KUALA TERENGGANU: Seorang bapa terbunuh manakala seorang anak lelakinya cedera parah ditikam saudara sendiri dalam satu kejadian di Kampung Duyong Wan Su di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner II Hamzah Md Jamil berkata, dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, bapa berkenaan berusia 51 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak lelakinya berusia 30 tahun, cedera parah setelah ditikam dengan pisau Rambo berukuran 32 sentimeter.

Kejadian itu katanya, berlaku semasa abang kepada suspek sedang tidur di rumahnya. Suspek secara tiba-tiba telah bertindak menikam abangnya sendiri.

"Sebaik sahaja ditikam, abang kepada suspek menjerit meminta pertolongan menyebabkan kedua ibu bapanya keluar dari bilik untuk melihat keadaan. Mereka kemudiannya melihat abang suspek berada keadaan berlumuran darah sambil menahan sakit.

"Suspek juga dilihat dalam keadaan badannya yang berlumuran darah sedang memegang sebilah pisau di tangannya," katanya kepada pemberita di sini.

Hamzah berkata, terkejut dengan kejadian itu, bapa suspek cuba merampas pisau daripada suspek, tetapi malangnya beliau telah ditikam oleh suspek di bahagian perut dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Bagaimanapun, ibu kepada suspek berkenaan sempat merampas pisau tersebut dan kemudian menyorokkan senjata berkenaan," katanya sambil menambah bahawa suspek dan bapanya bekerja di sebuah bengkel membaiki enjin bot.

Menurutnya lagi, abang kepada suspek yang telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dekat sini masih lagi dalam keadaan kritikal dan belum sedarkan diri.

Hamzah berkata, suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Beliau juga berkata, motif sebenar pembunuhan masih disiasat dan suspek dilaporkan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. - BERNAMA