KUALA TERENGGANU 11 Jan. – Sudah ada peniaga minuman di sekitar bandar ini dikesan menaikkan harga jualan mereka dengan alasan harga gula dinaikkan baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDKK) Terengganu, Abdul Ghani Harun berkata, peniaga beberapa kedai makan, warung dan restoran itu dikesan menaikkan harga minuman bergula sehingga 10 sen secawan.

"Setakat ini 10 kes kenaikan harga minuman dikesan. Kesemua peniaga terlibat akan dikenakan tindakan lanjut sama ada didakwa di mahkamah atau dikenakan kompaun,” katanya di sini hari ini.

Harga gula naik 20 sen sekilogram bermula 1 Januari lalu.

Abdul Ghani berkata, operasi semalam melibatkan 30 pegawai penguat kuasa, dan dibuat di beberapa lokasi terpilih sekitar kawasan bandar serta akan diteruskan ke seluruh negeri. - BERNAMA