Punca utama bumbung stadium runtuh

KUALA LUMPUR: Reka bentuk yang kurang tepat, bahan dan kualiti hasil kerja yang tidak memenuhi spesifikasi dikenal pasti antara punca utama struktur bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu, Terengganu, runtuh pada Jun tahun lalu.


Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata Jawatankuasa Penyiasatan turut mendapati kurangnya pengawasan ketika kerja pembinaan dilaksanakan serta ia dibina secara tergesa-gesa yang menjejaskan kualiti stadium berkenaan.


Beliau berkata, laporan berkenaan dibentangkan kelmarin pada mesyuarat Jemaah Menteri yang bersetuju laporan itu diserahkan kepada kerajaan Terengganu manakala satu salinan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara.


“Oleh itu, kita berharap kerajaan Terengganu dapat menggunakan hasil laporan itu untuk mengambil langkah susulan.


“Jabatan Kerja Raya (JKR) juga memaklumkan kepada kerajaan negeri agar kerja mengubah suai runtuhan dan kerja pembaikan di kawasan stadium itu boleh dimulakan,” katanya, semalam.


Pada 2 Jun lalu, akhbar melaporkan, bumbung stadium bernilai RM300 juta di Gong Badak, Kuala Terengganu yang siap dibina pada Mei 2009 untuk Sukan Malaysia (Sukma) ke-12, runtuh secara tiba-tiba.