Ayah mati ditikam anak sendiri

Oleh MANIRAH OTHMAN


IRWAN dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kuala Terengganu selepas cedera parah ditikam oleh adik lelakinya semalam. Gambar kecil, Zainun.





KUALA TERENGGANU - Seorang pemuda berusia 20 tahun terkedu melihat badannya berlumuran darah setelah menikam ayahnya sehingga mati manakala abangnya cedera parah akibat perbuatannya yang didakwa dilakukan tanpa disedari.

Lelaki itu bertindak demikian selepas mendakwa terdengar bisikan suara seorang gadis bernama Siti Aishah yang menyuruhnya menikam ayahnya, Che Mat Nik, 51, dan abang sulungnya, Irwan Affandi, 30.

Dalam kejadian pada pukul 2 pagi di sebuah rumah di Kampung Duyung Wan Su, Duyong Besar dekat sini, suspek hanya menyedari jenayah yang dilakukannya selepas dia mendengar suara ibunya, Zainun Hassan, 50 (gambar).

Mengikut Zainun, sebelum kejadian, suspek tidur bersama adiknya Mohd. Zulkifli, 13, di tingkat bawah manakala dia dan suami serta Irwan tidur di dua bilik di tingkat atas.