Di sebalik tirai kelambu


RAMAI wanita atau isteri yang malu atau enggan untuk menceritakan masalah di sebalik kelambu perkahwinan mereka seperti yang dialami oleh Puan K di atas. Walaupun dalam banyak kes terdapat suasana di mana golongan wanita telah dizalimi atau diseksa melalui perlakuan seks antara suami dan isteri dalam perkahwinan mereka sendiri.

Isu ini dianggap terlalu tabu (terlarang) untuk dibincangkan terutama masyarakat Islam. Sekali lagi agama dijadikan alasan kononnya ia melarang golongan wanita untuk menzahirkan isu atau permasalahan di atas katil yang melibatkan perlakuan seks antara suami dan isteri.

Hakikatnya, seperti yang telah dinyatakan melalui artikel sebelum ini, ramai lelaki sama ada secara sedar atau tidak, telah melakukan perlakuan atau tindakan yang menjurus kepada perlakuan zalim terhadap golongan wanita ketika melakukan hubungan seks.

Melalui kajian rawak yang saya lakukan dalam pelbagai kursus celik undang-undang dan seminar menangani keganasan terhadap wanita kendalian Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), terdapat maklumbalas yang mengejutkan semua pihak.

Antaranya terdapat sebilangan wanita yang mengakui mereka adalah mangsa kepada keganasan seksual yang oleh suami sendiri apabila ketika melakukan hubungan seks.

Lebih menyedihkan, golongan wanita itu tidak mengetahui perkara tersebut dan menyatakan ia adalah 'tanggungjawab' mereka dalam agama.

Suasana seperti menyakiti isteri melalui perlakuan seksual adalah dengan jelas dikategorikan sebagai salah satu daripada aspek keganasan terhadap wanita yang berlaku dalam perkahwinan.

Lebih mendukacitakan apabila golongan lelaki memberi alasan atau berpegang kepada pendapat bahawa kaum Hawa tidak boleh menolak kemahuan dan segala keinginan seksual suami dalam memenuhi tanggungjawab mereka sebagai isteri yang baik.

Tidak dinafikan terdapat hadis dan hujah ulama dalam soal hubungan intim suami isteri.

Namun persoalan yang ingin saya utarakan, golongan suami juga perlu mempunyai tanggungjawab untuk memastikan segala tindakan dan perlakuan seksual tersebut mestilah dilaksanakan dengan penuh kasih sayang.

Ia perlu dilakukan dengan cara yang baik, iaitu tidak menyebabkan kesakitan dan kecederaan dari segi fizikal mahupun yang mampu meninggalkan kesan emosi negatif kepada isteri.

Secara undang-undangnya, tidak terdapat sebarang peruntukan mengenai rogol perkahwinan (marital rape) di Malaysia, yang membolehkan seseorang isteri mengambil tindakan undang-undang terhadap suami yang menyetubuhi isterinya secara paksa.

Bagaimanapun, terdapat percanggahan dalam peruntukan Seksyen 2 Akta Keganasan Rumahtangga 1994 yang mana definisi 'keganasan rumah tangga' tersebut boleh termasuk tindakan suami memaksa isteri melakukan apa-apa perbuatan yang tidak diingini oleh si isteri.

Terdapat beberapa pandangan cendekiawan perundangan, ia masih boleh ditafsirkan sebagai 'memaksa isteri melakukan seks tanpa kerelaan'.

Namun kedudukan perundangan ini masih agak kabur sehingga kini.

Apa yang jelas, keganasan terhadap wanita boleh berlaku melalui tindakan 'ganas' suami dalam perlakuan seks.

Pastinya jika perkara ini dilakukan secara berterusan sehingga menyebabkan keseksaaan dan penderitaan fizikal atau mental, si isteri tersebut boleh mengambil jalan keluar untuk mendapatkan perceraian fasakh beralaskan isu yang dibahaskan di sini.

Ingatlah! Allah SWT telah menyarankan dalam kitab-Nya yang suci bahawa hubungan antara suami dan isteri diibaratkan sebagai pakaian, kerana pakaian dapat memberikan kesan psikologi bagi si pemakainya.