Lepas rindu di mahkamah

LEPAS RINDU...Napisah memeluk erat anaknya, Nurashikin, sambil diperhatikan yang lain di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu.


KOTA BHARU: Seorang ibu hanya mampu menitiskan air mata di luar pekarangan Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam apabila diberi peluang bertemu dengan kelima-lima anaknya sejak berpisah dua tahun lalu.


Napisah Sulaiman, 42, yang memfailkan tuntutan hak penjagaan terhadap lima anaknya daripada bekas suami, Muhamad Soed Mahmud, 37, (defendan) sempat memeluk erat anak bongsunya, Mohd Nabil Adib, 6, sebelum mengikuti prosiding perbicaraan, pagi semalam.

Dalam prosiding itu, Hakim Syarie, Mohd Yusof Awang menetapkan 11 April depan bagi plaintif mengemukakan rekod hasil selepas membenarkan cadangan penyelesaian kes secara sulh seperti dikemukakan melalui peguamnya, Wan Zaki Zainal Abidin.


Wan Zaki dalam hujahnya mencadangkan supaya plaintif dibenarkan bersama anaknya pada 13 dan 14 Februari ini sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina.


Katanya, ia berikutan perintah interim Hadhanah ex-parte diperintahkan mahkamah kepada defendan pada 2 Disember lalu gagal dilaksanakan.


“Cadangan ini dikemukakan secara lisan untuk mohon mahkamah membenarkan plaintif menjaga kelima-lima anaknya pada cuti Tahun Baru Cina 13 dan 14 Februari ini.


“Kalau cadangan ini dilakukan, ia berkesan. Sebelum ini perintah interim kepada defendan tidak dapat direalitikan,” katanya.


Cadangan dikemukakan itu turut dipersetujui defendan yang diwakili peguam syarie, Suhaila Ibrahim namun meminta supaya cadangan itu dilakukan secara bertulis.


Pada 2 Disember 2008, Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, mengeluarkan perintah interim mengikut Sekysen 201(3) Enakman Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Kelantan No. 7 Tahun 2002 dan Seksyen 9(2) Enakman Pentadbiran Mahkamah Syariah Kelantan No.3 Tahun 1982.