Selamat tinggal-Linda Onn

Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bharian.com.my




Hanya peribadi tak bertuah

MENGEJUTKAN tapi itulah kenyataan apabila Linda Onn atau nama sebenarnya Rozlindah Onn, 32 membuat keputusan meninggalkan AMP Radio sehari sebelum sambutan tahun 2010.

Selepas lebih sedekad bernaung di bawah payung syarikat radio terbabit, penyampai radio yang juga pengacara TV ini memilih untuk tidak memperbaharui kontraknya.


Biarpun agak berat hati melakukannya, dia mengakui keputusan yang dibuat atas pertimbangan waras dan mendalam.

Ditanya mengapa dia bertindak secara tiba-tiba, Linda berkata, dia sekadar ingin mencari ‘angin baru’ tetapi enggan mengulas mengenai hala tujunya selepas meninggalkan dunia radio.

“Kalau orang tanya, saya tidak akan berselindung memang saya sudah rasmi meninggalkan AMP Radio.

LINDA bersama penyampai radio Sinar FM, Raja Azura dan Abby.

“Tapi ke mana hala tuju, perancangan atau apa yang saya akan buat selepas ini biarlah ia menjadi tanda tanya dulu. Sejujurnya, saya sendiri belum mampu membuat keputusan yang sebaiknya selepas ini,” ungkap Linda sambil memberitahu kontraknya tamat pada November 2009.

Katanya, pengunduran dari AMP Radio bukan bererti dunia radio yang cukup sebati dengan dirinya akan ditinggalkan begitu saja.

Ini kerana, pada 2010 ternyata akan terus membuatkan dirinya sibuk termasuk soal kerja dan perniagaannya.

Nada perbualannya kali ini agak berahsia berbanding sebelum ini. Barangkali Linda bimbang tersilap langkah dalam mempertimbangkan sesuatu perkara yang belum pasti. Mungkin selepas ini akan terjawab juga ke mana laluan dan pacuan kerjayanya.

KENANGAN, Linda dan Pak Tam sewaktu berada dalam konti radio Sinar FM.

“Saya tinggalkan 2009 dengan penuh bangga. Tidak kira dalam aspek kerjaya mahupun perniagaan semua boleh saya katakan berjalan lancar. Berada di Sinar FM selama setahun juga memberi pengalaman baru buat saya untuk terus menimba pengalaman.

“Mungkin kalau dalam soal peribadi saya kurang bertuah. Tapi semua terus menjadi pengajaran terbaik buat saya. Tinggal lagi sekarang ini saya mahu memperlengkapkan diri untuk bergelar isteri pada masa depan.

“Mungkin juga tahun ini, saya perlu memberi ruang untuk bercinta kembali,” katanya yang masih belum bertemu pengganti selepas berpisah dengan lelaki Inggeris, James Gibbs.

Mengimbas kembali kerjayanya sebagai penyampai radio Linda terlebih dulu bertugas di Best 104 Johor Bahru sebelum memilih radio Era selama 10 tahun. Sejak 15 Disember 2008, Linda diberi amanah untuk memeriahkan barisan penyampai radio Sinar FM.

Sepanjang kerjayanya sebagai penyampai radio, Linda dipilih sebagai Penyampai Radio Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) sebanyak enam kali.

Sebelum menyertai radio Era iaitu antara saluran radio di bawah payung AMP, Linda pernah bertugas di Best 104 selama enam bulan. Dia kemudian dipelawa Najman Mohamad mencuba nasib di radio Era. Dia juga pernah menjadi pengacara program hiburan terbitan TV3, Sampaikan, Bicara Malam dan Sinaran Pasport Kegemilangan.

Selamat maju jaya Linda

Sementara itu, Pengurus Rancangan Sinar FM, Rostam Said yang cukup sinonim dengan panggilan Pak Tam turut mengesahkan berita pengunduran Linda itu.

Katanya, ketika ini tempat dan segmen Linda akan digantikan oleh Zaidi Zainal.

“Kehilangan Linda memang amat dirasai apatah lagi penyampai radio tinggi lampai itu mempunyai bakat besar dan dianggap aset berharga kepada Sinar FM dan AMP Radio. Namun, keputusan yang sudah dibuat Linda tidak mampu lagi dihalang.

“Kami menghormati keputusannya. Saya sendiri cukup yakin dia sudah cukup kuat dan tegar untuk merencana haluannya selepas ini. Apa sekali pun perancangannya, saya ucapkan selamat maju jaya kepadanya. Segala sumbangan dan pembabitannya selama ini amat kami hargai.

“Setakat ini, saya sendiri tidak tahu apa langkah yang bakal dilakukannya. Sewaktu berbincang dengan saya dia hanya cakap mahu berehat untuk sementara waktu. Katanya lagi, dia sudah cukup lama berada di AMP. Barangkali dia ada alasan kukuh meninggalkan AMP Radio,” katanya.

INFO: Linda Onn

  • Oktober tahun lalu, Linda memiliki rumah banglo dua tingkat, Setiahills selain memiliki rumah di Beverly Heights.

  • Pernah mengacarakan program Tanya Linda dan Sehati Berdansa untuk dua musim di Astro Ria.

  • Pernah mencipta kontroversi kerana gagal muncul sebagai pengacara di hamparan permaidani merah di Anugerah Academy ke-79 pada 26 Februari 2007.