Pemuda tikam bapa alami delusi



KUALA TERENGGANU - Seorang pemuda yang didakwa menikam bapa kandungnya sehingga mati dengan sebilah pisau rambo di rumahnya di Kampung Pulau Duyung Besar, Kuala Terengganu selepas dikatakan mendengar satu bisikan yang mengarahkannya supaya berbuat demikian pada 3 Febuari tahun lalu didapati me-ngalami delusi dan halusinasi ketika kejadian.

Pakar Perunding Psikiatri (Forensik) Hospital Permai, Johor Baharu, Dr. Badi’ah Yahya berkata, tertuduh, Syahrol Azmi Che Mat, 21, dalam tempoh rawatannya di hospital sebelum ini,dia pernah diserang sawan sebelum dirawat dengan ubat anti-epilepsi.

“Penama (tertuduh) tidak berpura-pura mengalami masalah mental kerana pada 20 Oktober tahun lalu iaitu ketika tempoh rawa-tan di sini, dia pernah diserang sawan yang mana ketika itu, dia ada melihat dan mendengar suara ghaib yang mengganggunya.

“Ketika dalam keadaan itu, sememangnya dia tidak tahu apa tindakan yang dilakukan,” katanya ketika memberi keterangan dalam perbicaraan di hadapan Hakim, Datuk Mohd Yazid Mustafa.

Menurutnya yang juga merupakan saksi kedua pembelaan, ujian dadah yang dilakukan ke atas tertuduh juga negatif dan laporan sosial yang diperoleh mendapati tertuduh tidak pernah sesekali terjebak dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

Selain Badi’ah, abang tertuduh, Irwan Afandi Che Mat, 31, turut dipanggil memberi keterangan sebagai saksi pertama pembelaan.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas bapa kandungnya, Che Mat Nik di sebuah rumah di Kampung Pulau Duyong Besar, kira-kira jam 2 pagi pada 3 Febuari tahun lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Dalam kejadian itu, tertuduh dilaporkan menikam abangnya, Irwan Afandi, 31, dengan menggunakan sebilah pisau rambo ketika sedang tidur menyebabkan mangsa menjerit meminta pertolongan bapanya.

Che Mat yang terjaga daripada tidur dipercayai cuba merampas pisau daripada tertuduh, tetapi malangnya ditikam oleh tertuduh di bahagian perut dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Tertuduh diwakili peguam dari Tetuan Mohd Yusof Endut & Associates.

Mohd Yazid menetapkan 6 Febuari ini untuk hujahan kes dan keputusan setelah pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwaraya Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi berjaya membuktikan kes prima facie.