Dibelai disayang, digigit jua!

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM




RENUNGAN matanya sahaja sudah menimbulkan rasa terancam dan gerun. Itu belum lagi mendengar ngaumannya. Peluang mendekatinya, walau dihalang tabir besi, masih boleh membuatkan seseorang menghela nafas sesak dan jantung berdegup kencang.

Dikhabarkan, setiap langkah dan gerak geri diatur makhluk ini diiringi kepekaan deria yang tiada bandingan. Kalau begitu, bukankah ia mendengar rentak jantung kita yang berasa takut akan kehadirannya?

Namun, sifat itu tidak sepenuhnya diwakili spesies harimau Siberia (Panthera tigris altaica) yang berada dalam jagaan di Tiger Valley, Lost World of Tambun, Ipoh, Perak ini. Di sebalik karektor ganas lima ekor harimau itu, ia menyembunyikan sifat yang bertentangan.

"Subspesies harimau paling besar ini sebenarnya mudah tersinggung apabila tidak dibelai dengan penuh kasih sayang. Ia amat manja," kata penjaga harimau terbabit, S. Kamalanathan, 38.

Sebagai penjaga, kesemua harimau yang terdapat di Tiger Valley itu sudah Kamalanathan anggap seperti anak sendiri. Dia seboleh-bolehnya tidak mahu mengamalkan sikap pilih kasih dalam penjagaan, sekurang-kurangnya tidak ditunjukkan di hadapan 'kucing-kucing besar' itu.

"Harimau merupakan haiwan yang amat sensitif dan mempunyai sifat cemburu serta mudah merajuk apabila tidak diberi perhatian," katanya yang mesra dengan panggilan Nathan.

Manja, sensitif, cemburu, dahagakan kasih sayang dan mudah tersinggung? Apakah benar semua yang dicakapkan itu berkenaan harimau? Memang suatu ironi.


KESIHATAN harimau adalah salah satu aspek dalam rutin penjagaan Nathan.


Nathan memberitahu, Tiger Valley memiliki tiga ekor harimau Siberia jantan manakala selebihnya adalah harimau betina. Masing-masing mempunyai nama tersendiri iaitu Sultan berusia 16 tahun seberat 320 kilogram (kg); Putera (enam tahun, 280 kg); dan Jazz (empat tahun, 300 kg).

Dua ekor lagi ialah Azian yang berusia enam tahun dan seberat 280 kg, manakala Raima, 14 tahun, 260 kg. Mamalia bereputasi ganas itu dilatih Nathan mengikut karektor masing-masing.

Sultan misalnya, merupakan harimau dominan dan bertindak sebagai 'bapa' kepada yang lain. Ia kelihatan seperti mengasari harimau lain walhal ia sebenarnya mengajar cara mempertahankan diri.

Putera pula mempunyai keegoan yang tinggi disebabkan ia merupakan anak harimau pertama yang dilahirkan di Tiger Valley sempena ulang tahun Hari Kemerdekaan Malaysia. Ia bersikap manja dan gemar mengusik Nathan. Kalau tiba waktu tidur pula, Putera suka meragam.

"Jazz pula dianggap macam cahaya mata sendiri kerana saya yang menjaganya sejak ia dilahirkan. Memandangkan usianya, ia lebih aktif dan suka berlari berbanding yang lain," kata lelaki bujang ini.

Melihat gelagat Azian yang bersahaja dan tidak segan di hadapan lensa kamera, seseorang pengunjung akan segera melabelnya persis bintang popular. Ya, memang hakikatnya, harimau itulah yang telah 'berlakon' sebagai harimau jelmaan dalam filem Waris Jari Hantusedikit masa lalu.

Perhatian kepada Azian itu mungkin membuatkan si Raima berasa cemburu. Dengan badan yang besar, Raima tidak mahu kalah menonjolkan diri sebagai harimau betina yang aktif dan pintar menunjukkan pelbagai kemahiran dalam pertunjukan.

Melatih 'anak'

Nathan mula diperkenalkan dengan ilmu penjagaan harimau sejak tahun 2006 secara sambilan. Tanpa disangka, dia semakin berminat untuk memahami naluri haiwan karnivor itu lantaran sudah biasa mendekatinya setiap hari.

Walaupun pernah terpaksa melupakan 'teman-teman' sepermainannya itu buat seketika kerana mengejar tugas sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta, Nathan telah dipanggil semula oleh majikan lamanya pada 2008 untuk menjadi penjaga harimau sepenuh masa.

