Oleh AU YEONG HOW

Hattan ketika hadir di mahkamah semalam.

PETALING JAYA: Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam menetapkan sebutan semula kes prosiding tuntutan edah dan mutaah bekas isteri penyanyi Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabuddin, 46, pada 15 Mac.

Hakim Syarie Ghazali Ahmad membuat keputusan itu selepas mendengar penghujahan peguam kedua-dua pihak plaintif dan defendan.

Beliau menangguhkan prosiding petang semalam bagi mendapatkan pengesahan Jabatan Insolvensi bahawa bekas isteri Hattan iaitu Arianie Mohd. Abdidin, 39, dibenarkan diwakili peguam dalam kes itu.

Menurutnya, ia juga untuk membolehkan kehadiran pegawai jabatan itu memberikan kenyataan berhubung status bankrap Arianie yang juga seorang pramugari termasuk tarikh dia diisytiharkan muflis.

Hattan yang sebelum ini tidak hadir pada prosiding berpenampilan kemas berkot berwarna perang, bersongkok dan bercermin mata gelap diwakili dua peguam iaitu Roshdan Sujak Rafie dan Mohd. Faiz Adnan.

Arianie yang berbaju kurung kuning dan bertudung hitam pula diwakili Peguam Syarie, Harziah Othman.

Sepanjang prosiding, penyanyi berkenaan dilihat kerap memandang ke arah bekas isterinya.

Harziah yang ditemui kemudian berkata, pegawai insolvensi terbabit akan mengesahkan sama ada beliau dibenarkan mewakili anak guamnya atau tidak.

Arianie memfailkan permohonan pengesahan perceraian yang dibuat oleh bekas suaminya itu pada 4 Januari 2005.

"Ini kerana bila dia kena arahan bankrap, dia kena mendapatkan pelepasan. Yang dia dapat pelepasan hanya untuk tujuan bekerja bukan prosiding mahkamah, maknanya dia nak diwakili oleh peguam mesti ada (surat pelepasan)," ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Faiz mempersoalkan rasional kes tuntutan tersebut tertangguh sejak sekian lama ekoran urusan dengan Jabatan Insolvensi itu.

"Sepatutnya ia telah berjalan lama. Kenapa anak guam kami (Hattan) disusahkan dengan tarikh yang begitu lama. Ia menjejaskan anak guam kami. Keduanya, kita berharap isu berkaitan insolvensi ini dipermudahkan.

"Kalau sekiranya pegawai Jabatan Insolvensi tak perlu datang, tapi prosiding boleh dijalankan menerusi surat rasmi," jelasnya.

Hattan dan Arianie mendirikan rumah tangga pada 17 Disember 1996.

Hattan melafazkan lafaz cerai talak satu terhadap Arianie di kediaman mereka di No. 29, Tropicana Golf and Country Resort pada 31 Disember 2004.

Pada 4 Januari 2005, Arianie memfailkan permohonan pengesahan perceraian yang dibuat oleh bekas suaminya itu.

Pada 10 Mac 2005, Hattan secara rasmi melafazkan cerai talak satu terhadap isterinya di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

Hasil perkongsian hidup selama lapan tahun, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Adam Eiman, 12.

Arianie mendakwa dia tidak pernah menerima edah dan mutaah daripada bekas suaminya sejak mereka bercerai.