"Mengapa Ayah Tergamak Lakukan Serangan Itu..."

Oleh WINNIE YEOH

Badan Tan melecur hampir 60 peratus kerana insiden tersebut.

GEORGE TOWN: Dia tidak dapat melihat dengan sempurna melalui mata kirinya manakala mata kanannya masih lagi dibalut. Namun mangsa serangan asid Tan Hui Linn, 18, menunjukkan sikap positif terhadap masa hadapannya di sebalik kecacatan dan nasib malang yang menimpa dirinya itu.

Tiga bulan telah berlalu semenjak insiden yang menimpa dirinya mengejutkan seluruh negara apabila bapanya sendiri yang berusia 53 tahun, masuk ke dalam bilik dan menyimbah asid ke arah ibunya yang sedang tidur bersamanya di rumah mereka di Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim.

Ibunya, Chong Swee Lin, 50, meninggal dunia 10 jam kemudian akibat simbahan asid itu.

Hui Linn, yang sepatutnya menduduki peperiksaan SPM tahun lepas melecur 60% pada anggota badan dan muka dan terpaksa menjalani beberapa pembedahan untuk memulihkan matanya yang rosak teruk terkena asid.

Hui kini sedang menerima rawatan lanjutan di Hospital Sungai Buloh tetapi sejak 31 Januari lalu, dia telah kembali ke Pulau Pinang untuk menghadiri majlis memperingati 100 hari kematian ibunya dan juga untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina bersama ahli keluarga yang lain.

Bagaimanapun selepas itu, Hui perlu kembali segera ke Hospital Sungai Buloh untuk menjalani pembedahan seterusnya.

Ketika ditemui di kediaman bapa saudaranya di Farlim baru-baru ini, Hui Linn berkata, dia menaruh harapan yang tinggi suatu hari nanti dia akan mampu melihat semula.

“Para doktor yang merawat saya telah bekerja keras untuk membantu saya melalui saat-saat yang sukar ini dan sokongan moral yang diberikan oleh keluarga serta kawan-kawan telah membantu saya untuk terus bersemangat,” katanya.

Hui Linn juga menjelaskan bahawa dia akan hanya menduduki peperiksaan SPM setelah dia bersedia.

“Ini kerana untuk melihat dengan hanya satu mata adalah satu situasi yang sangat mencabar,” katanya sambil menambah dia ingin menjalani kehidupan yang normal suatu hari nanti sebagaimana orang lain.

Hui Linn juga bercerita bagaimana seluruh ahli keluarganya cuba untuk menyembunyikan berita mengenai kematian ibunya sehinggalah dia dibawa ke Sungai Buloh untuk menerima rawatan lanjut.

“Apa yang masih tinggal bersama saya hanyalah abang saya seorang dan kami akan mengharungi kehidupan ini dengan tabah,” tegasnya lagi.

Dan katanya, jika berpeluang, dia ingin bertanya kepada bapanya sendiri mengapakah dia tergamak melakukan serangan itu.

“Bapa mencurah asid itu dua kali ke arah saya dan ibu. Kali pertama terkena asid itu saya terus hilang penglihatan dan saya tidak tahu bapa yang melakukan serangan itu sehinggalah saya mendengar ibu berteriak mengapa dia menyerang kami.

“Saya ingin tahu macamana dia sanggup menyimbah asid ke arah ibu dan saya kerana saya yang paling dia sayangi,” cerita Hui Linn.

Selepas menjalani pembedahan mata pada 17 Febuari ini, Hui Linn akan menjalani pembedahan kulit pula pada 19 Mac depan.

“Hari lahir saya jatuh pada 17 Mac dan saya berharap saya dapat kembali ke Pulau Pinang untuk meraikannya bersama keluarga dan sahabat-handai,” katanya menutup cerita.