Pencuri kena dua das tembakan



KUALA TERENGGANU – Tindakan seorang lelaki yang dipercayai cuba menceroboh untuk memecah masuk sebuah rumah membawa padah, apabila dia dikatakan ditembak mati oleh pemilik rumah tersebut dalam satu kejadian yang berlaku di belakang Depo Satu, Kampung Jati, Gong Badak, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian berkenaan, kelibat suspek yang dikatakan cuba mengumpil tingkap di belakang rumah mangsa terlebih dahulu disedari isteri tuan rumah, Juriah Abd Manaf, 45, yang ketika itu berseorangan di rumah.

Akibat bimbang berlaku perkara tidak diingini, Ju-riah kemudian terus bertindak menghubungi suaminya yang juga seorang jurulatih pasukan menembak sebelum melarikan diri ke dalam bilik bagi melindungi diri.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu kerana masih berada dalam bilik dan kejadian pecah masuk adalah kali kedua berlaku sejak kami menetap di sini pada November lalu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, semalam.

Anak mangsa, Juwanizni, 15, pula memberitahu dia ada menerima panggilan daripada ibunya ketika berada di kelab menembak, Gong Badak, dan hanya bapanya sahaja yang pulang selepas menerima panggilan itu.

Selain itu, seorang jiran mangsa, Nur Amalina Abd Kadir, 34, pula tidak menyangka bahawa dua das tembakan yang biasa didengarnya untuk menembak babi dan anjing liar di kawasan berdekatan, rupa-rupanya tembakan yang disasarkan jirannya kepada seorang pencuri.

Nur Amalina, yang juga seorang guru dan salah seorang saksi yang mendengar tembakan mengenai kes bunuh itu mengakui tidak menghiraukannya kerana sudah biasa mendengar orang menembak.

“Lebih kurang jam 3.45 petang saya balik dari sekolah dan kejadian berlaku saya tertidur ketika sedang ‘online’ dalam bilik. Masa itulah, saya dengar tembakan tetapi saya tidak berasa pelik. Lagipun, jiran sebelah rumah saya yang sebelum ini pun turut mempunyai senapang.

“Ini adalah kali keempat berlaku kejadian curi di kawasan ini termasuk di rumah saya pada tahun lepas,” katanya.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir yang juga Pe-ngerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Datuk Abdul Rahin Mohd Said dan Pengarah Majlis Sukan Negeri, Rosdi Awang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, melalui hasil siasatan, beliau turut mengakui bahawa mangsa ditembak mati sebanyak dua kali di bahagian badan oleh pemilik rumah terbabit ketika dia dikatakan cuba menceroboh ke rumah berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berikutan kejadian itu, pihaknya turut merampas sepucuk pistol jenis Glock.22 Caliber, manakala tuan rumah terbabit kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 307 kerana cubaan membunuh dan Seksyen 304 kanun yang sama kerana bunuh tanpa niat.