"Secara amnya, saya perlu memastikan harimau-harimau berada dalam keadaan sihat, cergas dan selesa. Semuanya perlu dibelai kasih sayang selain dilatih agar berdisiplin," ujarnya yang banyak menimba ilmu melalui Internet dan daripada penjaga harimau Zoo Negara dan Zoo Taiping, Perak.

Bagi pelatih harimau sepertinya, tiada kepuasan dapat digambarkan apabila anak didiknya itu mempercayainya lalu patuh kepada arahan asas seperti duduk, melompat, dan tidak bercakaran antara satu sama lain.

"Harimau kalau berada di hutan, ia mengetahui cara menjaga diri sendiri tetapi apabila ia tidak tinggal di habitat asalnya, kita yang perlu menjaganya dengan baik," terangnya yang senang menyentuh, mengusap dan mencium haiwan itu.

Bercakap soal diet, setiap harimau di Tiger Valley mempunyai sukatan makanan sendiri mengikut berat badan. Sebanyak empat hingga enam kilogram daging segar pelbagai jenis perlu disediakan sehari bagi setiap harimau.


MANJA yang ditunjukkan kepada seorang 'ayah'.


"Pemberian daging lembu, ayam atau kambing perlu mengikut jadual tetapi akan berlaku perubahan jika haiwan tersebut sakit," jelas Nathan.

Bagi bekalan daging beku pula, dia perlu menunggu selama enam jam supaya ia lembut dan darah dapat mengalir sebelum dicampakkan sebagai habuan perut kelima-lima harimau tersebut.

"Darah akan membekalkan vitamin. Sama juga pentingnya dengan pemberian makanan lain seperti satu sudu vitamin tambahan, protein, telur serta minyak kod," katanya yang menerima kedatangan pihak Jabatan Haiwan Perak setiap tiga bulan untuk membuat pemeriksaan kesihatan terhadap harimau jagaannya.

Pernah digigit

Memang banyak memori yang Nathan bina bersama lima sang belang kesayangannya itu. Daripada situasi memujuk waktu dimandikan, meredakan harimau yang agresif, hinggalah kepada pengalaman bermalam di sebelah kandang untuk menjaga perkembangan harimau yang sedang sakit.

Namun, ada satu peristiwa yang hampir-hampir membuatkan Nathan berfikir semula sama ada benar itu adalah skop kerjanya. Bukan kisah terkena cakar atau digigit manja, tetapi kakinya pernah disalah erti sebagai makanan lazat.

"Pengalaman itu masih segar dalam ingatan. Semasa kejadian, saya baru lepas memotong daging untuk diberikan kepada harimau-harimau itu. Atas kelalaian sendiri, saya tidak sedar terdapat secebis daging yang terlekat pada betis.

"Umum tahu betapa haiwan ini mempunyai deria hidu yang hebat. Pada masa itu, ada seekor harimau sedang sakit dan saya perlu membawanya ke bilik rawatan. Ketika mengiringinya, saya mendapati ia mengekori rapat. Tanpa diduga, ia menerkam dan membaham betis saya," imbasnya.

Selama satu setengah bulan, Nathan berehat untuk membolehkan kecederaan kakinya pulih. Gigitan harimau itu sangat kuat hinggakan giginya menembusi isi daging betisnya. Meskipun sepanjang tempoh itu dia menanggung sakit, lelaki ini tidak pernah berputus asa atau lemah semangat.


EMPAT hingga enam kilogram daging diperlukan dalam diet harimau setiap hari.


Kini, sudah empat tahun Nathan setia pada tugasnya. Dalam banyak-banyak perkara, isu paling utama baginya adalah aspek keselamatan. Bukan sahaja untuk dirinya, malah untuk setiap pengunjung yang melawat ke tempat itu.

"Satu-satunya ketakutan saya adalah kalau saya terlupa untuk mengunci kandang dengan baik. Bayangkanlah kalau itu terjadi. Saya bukan melepaskan bulldozer, tetapi haiwan liar yang mengancam nyawa!" Katanya berseloroh.

Kalau harimau-harimau itu berjaya dilatih untuk menjadi bintang di mata pengunjung, Nathan juga menerima banyak pengajaran bernilai. Daripada haiwan itu, dia telah belajar tentang keyakinan diri untuk mengendalikan perasaan takut dan was-was.

"Pengalaman menjaga harimau ini juga telah menjadikan saya seorang yang sabar, berdisiplin dan pengasih selain membuatkan saya lebih bersedia menghadapi masalah dan mencari penyelesaiannya," jelas Nathan bangga.