Ibu bapa dorong kejayaan anak

Oleh AZMI ABDUL MALEK


Azzim Zahid bergambar kenangan bersama ibunya, Siti Zabidah Setia dan bapanya Azmi.


TUGAS mendidik anak bukan mudah kerana ia menuntut pengorbanan yang bukan sedikit daripada ibu bapa termasuk guru.

Ketika berada di rumah anak-anak diawasi ibu bapa dari segi tingkah laku, pembentukan sahsiah dan rohani, manakala di sekolah mereka diberi pendidikan formal daripada guru-guru yang terlatih.

Justeru kejayaan anak-anak ini tidak akan tercapai tanpa ada kerjasama guru dan ibu bapa.

Ini diakui sendiri oleh seorang ibu yang juga seorang guru, Siti Zabidah Setia, 51, yang berjaya mendorong lima anaknya belajar dan meraih kejayaan cemerlang sejak dari sekolah rendah lagi.

Saat paling manis apabila kelima-lima anaknya berjaya menerima anugerah tokoh pelajar sekolah rendah di mana yang terbaru diraih anak bongsunya, Azzim Zahid, 12.

Azzim yang memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), dipilih sebagai Tokoh Murid Cemerlang Keseluruhan pada Majlis Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang Sekolah Kebangsaan Jelapang, Taman Meru, Ipoh, Perak, baru-baru ini.

Anugerah disampaikan Penolong Pengarah Sekolah Rendah, Jabatan Pelajaran Negeri Perak,Gulam Muzammil PK Mohamed.

Turut menerima anugerah pada majlis tersebut Nurul Huda Aiman Zulqarnain bagai Tokoh Kurikulum yang juga memperoleh 5A dan Mohamad Syamil Shafie (Tokoh Sahsiah) mencipta keputusan sama, manakala Ahmad Khairul Amirin Ahmad Khairi (Tokoh Kokurikulum) memperoleh 4A1B.

Siti Zabidah yang juga Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Rapat Setia berkata, beliau mengamalkan sikap adil, tegas dan berlembut ketika perlu apabila mendidik kelima-lima anaknya.

"Saya tegas dalam menentukan anak-anak tidak melanggar disiplin ketika berada di rumah dan berlembut apabila menyuruh mereka melakukan sesuatu," katanya

Beliau sentiasa memupuk semangat membaca di kalangan mereka seawal umur tiga atau empat tahun.

Kelima-lima anaknya sudah boleh membaca, menulis dan mengira matematik mudah sebelum menjejakkan kaki ke darjah satu sekolah rendah.

Mereka juga sering didedahkan dengan kegiatan pertandingan melukis untuk menguji bakat masing-masing di samping mendidik keberanian mereka berhadapan dengan khalayak.

Anak-anaknya sering dibawa ke majlis pertandingan sajak dan syarahan di peringkat sekolah menengah sehingga mereka boleh meniru gaya pelajar terbabit ketika pulang ke rumah.

"Secara kebetulan saya ketika itu mengajar subjek Bahasa Melayu dan sering membawa pelajar bertanding sehingga ke peringkat negeri," katanya.

Sementara itu Gulam Muzammil berkata, ibu bapa mesti menjadikan pendidikan anak sebagai agenda utama dalam kehidupan harian keluarga masing-masing.

Ibu bapa haruslah berkorban tenaga dan wang ringgit bagi memastikan anak mereka menerima pelajaran, kemahiran dan pendidikan rohani yang sempurna.

Langkah ini katanya, mampu menyediakan anak-anak yang sanggup bersaing untuk menempah kejayaan cemerlang.

Menurutnya, dunia tanpa sempadan memerlukan generasi baru yang mempunyai kecemerlangan luar biasa untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan.

Beliau yakin ibu bapa dan guru yang mempunyai semangat sentiasa berusaha dan ada keinginan untuk berjaya dapat melahirkan anak didik yang cemerlang.