Enam Rentung Dalam Kemalangan Di Senawang



SEREMBAN: Enam orang dalam sebuah kereta rentung dalam satu kemalangan di KM252, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Senawang menghala Selatan dekat sini pada kira-kira pukul 1.30 pagi tadi.

Setakat ini polis masih lagi belum dapat mengenal pasti kesemua identiti mangsa disebabkan keadaan kereta serta mangsa rentung ekoran kemalangan itu.

Mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat.

Menurut jurucakap polis, keenam-enam mangsa rentung apabila kereta yang mereka naiki terbakar selepas dipercayai terbabas lalu melanggar belakang sebuah treler yang diletakkan di tepi lebuh raya.

Katanya, akibat rempuhan dan letupan yang kuat, enjin kereta tersebut tercampak sejauh 50 meter ke dalam longkang.

"Kereta terbabas akibat dipandu laju. Treler yang membawa sejenis serbuk dipercayai granit dilaporkan rosak sejak dari petang tadi," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Seorang saksi, Rashid Razali, 38, yang tinggal di Taman Seremban Selatan yang terletak kira-kira 150 meter dari lebuhraya itu sedang membasuh kereta apabila beliau terdengar bunyi letupan yang sangat kuat.

"Sejurus selepas itu saya lihat api menjulang naik. Saya dan beberapa orang jiran bergegas naik ke atas lebuhraya dan melihat enjin kereta tercampak jauh dan sedang berasap," katanya.

Beliau cuba menghampiri kereta yang sedang terbakar apabila berlaku letupan kedua dan yakin kesemua penumpang telah mati akibat api yang terlalu marak serta keadaan kereta yang remuk teruk serta leper akibat merempuh badan bawah treler.

Anggota bomba bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 dan Senawang hanya dapat mengeluarkan mangsa kira-kira tiga jam kemudian selepas sebuah kren digunakan untuk mengangkat treler bagi mengeluarkan mangsa yang terperosok di dalam kereta yang hangus di bawah treler. - BERNAMA