Kes Bunuh Sosilawati Disebut 24 Mac Depan

Oleh SALWA SHA'ARI

BANTING: Kes seorang peguam, N. Pathamanabhan yang didakwa membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu yang hilang bersamanya akan disebut di Mahkamah Tinggi Shah Alam, dekat sini pada 24 Mac depan.

Majistret Telok Datok, di sini, Hurman Hussain menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes tersebut.Pada prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof turut mengemukakan izin pendakwaan kepada mahkamah.

Turut hadir bagi pihak pendakwaan ialah Timbalan- Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani dan Saiful Edris Zainudin.

Pathmanabhan, 42, didakwa bersama tiga pekerja ladang, T. Thilaiyagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Khatavarayan, 31.

Semua mereka didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank CIMB Kampung Baru Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamal Abdul Karim, 32, dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada antara pukul 8.30 dan 9.30 malam, 30 Ogos 2010 di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, di sini.