TAIPING: Tujuh lelaki ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes cubaan membakar dua buah gereja dan sebuah sekolah di sini pada 10 Jan lepas.

Polis percaya tangkapan itu dapat menyelesaikan kes-kes tersebut.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata kesemua mereka yang berumur antara 17 hingga 29 tahun diberkas dalam empat serbuan berasingan lewat malam tadi dan awal hari ini.

"Tiga daripada mereka ditangkap di sebuah rumah di Kamunting manakala empat lagi ditahan di beberapa kawasan berasingan di sini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping.

Zulkifli berkata polis telah mendapat perintah menahan reman selama enam hari mulai hari ini ke atas semua suspek.

Katanya dua daripada suspek telah bekerja, tiga bekerja sendiri dan dua lagi penganggur.

Beliau berkata kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

Siasatan awal juga mendapati kejadian khianat yang berlaku tidak didorong oleh mana-mana kumpulan atau organisasi, katanya.

"Suspek tidak menganggotai sebarang kumpulan atau organisasi tetapi dipercayai melakukan perbuatan khianat secara spontan sebagai reaksi terhadap isu penggunaan kalimah "Allah" yang dilaporkan media, katanya.

Zulkifli berkata sisatan awal mendapati suspek hanya merupakan sekumpulan kawan-kawan sekitar Kamunting yang bertindak sendiri.

"Ia perbuatan nakal, reaksi terhadap isu yang kecuh (dalam media)", katanya.

Katanya penangkapan itu adalah hasil maklumat orang ramai dan siasatan rapi yang dijalankan polis.

Beliau berkata suspek disiasat mengikut Seksyen 436 dan Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Hanya sebuah gereja terdapat kesan kebakaran dan kesan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 436 iaitu melakukan khianat dengan api yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Bagi dua kes lagi ia disiasat mengikut Seksyen 295 kerana kesalahan merosakkan tempat ibadat dan awam yang membawa hukuman penjara maksimum 2 tahun dan denda.

Dua buah gereja terbabit ialah Gereja All Saints di Jalan Taming Sari dan Gereja Katolik St Louis yang terletak bersebelahan sekolah Menengah Convent Taiping telah dilempar dengan bom api.

Kedua-dua buah gereja berkenaan tidak mengalami kerosakan manakala insiden di sekolah itu membabitkan kerosakan kecil apabila cermin kaca pondok pengawal pecah.

Serangan terhadap dua buah gereja dan sekolah itu dipercayai berlaku antara 3 pagi hingga 4 pagi.

Kejadian disedari oleh pengawal sekolah dan paderi gereja yang kemudian membuat laporan polis.- BERNAMA