Mollie
Mollie
KUALA LUMPUR: Bergelar nenek kepada sembilan cucu bukannya penghalang, malah menguatkan azam Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Johor Jaya 1, Johor Bahru, Mollie Atan untuk menjadi guru besar pertama menggenggam Ijazah Sarjana Kepengetuaan pada majlis konvokesyen Universiti Malaya, di sini, semalam.

Mollie, 56, yang menerima ijazah daripada Pro Canselor UM, Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah pada sidang kedua, berulang-alik dari Johor Bahru ke sini setiap hujung minggu untuk mengikuti kuliah.
Beliau yang ditemani suami, Mohamed Mokhtar, anak dan menantu pada majlis itu menganggap penat dan susah payah mencari ilmu hanyalah cabaran.
“Suami dan rakan banyak memberi dorongan dan ada antara mereka yang mahu mengikut jejak. Saya berharap usaha ini menjadi contoh, terutama kepada golongan tua supaya menepis tanggapan menuntut ilmu hanya pada usia muda.

“Kini, peluang menyambung pelajaran melalui program jarak jauh terbuka luas, justeru perlu dimanfaat mereka yang tidak berpeluang ke universiti.

“Disiplin sangat penting jika mahu berjaya kerana kita perlu pandai membahagikan masa antara pelajaran dan kerjaya. Alhamdulillah berkat disiplin yang saya amalkan berjaya membuahkan hasil,” katanya.

Mollie berkata, sepanjang dua tahun pengajiannya, beliau tidak pernah kedekut ilmu malah sentiasa berkongsi dengan mereka dan pensyarah.