Bekas peguam, Pathmanabhan A/L Nalliannen (tengah) merupakan suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik Allahyarhamah Datuk Sosilawati bersama dan tiga individu lain diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, Khamis. Majistret Hurman Hussain menetapkan 24 Februari ini untuk sebutan semula kes terbabit selepas pihak pendakwaan meminta penangguhan sementara menunggu keputusan rayuan dan semakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam. - Foto BERNAMA

BANTING: Mahkamah Majistret Telok Datok di sini semalam, menetapkan 24 Februari ini untuk sebutan kes bekas peguam, N Pathmanabhan dan tiga lagi yang dituduh membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain pada Ogos tahun lalu.

Majistret Hurman Hussain menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff memohon tarikh sebutan lain, sementara menunggu keputusan rayuan dan semakan difailkan salah seorang pekerja ladang, K Sarawanan, 20, di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Permohonan semakan dan rayuan itu yang didengar pada 31 Januari ini, difailkan Sarawanan selepas mendakwa pengakuan bersalah atas tuduhan menghilangkan bukti dengan membakar mayat Sosilawati dan tiga lagi, dibuat secara paksa, terpedaya dan tanpa kerelaan.

Pada 15 Oktober tahun lalu, Sarawanan yang juga bekas mekanik motosikal, dihukum penjara tujuh tahun selepas mengaku salah atas empat tuduhan membakar mayat Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohammad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di ladang Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat di sini, antara jam 9.45 malam dan 12 tengah malam, 30 Ogos 2010.

Pada 13 Oktober tahun lalu, Pathmanabhan, 42, dan tiga pekerja ladang, T Thilaiyagan, 20; R Matan, 21, dan R Khatavarayan, 31, dituduh membunuh Sosilawati dan tiga rakannya di tempat sama pada 30 Ogos tahun lalu.

Dalam prosiding semalam, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili semua tertuduh memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang dokumen berkaitan kes itu daripada pihak pendakwaan dan berharap ia diserahkan pada 31 Januari ini ketika pendengaran rayuan serta semakan Sarawanan di Mahkamah Tinggi.

Ishak berkata, pihaknya akan menyerahkan sebahagian dokumen itu seperti dikehendaki.
Hurman kemudian memaklumkan beliau tiada alasan lagi untuk menangguhkan kes itu dan bercadang memindahkannya ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Amer Hamzah berkata, beliau juga ingin kes itu dipindah ke Mahkamah Tinggi tetapi peruntukan undang-undang tidak mengizinkannya berbuat demikian kerana pihak pendakwaan masih belum menyerahkan surat izin untuk memindahkan kes.