SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa tiada bukti jelas menunjukkan bahawa anggota polis Koperal Jenain Subi adalah orang yang telah menembak remaja berumur 15 tahun, Aminulrasyid Amzah sehingga menyebabkan kematiannya.

Peguam M.Athimulan yang mewakili Jenain berkata, berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan iaitu pakar forensik dan ahli kimia sebelum ini, mereka tidak dapat mengesahkan dari senjata mana anak peluru yang ditemui di dalam kepala mangsa dilepaskan.

"Ahli kimia tidak dapat menguji anak peluru terbabit berikutan ia rosak teruk dan dalam kes ini ada dua senjata MP5 iaitu satu dimiliki Jenain dan satu lagi dimiliki oleh Konstabel Mohd Izham Mahayadin. Tiada bukti forensik untuk mengaitkan bahawa anak peluru itu telah dilepaskan sama ada oleh senjata Jenain atau Mohd Izham.

"Adalah penting untuk disebut bahawa keterangan Mohd Izham bahawa beliau hanya melepaskan tembakan di Bulatan Kayangan dan dia juga dicabar bahawa dia juga berbuat demikian di Jalan Tarian 11/2 yang mana telah dinafikannya," katanya.

Athimulan memberikan hujahannya pada perbicaraan terhadap Jenain, 48, yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini, antara pukul 1.10 pagi hingga 2 pagi, 26 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mengenai isu mens rea (niat hendak menyebabkan kematian), Athimulan berkata keterangan yang dikemukakan oleh saksi pendakwaan tidak langsung menunjukkan bahawa tertuduh mempunyai niat untuk menyebabkan kematian mangsa.

"Dalam keterangan saksi pendakwaan, tiada bukti menunjukkan ada tindakan menembak yang 'disengajakan' terhadap kereta Iswara dipandu mangsa. Dalam kes ini sasaran tembakan ialah pada bahagian bawah kereta Proton Iswara dan bukan terhadap orang yang berada di dalam kereta itu.

Athimulan berhujah, Seksyen 24 (1)(b) Akta Polis memberi kuasa kepada pihak polis untuk memberhenti atau memeriksa tanpa waran mana-mana kenderaan apabila mereka mempunyai alasan yang kukuh untuk mengesyaki bahawa kenderaan terbabit digunakan dalam sebarang kegiatan jenayah dan dalam kes itu kereta dinaiki Aminulrasyid disyaki terbabit dalam rompakan.

Peguam Salim Bashir yang juga mewakili Jenain pula berhujah bahawa mengikut peruntukan Seksyen 79 dan Seksyen 80 Kanun Keseksaan, tertuduh mempunyai niat baik dalam melaksanakan tugas sebagai anggota polis yang diberi kuasa dan tanggungjawab menjaga keamanan dan ketenteraman.

Beliau berkata Aminulrasyid juga telah memandu dengan cara yang berbahaya sehingga boleh mendatangkan kecederaan atau kematian kepada pengguna kenderaan lain pada masa itu.

"Saksi-saksi pendakwaan telah melihat sendiri bahawa pelakuan pemandu kereta Iswara BET 5023 yang mana bukan sahaja tidak mematuhi undang-undang jalan raya malah telah bertindak membelakangkan keselamatan diri dan orang lain dengan memandu secara melulu.

"Dalam persekitaran awal pagi yang masih gelap perbuatan kereta Iswara itu hanya boleh menjurus kepada anggapan bahawa pemandu tersebut adalah penjenayah tegar atau seorang yang baru melakukan kesalahan jenayah berat dan cuba melarikan diri dari penguatkuasa undang-undang," katanya.

Salim berkata tindakan Jenain pada hari kejadian hanyalah untuk memberhentikan kereta Proton Iswara dan menahan pemandunya tanpa apa-apa niat untuk mendatangkan kecederaan atau kematian ke atas pemandu atau sesiapa sahaja di dalam kereta tersebut, malah tertuduh berniat baik untuk menghentikan kereta dalam keadaan paksa serta dengan mengambil tindakan berhati-hati.

Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani yang mewakili pendakwaan pula berhujah bahawa tertuduh tidak wajar melepaskan tembakan memandangkan kereta Iswara itu berada dalam keadaan atau posisi yang tidak membahayakan semasa berada di Jalan Tarian 11/2.

Beliau berkata tangki minyak kereta Iswara itu juga telah bocor, tayarnya telah kempis, kelajuan kereta telah menurun kepada 60 ke 70 km sejam dan ia dilihat dalam keadaan terhuyung hayang serta tidak dapat dikawal.

Idham berkata kereta peronda MPV yang dinaiki tertuduh berada di belakang kereta peronda MPV yang dinaiki oleh Mohd Izham yang melihat dan mengetahui bahawa kereta Iswara itu telah ditembak di bahagian tayar oleh Mohd Izham semasa di Bulatan Kayangan lagi.

Beliau berkata kereta Proton Iswara juga tidak lagi menghimpit kedua-dua kereta peronda polis dan tiada sebarang tindakan yang membahayakan dilakukan oleh pemandu dan penumpang kereta itu seperti membalas tembakan atau mengeluarkan senjata ke arah kedua-dua kereta peronda polis tersebut.

"Tembakan yang dilepaskan oleh tertuduh iaitu sebanyak 21 das jelas menunjukkan niat tertuduh untuk mendatangkan kecederaan kepada mangsa yang mana tertuduh tahu boleh sebabkan kematian melalui kemalangan atau tembakan," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar bersambung Isnin ini. - BERNAMA