Dapat menantu kaya tetapi hilang anak

TIADA seorang ibu pun yang mahu melihat anak-anaknya hidup sengsara sebaliknya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk mereka. Akan tetapi adakah seorang anak turut memikirkan perkara yang sama untuk ibu mereka?

Inilah kisah yang ingin saya kupas kiriman seorang wanita bernama Mawar (bukan nama sebenar) yang terkilan dengan sikap anak lelakinya yang melupakan dirinya setelah berkahwin dengan anak orang kaya. Begini kisah Mawar.

"Saya mempunyai lima orang anak, kesemuanya telah berumah tangga dan bahagia dengan pilihan masing-masing.

"Anak lelaki saya yang ke kelima Imran (bukan nama sebenar) adalah yang paling cemerlang berbanding anak-anak yang lain. Dan itu adalah kelebihan yang dikurniakan Allah kepadanya. Berkat usaha gigih akhirnya dia menjawat jawatan tinggi.

"Inilah yang tersurat pada takdir hidup saya apabila Imran diperkenalkan dengan seorang gadis, anak orang kaya dan manja oleh abangnya.

"Sejak itu, setiap kali cuti semesta dia akan keluar rumah berhari-hari, kononnya bercuti dengan kawan-kawan.

"Akhirnya tembelangnya terbongkar juga apabila saya terjumpa potret gadis tersebut semasa mahu mencuci pakaiannya.

"Puas saya bertanya, Imran terpaksa berterus-terang dan mengatakan gadis tersebut adalah calon isterinya.

"Pengajian belum tamat sudah ada calon isteri? Itu yang saya kurang setuju dan meminta dia berfikir sebelum membuat keputusan yang terburu-buru.

"Namun Imran sudah tidak mendengar cakap saya lagi. Pandai sungguh mereka 'memancing' anak saya dengan berbagai-bagai cara sehingga nasihat saya langsung Imran tidak mengendahkan.

"Tamat pengajian maka datang rombongan dari pihak gadis tersebut ke rumah saya mohon restu dan memaksa kami merisik anak gadis mereka yang kononnya telah lama berkawan dan telah menjadi buah mulut orang kampung.

"Hampir setiap hari rombongan tersebut datang dengan membawa berbagai-bagai buah tangan.

"Maaf saya katakan memang saya tidak langsung merestui hubungan mereka, walaupun gadis tersebut adalah dari golongan orang berada.

"Bukan memilih menantu tetapi cara mereka keterlaluan, memaksa Imran yang baru bekerja bernikah. Duit poket pun belum cukup untuk meminang anak orang, bagaimana mahu meneruskan kehidupan yang memerlukan berbagai tuntutan.

"Akhirnya saya menurut kemahuan Imran kerana tidak mahu dia kecewa. Saya keluarkan duit simpanan, abang dan kakak turut membantu adik mereka yang telah sampai jodoh.

"Meriah kenduri maklumlah isteri anak orang berada. Masih saya ingat janji Imran kepada saya, insya-Allah akan membela nasib keluarga selepas tamat pengajian.

"Kini setelah lima tahun Imran mungkir janji, saya dipinggirkan malah dia lebih mementingkan keluarga isterinya. Imran seperti suami yang dibodohkan!

"Pendapatan suami, isteri yang uruskan, sehingga Imran tiada langsung wang untuk diberikan kepada saya emaknya sendiri.

"Hati ibu dan bapa mana yang tidak luluh dengan nasib yang menimpa. Mungkin inilah yang dikatakan orang 'Tanggang moden'.

"Kebajikan mak diketepikan kehendak isteri yang mahu sebuah banglo berharga ratusan ringgi diturutkan, akhirnya banglo yang tersergam indah itu bertukar menjadi rumah puaka, kotor dan tidak terurus, alasannya sibuk dengan urusan anak-anak.

"Sepatutnya sebagai suri rumah sepenuh masa dia tahu apa yang perlu di lakukan, jangan asyik ronda sana sini dengan kereta.

"Seribu satu macam lagi keburukan yang tidak sampai hati saya catatkan di sini. Cukuplah sekadar mahu meluahkan isi hati seorang ibu yang remuk berkecai kerana anak yang lupa janji dan menantu yang tidak pandai menjaga hati mentua.

"Walau apa pun mereka tetap anak dan menantu saya, doa saya semoga mereka akan sedar tanggungjawab masing-masing.

"Jangan mengambil kesempatan yang keterlaluan di atas kebaikan suami kerana sekali air bah sekali pantai juga berubah.

"Sebagai ibu ini pesanan saya kepada Imran, fikirkan tentang masa depan dan rumah tangga, juga hati dan perasaan ibu yang telah terguris luka," pinta Mawar menamatkan ceritanya.

Kata-kata Mawar begitu meruntun perasaan. Tentu sepanjang masa ibu ini memendam rasa dan makan hati.

Harapan saya, Mawar reda dan bersabar dengan ujian yang terkadang singgah dalam hidup kita tanpa di undang.

Betul kata Mawar, mengawasi anak-anak yang telah dewasa juga penting bimbang berlaku perkara yang akan menjadikan kita menyesal tidak berkesudahan.

Seperti kata Mawar nasi sudah menjadi bubur, mahu tidak harus diterima, buruk baik tetap anak. Yang penting terus berdoa agar satu hari mereka akan sedar dan kembali ke pangkuan ibunya serta memohon keampunan.

Menutup kata, syurga anak-anak di bawah telapak kaki ibu dan syurga isteri, suami yang tentukan.