SEREMBAN: Seorang bayi perempuan berusia dua hari ditemui berhampiran tempat letak kereta Hospital Tuanku Jaafar, di sini malam Selasa.

Bayi perempuan yang lengkap berpakaian dan dibalut dengan kain batik itu ditemui seorang anggota tentera pada pukul 8.15 malam.

Turut diletakkan bersama bayi yang masih mempunyai tali pusat itu ialah senaskah Surah Yasin, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, polis percaya bayi itu berketurunan Melayu.

"Bayi seberat 2.3 kilogram itu kini ditempatkan di Wad Rawatan Khas Hospital Tuanku Jaafar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.