat yang sama," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Katanya, laporan polis berhubung kejadian dibuat pada hari yang sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Supteritendan Abdullah Sani Salat ketikadihubungi mengesahkan menerima laporan. Katanya, seorang suspek telah dikenal pasti bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan. - BERNAMA