Guru tidak boleh merotan murid



DUNGUN - Guru mesti mematuhi arahan pekeliling seperti yang dikeluarkan Jabatan Pelajaran Negeri berkaitan pelaksanaan peraturan di sekolah.

Itu tegas Pegawai Pelajaran Daerah Dungun, Zakariah Ali yang mengulas kes sekumpulan murid di salah sebuah sekolah rendah di Dungun dirotan gurunya, tengah hari semalam.

Menurutnya, kejadian itu amat dikesali pihaknya.

“Tugas sebenar guru adalah mendidik, bukannya menghukum. Tindakan menghukum murid sehingga mendatangkan kecederaan fizikal adalah bertentangan dengan arahan peraturan yang dikeluarkan dan ia sesuatu amat dikesali, apatah lagi membabitkan murid.

“Bagaimanapun, kami akan menyiasat perkara ini untuk melihat secara terperinci apakah punca kejadian dan kebenaran dakwaan berkenaan,” katanya.

Zakariah difahamkan, kes berkenaan adalah di bawah siasatan polis dan pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab serta mengambil tindakan undang-undang terhadap guru terbabit, sekiranya dia terbukti melakukan kesalahan berkenaan.

Bagi pihak Jabatan Pelajaran pula, beliau akan merujuk kes itu melalui Unit Tatatertib sebelum sebarang tindakan dikenakan ke atas guru berkenaan.

“Saya masih menunggu laporan terperinci daripada guru besar sekolah rendah terbabit. Bagaimanapun, tindakan yang akan kita ambil mestilah memberi keadilan kepada semua pihak.

“Saya akan mengadakan perjumpaan dengan ibu bapa murid terbabit dan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah dalam masa terdekat sebagai tanda keprihatinan terhadap mangsa ‘deraan’ guru yang dianggap melanggar nilai murni itu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan, Tengku Rosdi Tengku Hamzah berkata, beliau kesal dengan apa yang berlaku di sekolah itu dan menyifatkan tindakan guru terbabit sebagai keterlaluan sehingga melanggar batas kemanusiaan.

“Sejak enam tahun memegang jawatan sebagai Yang Dipertua PIBG sekolah, inilah kejadian pertama berlaku di sini. Saya yang ketika itu secara kebetulan berada di lokasi kejadian terkejut apabila mendapat tahu sekumpulan murid menangis selepas mengalami kecederaan akibat dirotan guru.

“Saya harap ibu bapa murid terbabit dapat menyelesaikan kemelut ini dengan baik bersama guru berkenaan dan juga pihak sekolah tanpa mewujudkan sebarang ketegangan sehingga menjejaskan hubungan baik antara kedua-dua pihak yang telah terjalin sejak sekian lama,” katanya.