Suspek tikam bayi direman hingga 7 Feb




SHAH ALAM – Seorang ibu warga Myanmar dipercayai terbabit dalam kejadian menikam seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan di rumah panjang Batu 4, Kampung Jawa, di sini, kelmarin, direman sehingga 7 Februari.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, suspek berusia 23 tahun itu direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Suspek masih berada di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, untuk rawatan lanjut kerana keadaannya masih lemah.

“Kita tunggu waktu sesuai untuk ambil keterangannya,” katanya selepas Kempen Safe Reunion sempena Tahun Baru Cina bersama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Bahagian Selangor di Sunway Pyramid, semalam.

Beliau berkata, pihak hospital sedang menjalankan pemeriksaan ke atas suspek terbabit, termasuk sama ada dia ada masalah mental.

“Polis masih menunggu laporan bedah siasat mayat bayi perempuan yang mati ditikam. Kita masih belum tahu punca kecederaan mangsa,” katanya.

Ketika diminta mengulas berhubung dakwaan penahanan suami suspek oleh polis semalam, Tun Hisan berkata, suami suspek itu pernah dipenjarakan atas kesalahan memiliki senjata dan meninggalkannya sejak beberapa bulan lalu.

“Kita tidak tahan sesiapa buat masa ini dan siasatan sedang dijalankan sementara menunggu keputusan bedah siasat keluar,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian kelmarin, seorang bayi perempuan ditemui terbaring atas plastik di bilik air sebuah rumah di Batu 4, Kampung Jawa, di sini, kira-kira jam 9 pagi.

Tambah mengejutkan, apabila terdapat lebih lima kesan tikaman di badan bayi terbabit.

Suspek, dipercayai ibu bayi berkenaan, ditahan polis kira-kira tiga jam kemudian.

Mayat mangsa (bayi) dihantar ke HTAR untuk dibedah siasat.

Difahamkan suspek memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang pelarian (UNCHR), mempunyai anak perempuan berusia tiga tahun, manakala suaminya pernah dihukum penjara kerana memiliki senjata.