25,000 kerja kosong, 60 pemohon

Oleh MARTIN KAHAR


PEKERJA asing menjadi pilihan pengusaha restoran mamak disebabkan sikap rakyat tempatan yang memilih kerja. - Gambar Hiasan.


KUALA LUMPUR - Rakyat tempatan tidak sepatutnya menyalahkan pengusaha restoran mamak jika mereka terpaksa menggaji ramai warga asing untuk bekerja di situ.

Ini kerana daripada 25,000 tawaran kerja kosong yang diiklankan oleh rangkaian restoran mamak yang menjadi ahli Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), hanya kira-kira 60 rakyat tempahan mengemukakan permohonan.

Presiden Presma, Noorul Hassan Saul Hameed berkata, jumlah permohonan yang amat rendah itu diperoleh selepas tiga minggu kekosongan itu diiklankan dalam media massa.

"Kita telah adakan pameran bergerak di seluruh negara dan kami juga telah membuat kempen iklan dalam media.

"Namun sambutannya mengecewakan kerana hanya 60 permohonan diterima, itupun hanya melalui panggilan telefon,'' katanya sewaktu ditemui pemberita pada majlis dialog Presma bersama ahli-ahlinya di sini semalam.